Tampilkan postingan dengan label Nukilan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Nukilan. Tampilkan semua postingan

Selasa, 18 Agustus 2009

MELAWAN DEBAR

MELEWATI masa-masa petang yang kering ini, saya dan sahabat Roziah Adama sedang berada di Hotel Mirama, Kuala Lumpur. Kehadiran kami di sini kerana menanti pagi esok untuk bergerak ke DBP untuk pertandingan Akademi Sastera. Wah, debaran di dada saya begitu memuncak. Saya yakin saya sudah membuat yang terbaik dalam menghasilkan kertas kerja saya yang berjudul Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq Dari Sudut Psikoanalisis Lacan.

Namun begitu, saya mempunyai masalah untuk menyakinkan diri yang saya mampu membentangkan kertas kerja dengan baik. Ya, saya memang mempunyai masalah dalam hal pengucapan awam ini dan ini agak mengentarkan saya.

Walau bagaimanapun, saya akan cuba buat yang terbaik kerana saya tahu langkah saya ke DBP esok bukan sekadar membawa nama saya sendiri sebaliknya membawa nama pensyarah-pensyarah Fakulti Penulisan dan juga nama ASWARA sendiri.

Semoga saya berjaya melakukan yang terbaik untuk hari esok dan sesudah itu, saya reda.

Minggu, 16 Agustus 2009

MENUAI IMPIAN

SETIAP insan mempunyai impian yang ingin dicapai. Impian yang bukannya bersifat lagha tetapi yang sering menjana gerak, fikir dan emosi untuk menjadikannya realiti. Saya juga mempunyai impian yang sering bermain-main di minda dan emosi. Lewat kebelakangan ini, impian saya itu semakin rancak membisikkan kata-kata cabaran kepada saya agar merealisasikannya.

Sewaktu cuti semester yang lalu, saya telah mengambil upah mengedarkan sisipan maklumat tentang sebuah syarikat pembinaan dan ubah suai rumah di beberapa kawasan di sekitar Batang Kali. Kerjanya memang agak memenatkan kerana terpaksa berjalan, meronda sekitar perumahan baru dan menyisipkan kertas maklumat itu di dalam peti surat penghuni. Sewaktu saya menyisipkan kepingan maklumat itu, hati saya turut menyisipkan impian dan harapan untuk memiliki sebuah rumah yang selesa untuk emak.

Melihat rumah-rumah yang indah itu saya berdoa agar dipermudahkan dalam urusan pelajaran dan pekerjaan agar kelak saya mampu merealisasikan impian saya untuk emak tercinta itu. Tidak perlu rumah yang besar dan mewah dan bukan itulah impian saya. Cukup sebuah rumah yang selesa untuk terus menuai rasa cinta dan kasih saya terhadap emak dan untuk emak meneruskan hari-hari tuanya dengan selesa. Ada ruang taman untuk emak melakukan hobi menanam bunganya dan ada ruang untuk emak menghirup udara segar apabila berada di luarnya.

Saya percaya untuk mencapai impian itu, ada banyak keringat yang akan tumpah. Akan ada tangisan lelah dan kecewa yang akan mendatang, akan perlu kesabaran yang berpanjangan kerana akan ada dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuhi.

Insya-Allah saya sedang mempersiapkan kekentalan mental dan emosi saya kini agar kelak apabila berjaya menamatkan pengajian, langkah hidup saya akan dapat saya jalani dengan kekuatan dan keazaman yang tidak mampu dirobohkan dengan dugaan dan cabaran yang sentiasa melintasi perjalanan hidup.
Rumah Idaman Wardah :)

Senin, 20 Juli 2009

BERKAWANLAH SEKADAR YANG BIASA

DINIHARI Sabtu yang lalu, ketika kelopak mata mulai tertutup untuk mengejar lena mimpi, saya dikejutkan dengan bunyi pesanan ringkas daripada telefon bimbit. Sistem pesanan ringkas itu dikirimkan oleh seorang rakan sekolah semasa di tingkatan enam dahulu. "Salam, saya nak berkenalan dengan awak dengan lagi. Itupun kalau awak sudi ..." serba-sedikit itulah bait-bait kata yang terpapar di skrin telefon yang saya baca di dalam gelap pada kala itu.

Pengirimnya tentulah seorang lelaki dan baru juga menghubungi saya lewat khidmat pesanan ringkas seminggu yang lalu untuk bertanyakan khabar. Daripada siapa dia mendapat nombor telefon saya juga tidak saya ketahui. Setelah membaca inti pesanan itu, saya terus memadamkannya tanpa mempedulikan untuk membalasnya.

Bagi saya, memang saya dan dia sudah berkenalan sejak dari pra-universiti lagi. Lalu, apabila si dia menyebut akan hasratnya untuk berkenalan dengan awak lagi - fikir saya melarang saya untuk membalasnya. Bagi saya, cukuplah perkenalan secara harfiah antara saya dan dia. Saya berasakan adalah tidak perlu untuk perkenalan lanjut antara saya dengan dia tanpa sebab-sebab yang lebih munasabah. Bagi saya, sekiranya saya menjawab pesanan itu - maka saya seolah-olah sudah memetaraikan satu komitmen dan tanggungjawab terhadap rakan saya itu apatah lagi bagi dia yang merupakan seorang lelaki ajnabi.

Bukanlah saya tidak menghargai niatnya untuk berkawan dengan saya tetapi cukuplah sekadar kawan biasa yang diketahui nama dengan sedikit kenangan biasa. Tidak perlu lebih daripada itu, bagi pandangan saya. Oleh sebab itu, sekiranya tindakan saya membiarkan mesej pesanan ringkasnya itu tidak dijawab mendatangkan amarah kepadanya maka saya tidak mampu berkata apa-apa. Sesungguhnya, saya tidak mahu melebarluaskan perhubungan yang tidak mempunyai sebab yang utuh untuk disemai.

Minggu, 12 Juli 2009

ANTARA DUA JALAN

DI KAWASAN perumahan saya, ada satu jalan yang akan digunakan oleh kebanyakan penduduk untuk sampai ke kedai. Jaraknya dalam lima minit dari kediaman Apartmen Julia. Sebenarnya jalan itu merupakan tanah lapang yang telah diduduki secara tetap oleh lalang. Ada masanya pihak berwajib akan melakukan proses pembersihan di kawasan itu namun tidak lama kemudian, lalang akan tetap tumbuh meninggi dan menghiasi pemandangan. Tidak dinafikan, terdetik juga rasa takut di hati setiap kali saya melalui jalan itu. Namun, setiap langkah saya atur bersama alunan ayat Qursi yang sentiasa menjadi amalan saya apabila keluar dari rumah. Cuma, saya sering berasa takut kalau-kalau ada s.n.a.k.e yang muncul di pertengahan perjalanan. Saya memang sangat menyukai binatang tetapi tidak kepada yang berstatus reptilia seperti s.n.a.k.e dan seangkatan dengannya.

Namun yang indahnya, ingatan saya sering terpanggil untuk mengingati isi cerita sebuah sajak Inggeris yang ditulis oleh penyair Robert Frost. Sekiranya saya tidak silap, tajuk sajak beliau yang saya maksudkan ialah 'The Roads'. Sajak itu merupakan salah satu sajak yang terselit di dalam sebuah antologi Kesusasteraan Inggeris yang menjadi bahan pelajaran saya semasa di sekolah menengah dahulu. Saya tidak ingat setiap bait kata di dalam sajak itu tetapi saya masih ingat tentang isi cerita yang disampaikan Robert Frost melalui sajak itu. Sajak itu menceritakan pengalaman penyajak yang berhadapan dengan dua persimpangan sewaktu perjalanannya di dalam sebuah hutan.

Ketika bertemu dua persimpangan itu, penyajak berhenti seketika dan berfikir sama ada ingin memilih jalan di sebelah kanannya yang ditumbuhi semak samun dan lalang yang meninggi atau memilih jalan di bahagian kirinya yang bersih daripada lalang yang tumbuh meninggi seperti jalan di bahagian kanannya. Penyajak yakin, jalan yang tidak ditumbuhi lalang itu pastinya sering dilalui oleh pengembara sepertinya manakala bahagian jalan di sebelah kanannya yang ditumbuhi lalang itu tentunya tidak pernah dilalui oleh sesiapa. Lalu penyajak berfikir arah mana yang ingin diikutinya. Akhirnya penyajak tekad memilih jalan yang dipenuhi lalang. Ketika sajak itu ditulis, penyajak menyatakan betapa gembiranya beliau dengan jalan yang dipilihnya itu kerana jalan yang tidak banyak dilalui orang itulah yang telah membawa dia mencapai kebahagiaan. Penyajak juga berandaian sekiranya dia memilih jalan yang bersih tanpa lalang dan memudahkan perjalanannya ketika dia berada di persimpangan itu, adakah nasibnya sebaik yang sedang dilaluinya setelah pilihan telah dia lakukan?

Secara tidak langsung, jalan berlalang yang sering saya lalui dan sajak oleh Robert Frost mengingatkan saya tentang arah tuju yang telah saya pilih sekarang ini. Yang saya maksudkan ialah arah pendidikan yang sedang saya jalani yang kelak Insya-Allah akan menentukan duduk letaknya kerjaya saya. Sebelum menerima jawapan temu duga dan keberjayaan saya sebagai calon mahasiswa di ASWARA pada awal Januari 2008, saya telah pun mendapat tawaran melanjutkan PJJ di Universiti Putra Malaysia dalam jurusan yang memang sangat saya minati iaitu Bahasa dan Linguistik Melayu. Surat tawaran itu tiba di peti mel saya empat hari sebelum keputusan temu duga ASWARA keluar. Namun demikian, hati saya masih menunggu jawapan positif daripada ASWARA. Walaupun ketika itu hati saya berbelah bahagi tetapi saya tetap ingin menunggu jawapan daripada ASWARA terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada UPM itu.

Terfikir juga saya, terima sahaja tawaran UPM itu. Bukankah itu yang saya inginkan, mempelajari ilmu bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Menjadi seorang ahli bahasa Melayu yang benar-benar mahir dengan bahasa ibunda saya sendiri. Tambahan pula, di samping belajar saya masih boleh bekerja untuk mencari rezeki bagi diri saya sendiri. Lalu, kenapa saya masih tidak boleh membuat keputusan? Kenapa saya tetap memilih ASWARA?

Setelah pertimbangan dibuat, saya memilih ASWARA atas beberapa sebab. Pertamanya, perbelanjaan pengajian di ASWARA lebih rendah jika dibandingkan dengan mana-mana institusi pengajian tinggi lain. Keduanya, jarak lokasi yang dekat dan tentunya lebih menjimatkan kos perbelanjaan saya. Maklum saja, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran tanpa dibiayai oleh sesiapa melainkan dengan duit simpanan sepanjang saya bekerja dengan gaji bulanan RM442 selama setahun dan wang biasiswa semasa di tingkatan enam yang masih belum saya usik ketika itu. Oleh sebab itu, saya perlu berhati-hati dan sangat bijak dalam menguruskan soal kewangan saya.

Saya bertanya juga kepada diri saya sendiri. Sekiranya saya memilih ASWARA, saya akan memasuki satu ruang keilmuan yang tidak pernah saya ketahui dan tidak pernah saya minati iaitu bidang penulisan yang tentunya berkait rapat dengan kesusasteraan dan saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam jurusan itu. Ya, saya agak tertekan ketika itu. Namun, saya teguhkan hati apatah lagi dikuatkan dengan semangat yang diberikan oleh Cikgu Julia dan sahabat baik yang menemani saya pada hari temu duga di ASWARA pada Disember 2007. Lagipun, sewaktu menjalani sesi temu duga yang mempunyai tiga sesi itu, saya telah berjaya menjawab kesemua soalan temu duga sama ada yang bertulis atau lisan dengan yakin sekali. Lalu, kenapa saya perlu gusar?

Sebagai pelajar, memanglah saya seorang yang kekontangan dari segi ilmu penulisan dan kesusasteraan ketika itu. Oleh sebab kekontangan ilmu itulah maka saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhkannya. Tidak perlulah saya terlalu risau memikirkan yang saya akan berhadapan dengan kesukaran untuk menerima subjek pengajian saya itu. Saya yakin bahawa menyekat minda dengan kata-kata tidak boleh atau takut akan menyebabkan saya benar-benar mengalami kesukaran yang besar untuk menerima subjek pengajian saya ini. Memang sekiranya berbicara tentang pelajaran, saya sentiasa berfikiran positif walaupun kadangkala kurang disenangi oleh sesetengah rakan. Namun, saya membuktikan keyakinan saya itu dengan kejayaan yang saya perolehi pada setiap peperiksaan.

Lantas, pada 06 Januari 2008 saya mendaftarkan diri di ASWARA dengan ditemani oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana. Pada hari pendaftaran itu, sudah saya sematkan di dalam jiwa saya bahawa kehadiran saya di ASWARA bukan percuma dan saya tidak akan mensia-siakan setiap masa saya sebagai mahasiswi ijazah kumpulan pertama di ASWARA. Alhamdulillah, saya tidak mempunyai masalah dengan pilihan saya ini malah saya berasa sangat bersyukur kerana pilihan saya ini telah memperkenalkan saya dengan satu alam yang baru saya kenali iaitu alam penulisan seterusnya menyedarkan saya akan bakat menulis yang telah ada di dalam diri saya dan tidak pernah saya sedari sebelum ini.

Namun begitu, saya tetap mengingatkan diri saya betapa saya masih terlalu baru dan terlalu banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya juga tidak segan untuk menyatakan betapa saya benar-benar jatuh cinta dengan alam yang sedang saya ceburi ini dan benar-benar ingin menjadi seorang penulis yang berwibawa. Penulis yang mampu melahirkan karya-karya yang baik dan mampu memberikan pedoman kepada diri saya sendiri dan kepada orang lain. Tekad di hati, saya ingin menjadi seorang penulis yang diredai dengan menulis sesuatu yang baik untuk difikirkan pembaca. Saya tahu dan saya yakin bahawa pilihan saya ini akan menjadi suatu ibadah sekiranya saya lakukan dengan jalan dan cara yang betul dan tidak mustahil hanya mengundang dosa dan bala sekiranya saya gunakan untuk menulis sesuatu yang tidak diredai-Nya.

Justeru, saya yakin bahawa jalan yang telah saya pilih ini adalah yang terbaik. Saya juga yakin, keberadaan saya di ASWARA merupakan sebuah takdir Allah s.w.t atas diri saya lantas dengan minda yang waras dan hati yang bersyukur, saya menerimanya seadanya. Syukur, alhamdulillah. Itulah cerminan rasa saya apabila mengenang kembali saat keputusan untuk memilih jalan yang akan menentukan letak duduknya status pelajaran saya kini, saya kenang kembali.

Syukur, alhamdulillah.

Memorabilia sekeping atma.

Waallahu'alam

Kamis, 09 Juli 2009

DUA CERITA SATU KESIMPULAN : BERKAHWIN DAN BERCINTALAH KERANA ALLAH

1

SEWAKTU malam semakin kelam, suara anjing menyalak garang jelas kedengaran. Saya masih berjaga di sisi emak yang sudah lena dibuai mimpinya. Suasana dirasakan amat tenang walaupun angin malam menghembus kehangatan suhunya. Saya sedang membaca beberapa blog sasterawan terkenal dan tidak lupa untuk mengundi rasa hati saya sebagai rakyat Malaysia di blog Tun Mahathir alias Che Det yang menginginkan pandangan rakyat sama ada bersetuju dengan keputusan yang dibuat kabinet berkenaan PPSMI ataupun tidak. Dalam kesunyian dan kenyamanan berasa sendiri itu, saya dikejutkan dengan suara lantang seorang wanita yang penuh dengan getar amarah. Pada mulanya, suara itu hanya sayup-sayup kedengaran tanpa mengganggu gugat rasa fikir dan hati saya ketika itu.

Namun, setelah hampir sepuluh minit suara itu masih kedengaran malah bertambah nyaring ketika jam di dinding yang sudah seusia dengan saya itu menunjukkan pukul dua pagi. Sudah tentu suara wanita itu semakin dapat saya dengari dengan lebih jelas. Saya merenung emak di sebelah, takut kalau-kalau lenanya terjaga lantaran suara amarah seorang wanita yang tidak tentu emosinya itu. Saya merapati jendela kamar dan menjenguk ke luar, di sebuah rumah tidak jauh dari kediaman saya - seorang wanita dalam lingkungan awal 50-an sedang mengamuk kepada suaminya. Hairan juga saya, mengapa wanita dan suaminya itu tidak menutup tingkap kamar mereka itu kerana suara lantang mereka semakin jelas meninggi. Saya merenung keadaan mereka dari kejauhan untuk seketika. Melalui butir bicaranya, si isteri mengamuk apabila si suaminya yang disebut sebagai sudah tua masih ada hati untuk berkahwin lain dan membiarkan anak-anak dan diri si isteri terbiar di rumah. Lagaknya persis si isteri benar-benar gagal mengawal amarahnya lagi.

Tanpa membenarkan diri saya melihat aksi suami isteri itu terlalu lama, saya meninggalkan ruang jendela selepas menutupnya dengan rapat. Melalui situasi yang saya lihat itu, terlintas di fikir saya mengapa seorang suami dan ayah sanggup melakukan suatu penderaan emosi seperti itu kepada isteri dan anak-anaknya. Mungkin agak mudah untuk memomokkan anak-anak yang masih kecil untuk mengenali situasi hidup tetapi bagi anak-anak yang sudah dewasa dan melihatnya sendiri, saya pasti impaknya terhadap mereka akan menjadi lebih besar. Setelah mungkin lebih separuh usia dihabiskan bersama pasangan, mengapa di akhir usia berpaling hati dan rasa kepada insan baru yang tidak pernah menikmati hidup susah dan senang seperti yang pernah dialami bersama isteri sebelumnya. Tidak mustahil kalau si isteri ada membuat sebarang kesilapan tetapi tidak perlulah kesilapan itu dijadikan alasan untuk meninggalkannya. Sebagai seorang suami, didiklah isteri dan pimpinlah isteri agar meninggalkan kesilapannya dan membantu isteri untuk menjadi lebih baik kerana itulah tanggungjawb seorang suami. Wanita itu lemah sifatnya, diibaratkan sebagai tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya salah cara mengendalikannya, bisa saja tulang rusuk yang sudah bengkok itu patah akhirnya.

Namun, mungkin berjuta alasan yang boleh dibentangkan oleh lelaki seperti itu. Walau bagaimanapun, situasi itu membuatkan saya berfikir betapa perlunya seorang wanita itu mempunyai kedudukan ekonomi dan kerjaya yang tetap sebagai jaminan agar wanita tidak diurung kesusahan apabila tragedi 'tinggal-meninggal' berlaku dalam dairi rumah tangga. Setidak-tidaknya apabila timbulnya hal-hal seperti tadi maka tidaklah mereka berasa terkapai-kapai dan tidak tahu meneruskan langkah kehidupan.

Sememangnya apabila seorang wanita itu sudah merelakan dirinya dinikahi seorang lelaki yang diharapkan menjadi imam dalam kehidupannya, maka kebanyakan wanita berserah secara total kepada si suami. Lantas, yang mempunyai pendidikan dan bekerjaya bagus sanggup meninggalkan kerjayanya walaupun tidak mendapat halangan daripada suami kerana ingin menjadi suri rumah sepenuh masa dan menikmati hasil usaha seorang suami. Namun bagi saya, perlu juga untuk wanita berfikir daripada sisi negatifnya seperti sekiranya ditinggalkan atau lain-lain dan ketika itu wanita tidak mempunyai sumber pendapatan atau kerjaya untuk bangun dan memulakan hidup sendiri. Maka, berlakulah aksi-aksi rumah tangga seperti yang saya saksikan itu. Mulalah si isteri yang teraniaya itu menyesal dan pilu dengan keadaan diri yang sebatang kara sedangkan anak-anak ada yang masih kecil dan perlu dibesarkan dengan sempurna.

2

Situasi itu tadi juga mengingatkan saya tentang siaran berita di Buletin Utama semalam yang menyiarkan keadaan seorang gadis yang cuba menzalimi diri dengan cubaan membunuh diri di stesen rel komuter akibat putus cinta dengan teman lelakinya. Aduh, mengapa perlu dibazirkan air mata malahan nyawa untuk seorang lelaki yang tidak menghargai dan menghormati dirimu sebagai wanita yang diciptakan Allah. Wanita yang diciptakan dengan penuh keistimewaan dan ditinggikan darjatnya oleh Islam dan Rasullullah s.a.w? Bukankah melipatgandakan dosa namanya. Satu, dosa kerana mencintai sesuatu yang belum halal bagimu. Kedua, dosa menzalimi hak Allah lantaran tindakan mencabut roh dari tubuh dengan tangan sendiri. Tidak terfikirkah perihal ibu yang berpenat lelah mengandung selama sembilan bulan disertai segala macam kesengsaraan untuk membesarkan? Bagaimana sanggup para gadis mengorbankan pengorbanan ibu itu dengan nyawa sendiri hanya kerana seorang lelaki ajnabi yang terlalu dicintai sepenuh emosi? Kenangkanlah kata-kata Luqman al-Hakim yang mencurahkan nasihatnya agar kita sentiasa bersederhana dalam menyayangi seseorang kerana kita belum tahu apakah yang kita sayangi itu terlalu baik untuk kita, justeru bersederhanalah dalam mencintai dan menyayangi.

Saya berfikir agak lama dan akhirnya saya temui juga jawapannya. Jawapan yang sudah pun ada di dalam minda saya ,cuma sengaja bermain rasa untuk saya terus berfikir lantas menginsafi diri. Sesungguhnya, agama tidak pernah melarang untuk mencintai dan dicintai kerana itulah fitrah agama yang penuh dengan kasih dan sayang dan asbab lahirnya umat Muhammad. Seperti kisah cinta Nabi Adam dan Siti Hawa yang melahirkan nenek moyang kita dahulu. Islam tidak melarang jalinan percintaan sesama insan. Maka sebab itu jugalah Islam telah pun menyusun struktur cinta yang diredai Allah untuk diamati oleh para penganutnya agar terpelihara kesejahteraan diri dan agama.

Pelajarilah isi cinta yang diredai Allah dan bercintalah kerana Allah. Sesungguhnya, usah dilemparkan fitrah cinta itu ke darjat fitnah yang hanya mampu menjatuhkan para pencinta ke lembah neraka.

Berkahwin dan bercintalah kerana Allah. Semoga Allah memberi rahmat.

Sekadar nukilan sekeping atma.
Waallahu'alam.

Rabu, 08 Juli 2009

TINTA BUAT SUAMIKU

DINIHARI semalam kala saya membuka peti mel saya, kiriman seorang teman maya menyentap nurani saya. Berulang kali saya membacanya dan cuba menyedarkan diri sendiri dengan lafaz kata seorang muslimah yang belum pernah mengenali suaminya tetapi masih tetap mengharapkan yang terbaik dalam impiannya melayari bahtera pernikahan bersama suami yang belum dikenali tetapi akan ditaati sekali lafaz ijab dan kabul terhadapnya sempurna sudah.

Justeru, saya lampirkan di sini lampiran yang dikirim lanjut oleh sahabat maya saya itu kepada saya. Terima kasih kepada sahabat yang telah mengirim lanjut e-mel ini kepada saya sekali gus menyedarkan saya akan siapa saya. Mungkin juga lampiran ini baik untuk dihayati oleh rakan muslimah yang lain dan tidak terkecuali kepada para lelaki yang akan bergelar suami dan para suami yang ingin menghayati erti nurani seorang gadis yang ingin dinikahi atau isteri yang telah dinikahi.

Assalammualaikum wrt wbt.
Buatmu,
Bakal suamiku.

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;
“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki.
Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi? Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik? Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam air mata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,
Bakal isterimu

Rabu, 01 Juli 2009

SENYUMAN EMAK MENCERIAKAN JIWA

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

EMAK ialah harta yang paling berharga buat saya. Walau di mana saya berada dan jauh terpisah daripada emak demi kelangsungan hidup, emak sentiasa berada di hati, fikir dan rasa. Lalu kedatangan cuti ini saya peruntukkan untuk sehabis boleh sentiasa berada di sisi emak. Menyediakan juadah untuk emak, menemani emak tidur dan menuntun langkah emak berjalan. Semalam, saya membawa emak berjalan-jalan dan membelikan sepasang baju untuk emak.

Baju itu tidaklah mahal, tetapi dibeli menggunakan wang honorarium hasil sajak saya yang tersiar dalam majalah Tunas Cipta Mac lalu. Seorang emak tetap emak, walaupun baju yang saya belikan itu tidaklah sebagus mana kualiti kainnya, tetapi emak tetap gembira dan bersyukur. Senyuman emak membuatkan hati saya benar-benar dihimpit rasa syahdu. Wajah itulah yang sering saya rindui setiap kali saya berjuang dalam memastikan keberadaan saya sebagai mahasisiwi di IPT tidak sia-sia.


Melewati sebuah gerai, saya ternampak bubur kacang hijau dan ketika itu emak sedang menuju ke kereta yang dipandu abang keempat saya. Saya tahu bubur itu kegemaran emak. Malah, emak ada menyebut-nyebut untuk membuat bubur itu beberapa hari lalu. Dengan harga RM2, saya membeli bubur itu dan saya suapkan ke mulut emak setibanya kami di rumah. Sekali lagi emak tersenyum gembira, dan senyuman itu benar-benar menceriakan bunga-bunga di hati saya.


Saya tahu, saya tidak mungkin mendapatkan kembali emak saya yang dahulu. Emak yang sentiasa kuat dan sihat serta kuat emosinya. Saya sangat merindui emak saya yang dulu itu tetapi saya tahu masa tidak akan kembali. Masa dan keadaan telah mencuri emak saya yang dahulu. Walau bagaimanapun, saya tetap mencintai emak dan sentiasa berharap agar emak sentiasa sihat dan tabah menjalani perpisahan dengan saya apabila musim cuti berlalu pergi.
Emak sentiasa mendahului di dalam hati, fikir dan emosi saya. Mungkin saya tidak begitu pandai mempamerkannya tetapi hakikat itu tidak boleh disangkal oleh sesiapa.
Buat emak tercinta, dirimu permata di hatiku.

Selasa, 30 Juni 2009

SURAT TERBUKA UNTUK SUAMI DAN LELAKI

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

POLIGAMI bukanlah isu baharu dalam kehidupan kita. Malah, remaja di peringkat sekolah menengah rendah juga sudah arif berhubung isu ini. Apatah lagi dalam kalangan lelaki. Apabila membaca berita di dada-dada akhbar yang berceritakan kejayaan seorang lelaki menambah kuota isteri mereka, pasti terselit di sisi nurani mereka keinginan yang sama atau mungkin ada yang senyum simpul memikirkannya. Hanya segala rasa hati mereka itu tidak terluah di hadapan isteri atau keluarga. Tetapi, dalam kalangan rakan lelaki pastinya isu poligami tidak asing bagi mereka. Hal ini bukan rekaan fantasi saya sebaliknya dicerna berdasarkan pengalaman saya di kafe-kafe atau warung. Adakalanya, saya mendengar isu ini dibincangkan oleh segelintir lelaki dengan senda dan gurau yang bermakna.

Islam sememangnya memberi kebenaran kepada lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak melebihi empat. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui penurunan surah An-Nisa ayat 3 yang bermaksud :


"Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinilah olehmu perempuan-perempuan yang baik bagimu, berdua, bertiga atau berempat orang. Tetapi jika kamu takut, bahawa tiada akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja atau pakailah hamba sahaya. Yang demikian itu lebih dekat kepada tiada aniaya."

Maka benarlah kata-kata Allah.

(Sumber: Tafsir Quran karim oleh Prof Dr.H Mahmud Yunus).

Namun demikian, kebanyakan daripada kita leka menghayati bait-bait terakhir daripada ayat itu. Yang dipentingkan hanyalah bait permulaannya. Hal inilah yang menjadikan poligami sebagai suatu fitrah yang banyak hikmahnya menjadi fitnah dan sering membawa keruntuhan kepada sesebuah institusi perkahwinan itu. Berpoligami itu tidak salah tetapi cara seseorang lelaki itu mengendalikan laluan itulah yang menjadikan poligami itu salah baginya dan lebih buruk menyebabkan dirinya hina semata-mata mengamalkan sesuatu jalan yang mulia dengan cara yang salah.

Seorang lelaki yang ingin berpoligami bukan sahaja perlu mempunyai kemampuan dari segi material semata-mata, sebaliknya juga perlu mempunyai kemampuan rohani, jasmani, ilmu dan paling penting nilai keadilan dalam diri yang menjadikan lelaki terbabit mampu menjanjikan bahtera yang diketuainya tahan membelah ombak badai perkahwinan dengan baik.

Yang menjadi masalah dan dalam masa yang sama menjadikan isteri dan anak-anak mangsa poligami adalah apabila sang suami hanya berpoligami dengan sandaran pada kemampuan material dan nafsu terpendam secara total. Lalu, berlakulah pengabaian terhadap isteri-isteri yang tertentu. Bukankah Islam membenarkan poligami sebagai jalan terbaik dalam mengharmonikan hidup berumah tangga. Maka, apabila berlaku perceraian yang disebabkan kegagalan memurnikan amalan poligami itu, apakah amalan itu masih diredai Allah?

Seorang suami yang ingin berpoligami perlulah memuhasabahkan diri dan beristikharah dengan seikhlasnya. Kemampuan untuk mendidik diri sendiri dan para isteri dengan ilmu agama yang utuh perlu diambil perhatian yang serius. Penghayatan agama pula perlulah konsisten kerana tidak sedikit juga golongan agamawan yang berpoligami tetapi gagal menjadikan poligami yang diamalkannya seperti yang dikehendaki syara'.Hal ini kerana hanya dengan penguasaan dan penghayatan yang jelas terhadap agama sahaja yang akan membantu bahtera perkahwinan yang dinaiki dapat berlayar dengan aman dan tenang dalam reda Ilahi. Selain itu, kemampuan dari segi material juga penting agar tidak berlaku pengabaian atau ketidakadilan kepada sesetengah pihak. Ibarat pepatah Melayu, "ukur baju di badan sendiri".

Memanglah sebagai seorang wanita, isu bermadu agak sensitif untuk dibicarakan kerana itulah fitrah hati wanita tetapi tidak sedikit juga yang memahami isu ini dari sisi agama. Di zaman Rasulullah, poligami diamalkan bagi membantu para wanita yang bermasalah dan menyelamatkan maruah wanita itu sendiri. Kalau ada lelaki yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh untuk berpoligami, selidikilah juga sebab-sebab Rasulullah berpoligami. Poligami baginda bukan kerana nafsu atau kecantikan wanita yang dinikahi sebaliknya atas dasar agama dan membantu wanita yang memerlukan. Apatah lagi, semua isteri yang dikahwini baginda ialah janda melainkan Saidatina Aisyah.

Sesungguhnya terdapat banyak hikmah yang terkandung dalam poligami yang diaturkan Allah S.W.T untuk lelaki dan perempuan tetapi awaslah pada kesannya sekiranya poligami gagal dilaksanakan seperti yang diajar-Nya. Kalau para isteri dijanjikan payung emas di syurga kelak lantaran keikhlasan memadukan diri, jangan pula para suami berjalan dengan bahu yang senget di Mahsyar kelak lantaran salah langkahnya dalam poligami di dunia. Ketika itu, tiada lagi peluang untuk membetulkan langkah yang pincang.


Tepuk dada, tanyalah iman kerana di situ jawapan pada kemampuan.


Sekadar titipan pandangan.

Waallahu'alam

Senin, 29 Juni 2009

INGATAN SEORANG SAHABAT

Jaga diri, jaga iman, jaga hati.

Lewat malam semalam saya mengalami kesukaran untuk tidur. Sebenarnya, hal itu bukanlah suatu ketidakbiasaan. Memang biasa saya berada dalam kondisi sukar melelapkan mata apabila tiba waktu cuti. Mungkin kerana jadual tidur yang sudah berubah. Kalau pada hari-hari kuliah saya akan tidur selewat-lewatnya jam sebelas malam, tetapi pada musim-musim cuti begini, saya hanya akan melelapkan mata seawal jam satu pagi. Hal ini kerana saya akan memastikan yang emak akan tidur awal terlebih dahulu daripada saya.

Sepanjang masa itu juga, saya akan meneruskan aktviti kegemaran saya iaitu membaca atau menaip apa-apa yang terlintas di fikir dan rasa saya. Musim cuti seperti ini benar-benar memberi peluang saya menikmati tidur malam yang agak lewat. Pada musim semester berlangsung, aktiviti ini tidak boleh saya lakukan ekoran jadual kuliah yang agak ketat dan saya yakin bahawa tidur yang cukup itu penting dalam memastikan kita sentiasa kekal sihat dan mampu menerima apa-apa maklumat dengan berkesan. Tambahan pula, saya memang tidak gemar melakukan ulang kaji atau menyiapkan tugasan pada lewat malam atau dinihari. Segala-galanya perlu saya selesaikan sebelum jam sebelas malam kerana saya perlu bangun awal di setiap pagi.

Namun, bukan itu yang ingin saya fokuskan dalam coretan nurani saya kali ini. Ada sesuatu yang memanggil memorabilia saya Saat manis yang saya lalui bersama sahabat baik saya, Nur Syafiqa Yusoff. Kurang lebih pada jam 12:00 am, saya mendapat mesej daripada seorang kenalan yang bertanyakan khabar. Agak lama juga kami tidak berhubung, selepas tamat berbalas sms dengan kenalan itu - saya membaca semula kiriman-kiriman sms yang agak lama berada di dalam peti simpanan saya. Saya merenung sms yang dikirimkan oleh sahabat baik saya yang bertarikh 24 Mei 2009 dan diterima pada jam 07:55 pagi. Saya masih ingat, pesanan itu saya terima ketika saya dalam perjalanan menuju ke kampus. Pesanan daripada sahabat baik saya itu berbunyi :



"Ok, nff. Wa'alaikumussalam. Insya-Allah, ko la kwn t'baik yg aku ada.bkn kwn tp sahabat.tq nff."

Nota : Nff merupakan singkatan pada nama saya yang sebenar iaitu Nur Fatiha Fadila

Saya berterima kasih kepada Syafiqa kerana masih setia mengharumkan bunga persahabatan kami. Saya dan Syafiqa berkenalan semenjak di darjah satu lagi di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2. Tetapi kami tidak akrab, saya seorang yang pendiam dan sering menyendiri sejak dari sekolah rendah. Syafiqa dan saya hanya mula mengenali hati budi masing-masing semasa di darjah enam. Walaupun saya dan Qa (gelar yang saya beri pada Syafiqa) berada di kelas yang sama dalam darjah satu, dua, tiga dan lima hanya pada tahun 1999, ketika kami di darjah enam barulah kami makin akrab. Bermula dari situ, saya dan Qa menjadi bertambah mesra dan makin memahami erti persahabatan apabila kami di tempatkan di kelas yang sama dari tingkatan satu hingga tingkatan llima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang dan di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan.


Persahabatan dengan Qa memang suatu hadiah yang sangat bermakna buat diri saya. Semakin hari saya semakin memahaminya. Cuma, saya paling tidak berkenan dengan sikap Qa yang suka melempiaskan marahnya pada orang lain dengan berlaku diam dengan saya. Fuh, memang saya tidak berkenan dengan sikapnya itu tetapi saya memahaminya. Saya ingat lagi kata-kata Qa bahawa dia memillih jalan untuk berdiam diri dengan saya ketika dia memarahi seseorang kerana tidak mahu saya pula yang menjadi subjek untuk dia melempiaskan marahnya. Aduhai sahabat, pening fikirku ketika itu. Namun, itulah Nur Syafiqa Yusoff saya. Sahabat yang sentiasa ada kala tangis dan tawa. Insan yang memahami diri saya saat senang atau susah.


Kami memang ibarat belangkas, seandainya salah seorang daripada kami berjalan sendirian - pastinya akan ditegur oleh para guru atau rakan.

"Eh Syafiqa, Fatiha mana?"
"Ha, Syafiqa mana, Fatiha?"

Sewaktu mendapat keputusan kemasukan ke universiti pada Jun 2007, Qa telah mendahului saya dengan memasuki Universiti Malaya dengan pengkhususan Sastera. Suatu yang tidak pernah Qa gambarkan dulu. Saya masih ingat, sewaktu kecil Qa bercita-cita untuk menjadi doktor, semasa di sekolah menengah muncul pula keinginan untuk menjadi peguam dan alih-alih Qa bertampuk di medan ilmu kesusasteraan. Pada mula memang Qa sering mengadu sukar untuk menerima kenyataan itu namun masa membuktikan Nur Syafiqa mampu menempuhi segala dugaan dan mula jatuh cinta dengan dunia kesusasteraan. Lucu juga apabila saya mengenangkan Qa yang tidak pandai menaiki bas, tidak tahu bersesak di dalam LRT, takut menekan loceng bas mula belajar untuk hidup berdikari tanpa kami saling bersisi.

Saya akui, ketika Qa mula memasuki UM dalam minggu pertama memang kami berhubung dengan sms saban hari. Namun, lama kelamaan kiriman sms bertambah kurang. Pada ketika itu, memang saya terasa hati. Tambah apabila memikirkan yang Qa pasti sudah mempunyai teman baru yang lebih baik daripada saya. Walau bagaimanapun, setelah saya memasuki alam mahasiswa pada Januari 2008 barulah saya sedar betapa alasan yang diberikan Qa iaitu sibuk dengan jadual kuliah dan tugasan itu memang benar belaka. Saya mengakuinya kerana saya sendiri melaluinya. Kekangan masa dan ruang dalam mengejar pelbagai perkara membuatkan saya kadang kala lupa untuk melihat peti simpanan mesej saya. Yang saya hanya fikirkan dan tidak pernah saya abaikan dalam menghantar pesanan ringkas dan menghubungi melalui telefon ialah emak dan cikgu. Kedua-dua insan penting ini tidak boleh saya abaikan walau sesibuk manapun saya. Ketika ini, Qa sedang menjalani latihan praktikanlnya di Institut Terjemahan Malaysia. Semoga banyak pengalaman dan pengetahuan yang akan membantu Qa dalam menjalani liku sebagai manusia.

Atas segala pengorbanan, persahabatan dan jalinan mahabbah antara Nur Syafiqa Yusoff dan saya - rimbunan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. Buat Nur Syafiqa, belajarlah rajin-rajin dan capailah bintang cemerlang di langit kejayaan. Insya-Allah, kita sama-sama bersahabat dan kita juga akan sama-sama mencapai kecemerlangan. Buktikan kepada orang-orang yang memandang rendah kepada kita bahawa kita mampu mencipta pelangi kejayaan dengan langkah berdikari kita sendiri.

Salam buat sahabatku tersayang - Nur Syafiqa Yusoff.

Dirimu sahabat sejati,
indah gemerlap di celahan kaca
semoga ukhwah terjalin kekal diredai.

RAMBUT PUTIH SAYA


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

BEBERAPA hari ini, saya mulai sedar bahawa telah muncul beberapa helai rambut putih atau uban di kepala saya. Usia saya baru sahaja menginjak 22 tetapi wajah saya tampak lebih tua daripada usia sebenar saya, kata emak. Secara jujur, saya langsung tidak kisah tentang itu. Semenjak saya di bangku sekolah menengah lagi, tidak sedikit yang menyangka saya sudah bekerja walaupun ketika itu saya masih berada di tingkatan empat dan lima.

Pernah pada satu hari Suai Mesra untuk pelajar-pelajar tingkatan satu di sekolah, saya telah disalah anggap sebagai seorang guru oleh beberapa orang pelajar. Ketika itu, saya tidak berpakaian seragam sekolah kerana kehadiran saya pada hari itu hanya sekadar untuk membantu para guru saya. Lalu, saya mengenakan jubah seperti kebiasaan. Agak lucu apabila beberapa pelajar baru yang melalui saya akan menegur dan memberi salam kepada saya.

"Assalammua'laikum, cikgu."

Saya dengan rasa lucu pun dengan bersahaja terus melakonkan 'watak' yang diberikan itu. Secara bersahaja saya menjawab dan sekiranya ada pertanyaan daripada pelajar-pelajar itu, saya sengaja menggunakan ganti diri 'cikgu'. Yalah, mereka sendiri yang memanggil saya 'cikgu' - lantas saya pun mengambil kesempatan itu untuk berada dalam kondisi 'perasan' dalam sedar.

Pernah juga ketika saya berkunjung ke Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2004 ketika saya di tingkatan lima, fasilitator yang menemani kumpulan saya telah tersalah sangka bahawa saya sebagai salah seorang guru pengiring kepada rakan pelajar lain. Lucu sekali tetapi seronok juga. Malah semasa mula-mula memasuki ASWARA, Pak Nik (Pensyarah Fakulti Muzik) yang kebetulan menaiki lif yang sama dengan saya berkesempatan berbual dengan saya.

"Mengajar apa?" Saya terkejut dengan pertanyaan itu.

"Maksud Encik?"

"Awak tutor baru ya? Dah lama saya nak tegur tapi tak berkesempatan lagi."

"Oh, saya bukan tutor Encik. Saya pelajar baru di sini." Ujar saya dengan sedikit tawa.

"Oh, saya ingatkan tutor..."

Kini, saya sedar yang semakin hari saya semakin tua. Terlalu banyak perkara yang perlu saya tunaikan sebelum saya menjadi begitu tua dan tiada upaya untuk melakukannya. Saya pernah juga terbaca di dalam sebuah buku tulisan Tuan Guru Nik Aziz ketika saya di tingkatan empat, ketika itu saya berada di Kedah, menemani Ustazah Nasriyah pulang ke kampung. Sebahagian yang masih saya ingat, terdapat petikan di dalam buku itu yang menyatakan bahawa helaian uban itu merupakan petanda usia yang semakin lanjut dan ajal yang semakin tiba. Hadis juga menerangkan betapa rambut putih itu tidak sewajarnya dicabut atau dihitamkan, boleh saja jika diinaikan. Mungkin supaya tanda peringatan itu kekal dan mampu mengembalikan insan apabila tersasar lantaran menghayati setiap ketentuan Ilahi.

Ya, saban hari kita berhadapan dengan ketentuan maut yang tidak pernah kita ketahui bila datangnya. Saya sendiri dan kita semua tidak pernah tahu, cuma yang pasti - segalanya telah ditetapkan sejak lama dahulu di luh mahfuz. Saya sedar betapa saya perlu sentiasa insaf dan bertaubat saban hari terhadap setiap salah langkah yang saya lalui.

Hanya sebagai hamba yang serba lemah, saya berharap agar saya sentiasa diberi kekuatan untuk terus berusaha menjadi hamba-Nya yang lemah. Saya tahu dengan kebesaran dan nikmat keampunan serta kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Cuma, sering kali saya berasa terlalu sukar untuk saya menggapai cinta rahmat-Nya memandangkan terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan sama ada dalam sedar atau tidak.

Namun yang pasti, saya sentiasa yakin dengan kasih sayang-Nya dan saya sentiasa berharap agar saya yang hina ini sentiasa terpilih untuk berada di bawah lembayung rahmat-Nya dan sentiasa dianugerahi kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang mukminat.

Waallahu'alam


Sabtu, 27 Juni 2009

Media Elektronik Tempatan Terlalu TERBUKA

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SAYA agak terkilan melihat drama-drama, filem tempatan terutamanya Melayu yang kononnya menguar-uarkan slogan filem kita wajah kita tetapi nyata jauh daripada hakikat realitinya. Hal ini dapat dilihat jelas dari segi pemakaian, dialog dan alur cerita yang bagi saya kebanyakannya telah jauh menyimpang daripada tatasusila Melayu itu sendiri.

Turut membimbangkan apabila pihak penerbitan ambil mudah soal ini. Sebagai contoh, saya agak terkilan melihat sebuah paparan iklan sabun pada waktu arus perdana yang bagi saya tidak sesuai untuk ditonton bersama keluarga apatah lagi bersama anak-anak. Hal ini mungkin dirasakan remeh tetapi sebagai seorang Muslim, saya berasa adalah tidak wajar untuk kita membiarkan drama-drama dan media elektronik yang menjadi tatapan umum dan keluarga diperkosa dengan elemen-elemen seperti itu. Apatah lagi apabila negara diuar-uarkan sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

Coretan ini sekadar luahan terpendam saya dan merupakan terjemahan perasaan tidak senang terhadap isu ini.

Waallahu'alam

Selamat Hari Lahir Emak Sayang

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

HARI ini genaplah 58 tahun usia emak yang sangat saya sayangi. Rimbunan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T atas nikmat usia yang diberikan. Saya mendoakan agar emak dianugerahkan kesihatan yang berpanjangan dan nikmat usia yang panjang dalam ketaatan. Semoga emak akan terus tabah menghadapi liku hidup dan semoga segala ujian yang dihadapi emak akan terbalas dengan kemudahan di akhirat kelak. Ketahuilah emak, adik sangat mencintai emak.
Selamat Hari Lahir Emak Sayang. Peluk cium khas untukmu.

Kasih Yang Abadi

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SAYA benar-benar diterjah rasa gusar dan bimbang yang menggunung lantaran sudah sembilan hari seorang insan yang sangat akrab dengan saya diserang demam yang tidak mudah dikesan puncanya. Semuanya bermula pada malam 19 Jun 2009 yang lalu. Demam beliau masih tidak kebah sehingga ke hari ini. Sudah enam kali sampel darah diambil oleh doktor di Klinik Perubatan Selayang Baru dan Hospital Selayang tetapi demamnya masih belum kebah.

Semalam, beliau telah ditahan di wad kecemasan dan dimasukkan dua botol air NH. Kesakitan yang dirasakan ketika misi memasukkan jarum ke belakang tangan tidak dapat digambarkan. Beliau seorang yang sangat sukar untuk menangis malah saya tidak pernah melihat titisan air mata mengalir di pipinya sepanjang enam tahun saya mengenali beliau, namun saya dapat melihat genang air mata melingkar di tubir matanya pada hari itu. Hati saya benar-benar dipagut pilu melihat kesakitan yang dialami beliau.

Menurut doktor, sampel darah tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi dan itu cukup membuatkan saya begitu bersyukur. Maklum saja, kawasan kediaman saya memang terkenal dengan penularan wabak denggi. Beberapa hari selepas pulang dari beberapa sesi pemeriksaan, kehangatan menjalar di segenap tubuh beliau dan benar-benar dapat saya rasakan. Ada ketikanya, rasa sejuk yang mencengkam menggugat kestabilan dirinya. Namun, saya bangga kerana beliau - dibesarkan tanpa ibu dan bapa mampu setabah itu mengharungi ujian Allah ini.

Saya yakin dengan keadilan Allah yang menurunkan ujian mengikut kekuatan hamba-Nya dan saya yakin beliau seorang yang kuat untuk menghadapi musibah ini. Atas nasihat beberapa rakan, saya telah menyediakan rebusan air barli yang dikatakan dapat menurunkan suhu panas badan. Saya berharap agar suhu badan beliau akan menurun dan beliau akan lekas sembuh daripada demamnya. Semoga ada hikmah di sebalik ujian Allah itu.

Beliau seorang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Seandainya ada kejayaan saya kini, itu tidak terkecuali daripada doa dan usaha beliau yang turut sama berusaha menentukan kejayaan saya di titian yang benar. Malah, beliau jugalah yang menjadi tunjang dalam menyemarakkan semangat saya untuk menjadikan ilmu sebagai medan utama dalam mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Saya berdoa dan saya berharap agar kita sama-sama mendoakan guru saya yang sangat baik hati ini agar sembuh daripada sakitnya dan semoga sakit yang menimpa itu merupakan kaffarah daripada dosa-dosa yang kita lakukan sebagai hamba yang lemah. Saya percaya, ujian sakit itu hadir dengan rahmat dan cinta kasih Allah yang menjadikan ujian itu sebagai laluan untuk menghapuskan dosa-dosa kecil hamba-hamba-Nya.

Buat Cikgu Julia Juis, ketahuilah bahawa saya sangat menyayangi cikgu dan insya-Allah saya akan menjaga cikgu semampu dan sehabis baik. Percayalah, cikgu tidak keseorangan di sini. Para pelajar cikgu sentiasa mengingati dan mendoakan cikgu . Semoga ketabahan cikgu akan lebih terbukti dengan ujian sakit ini. Ketahuilah, ujian tanda kasih cinta Allah kepada hamba-hamba pilihan-Nya. Pelajarilah cara Allah memperlihatkan kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba pilihan-Nya.

Kamis, 18 Juni 2009

Selamat Hari Lahir, Sayangku

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.


22 JUN ini genaplah setahun usia lima ekor kucing peliharaan saya. Anak kepada induk yang saya kutip di jalanan pada tahun 2005, Mimi. Lima ekor anak Mimi yang diraikan merupakan generasi ketiga daripada Mimi. Mereka ialah Tommy (siam-parsi), Chubby (parsi), Sophie, Berry dan Owy.


Kehadiran mereka dengan pelbagai keletah yang tersendiri sentiasa menceriakan suasana. Tommy yang sangat manja, Chubby yang selalu berlagak selamba, Berry dan Owy yang sentiasa aktif dan lincah serta Sophie yang penuh dengan muslihat. Kucing-kucing saya ini banyak mengajar saya erti sabar. Terima kasih atas kehadiran kalian. Selamat Hari Lahir dan semoga sihat selalu.

Memorabilia

Lima beradik selepas dua hari dilahirkan.


Owy dan Tommy yang baru dilahirkan.

Lima beradik sedang menikmati sarapan bersama Smart Heart.


Tommy dan Sophie yang mesra.


Chubby dan Sophie.

Berry ketika kecil.

Tommy ketika demam.


Rabu, 27 Mei 2009

Nasib Bahasa Melayu



Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Ketika berada di dalam bas Metro menuju ke kampus pada jam 6.50 pagi semalam. Saya mendengar berita yang disampaikan oleh penyampai berita Radio Sinar.fm bahawa keputusan pelaksaan PPSMI akan diumumkan tidak lama lagi. Lantas, hati saya terdetik untuk berdoa agar keputusan yang terbaik untuk kebaikan bahasa dan bangsa Melayu akan diumumkan.

Secara peribadi, sekiranya PPSMI tetap dijalankan walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu, sasterawan dan pejuang bahasa sendiri - segala-galanya akan menjadi sias-sia. Bahasa Melayu akan semakin dipinggirkan. Hal inni tidak seharusnya terjadi. Jika diimbau sejarah lampau, bahasa Melayu nyata gah di mata dunia sebagai bahasa antarabangsa alias lingua franca. Malah, seorang sarjana Belanda pernah menyebut bahawa pedagang dan masyarakat pada ketika itu yang tidak mengenali dan memahami bahasa Melayu sama seperti orang yang tidak mengenal bahasa Perancis.

Hal ini membuktikan betapa bahasa Melayu sangat mampu digunakan untuk berinteraksi dengan dunia luar dalam pelbagai bidang urusan. Sekiranya pihak berkenaan masih nekad untuk merealisasikan PPSMI, maka bangsa Melayu terutamanya akan semakin berdepan dengan kemunduran tahap pelajaran anak-anak kita. Lebih malang, pelajar-pelajar di luar bandar akan menerima nasib yang lebih buruk.

Para sasterawan dan pejuang bahasa tidak sama sekali menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi antarabangsa masa kini. Namun begitu, bahasa Melayu tetap perlu dipertahankan fungsinya sebagai bahasa ilmu. Usaha pemupukan dan pengistilahan telah giat dijalankan agar mampu mengungkapkan istilah-istilah teknikal dan sains. Sebagai individu yang pernah menjadi pelajar aliran sains, saya berasa tidak mempunyai masalah untuk memahami istilah-istilah teknikal dan sains yang dihadapi pada ketika itu. Hal ini berbeza dengan pelajar-pelajar kini yang perlu berhadapan dengan bahasa Inggeris untuk memahami pembelajaran mereka. Sementalahan pula, para pelajar masih diberi pilihan untuk menjawab peperiksaan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Sudah tentu lebih mudah dan pantas untuk dijawab dalam bahasa Melayu.

Walau semoden mana dan betapa pentingnya bahasa Inggeris di mata dunia, masyarakat berjiwa dan berdarah Melayu perlu sedar akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang pernah diwartakan satu ketika dulu. Tidak perlu terlalu menyanjung bahasa Inggeris dalam pelbagai segi semata-mata ingin menuruti arus negara barat. Lihat saja negara Korea dan Jepun, dua buah negara timur yang tetap maju dan cemerlang di mata dunia tanpa perlu meminggirkan bahasa kebangsaan mereka. Mengapa Malaysia tidak boleh mencontohi dua negara timur itu?

Semoga keputusan yang bakal keluar nanti tidak akan terus membelakangkan bahasa Melayu yang telah diperjuangkan oleh para nasionalis dahulu.




Wallahu'alam.




Minggu, 24 Mei 2009

Suatu Peluahan Nurani

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

ISLAM itu cukup indah dan mudah. Setiap yang digariskan oleh Al-Quran bukan sekadar mengandung segala unsur kenikmatan yang disadur berlandaskan keindahan Islami. Sebaliknya turut menggariskan segala corak panduan kehidupan menerusi al-Quran dan hadith Nabi Muhammad S.A.W untuk kebaikan dunia dan akhirat penganutnya. Setiap titipan wahyu daripada Allah S.W.T melalui Al-Quran karim merupakan titipan kasih dan rahmat-Nya untuk kesejahteraan hamba.


Sayang sekali, keindahan mutlak dan kemudahan yang diberikan Islam melalui peraturan yang disediakan sering disalah tafsir oleh akal-akal waras yang cuba didangkalkan lantaran kurang upaya untuk mengerti setiap makna yang tersirat. Setiap sebab dan musabab bagi tiap peraturan yang dimaktubkan oleh Allah sering dipandang sebagai beban. Lebih malang apabila ada segelintir muslim tidak mukmin yang menganggap segala peraturan mutlak itu sebagai ketinggalam zaman. Arus kemodenan dan kecanggihan hidup dijadikan alasan untuk menolak segala bentuk peraturan yang dianggap sebagai membebankan dan menyekat kebebasan untuk hidup.


Tinta ini ditulis berikutan perihal yang berlaku pada diri penulis dan rakan muslimah yang cuba mempertahankan kesucian kami sebagai wanita Islam untuk tidak bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram kami (seorang tenaga pengajar). Segelintir kami ini dipandang serong malah dianaktirikan oleh yang berkenaan dengan beranggapan sinis terhadap perbuatan kami berikutan enggan bersalaman dengannya. Barangkali, kami dilihat tidak sopan dan tidak menghormatinya lantaran ketegasan kami dalam mempertahankan telapak tangan kami daripada bersentuhan dengannya – seseorang yang halal untuk menikahi kami walaupun usianya sudah separuh abad.Ilmu di dada masih terlalu kurang. Pengalaman juga belum lagi mantap. Dosa yang ditanggung pula tidak terkira banyak. Tidak bersalaman dengan yang berkenaan setiap kali usai melakukan latihan praktikal bukan bermaksud kami tidak menghormati mereka. Malah, kami sangat menghormati dan menyayangi pensyarah-pensyarah budiman yang bijak untuk memahami situasi. Penulis pernah mendengar sebuah hadith sahih yang membawa maksud: “Bersentuhan dengan wanita yang bukan mahram itu lebih hina daripada menyentuh tubuh khinzir.” Wallahua’alam.


Malah, hampir tiada hadith sahih yang menceritakan keadaan Rasul Junjungan pernah bersalaman dengan wanita yang tidak halal bagi baginda. Justeru, penulis sedaya upaya yakin bahawa adalah sesuatu yang haram untuk bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram bagi diri walaupun lelaki itu sudah tua atau seorang ilmuan yang sangat dihormati. Islam telah menggariskan batas pergaulan antara lelaki dengan wanita dengan sebaik-baiknya untuk kemaslahatan kita sendiri. Justeru, mengapa perkara-perkara murni seperti itu perlu dipertikaikan? Wajarkah ketetapan Allah itu dipermain-mainkan? Tenaga pengajar itu seolah-olah menyindir penulis dan rakan muslimah apabila mengeluarkan bicara berbunyi (lebih kurang) “ ... apa perempuan-perempuan di Malaysia ini jijik ya bersalaman dengan lelaki. Kalau di Indonesia tidak ...”


Hal ini nyata ditujukan kepada penulis dan rakan muslimah yang tidak pernah bersalaman dengan beliau setiap kali selesai latihan yang dijalani. Malah, atas alasan untuk menjernihkan pandangan mahasiswa terhadap beliau, ungkapan ini telah disuarakan “ Jika bapak menyentuh anak-anak, maka itu sentuhan antara bapak dengan anak. Ya, itu tidak salah bapak pikir. Kalau bapak ingin berniat jahat, bisa saja bapak nempah hotel. Di situ lebih selesa ...”Penulis dan rakan berasa sangat kesal apabila tenaga pengajar yang sering berbicara dan mengajar tentang adat dan agama tetapi memandang hina apabila kami cuba mempertahankan kepercayaan kami ini. Bagi penulis, alasan seperti persentuhan yang tidak membawa apa-apa makna selain persentuhan persis hubungan ayah dan anak tidak boleh diterima dalam apa-apa keadaan sekali pun. Apatah lagi sekiranya persentuhan itu dilakukan pada tempat-tempat yang tidak pada kebiasaannya!


Niat hati seseorang tidak mungkin dapat kita tafsirkan dengan sejelasnya. Lantas, adalah wajar bagi setiap wanita untuk menaruh prasangka terhadap kaum lelaki terutama apabila melibatkan maruah diri.Penulis teringat pesan yang disuarakan oleh seorang ulama’ iaitu Ali al-Thantawi sebagai ingatan untuk para muslimah yang berbunyi :Wahai puteri, demi Allah jangan engkau percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila bercinta denganmu seperti teman yang akrab. Sebenarnya mereka berdusta. Andai engkau mendengar sendiri perbualan mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri. Hanya di tanganmu pintu segala kebaikan. Bukan di tangan kaum lelaki.Sebagai seorang ilmuan juga, adalah tidak wajar untuk mengesampingkan pelajar-pelajar seperti kami hanya kerana keteguhan kami untuk enggan bersalaman dengannya. Sungguh!


Bukan sesuatu yang wajar untuk seorang muslimah memberikan salamnya kepada seseorang lelaki yang bukan mahramnya semata-mata kerana takut dipandang sebagai kolot atau untuk menjaga hati warga seperti itu. Setiap muslimah yang berhadapan dengan situasi seperti ini perlulah bertegas pada diri sendiri bahawa yang ditakutkan bukanlah pandangan dan kemarahan insan-insan pada kita lantaran keputusan diri untuk berteguh pada undang-undang Ilahi. Sebaliknya, setiap hamba perlu lebih sedar akan pandangan murka dan azab Allah S.W.T atas segala tingkah sumbang kita sebagai hamba yang lebih rela membelakangkan hukum Allah demi menjaga naluri seorang hamba Ilahi lain yang tidak ada lebihnya di sisi Allah melainkan takwa.Setiap daripada kita tanpa mengira lelaki ataupun wanita perlu menjaga batas-batas pergaulan agar tiada kekhilafan yang akan menyebabkan kita membelakangkan perintah Tuhan. Kesucian diri dan agama lebih utama untuk dipertahankan daripada kehinaan sementara yang diberikan penghuni dunia.


Semoga rahmat Ilahi menemani langkah diri dan semoga hidayah taufik diberikan pada diri yang cuba mengerti dan pada akal yang enggan mengerti. Sesungguhnya, tiada kasih dan cinta yang wajar menjadi dambaan utama hamba melainkan kasih dan cinta Ilahi yang kekal abadi.Sekadar peringatan untuk diri penulis dan sahabat – kematian di dunia bukan bermakna penghujung pada sebuah penghidupan sebaliknya permulaan kepada sebuah perjalanan rohani yang bakal menentukan letak duduknya kemuliaan dan kehinaan diri di negeri akhirat yang kekal abadi. Justeru, imbangilah kehidupan di dunia dengan cita-cita akhirat yang dibiaskan dengan langkah telus menuju kemuliaan hakiki. Mohon ampun jika ada salah dan silap dan sedia diperbetulkan sekiranya ada kekhilafan di sana sini.Waalahu’alam.

Senin, 18 Mei 2009

Suara Yang Memanggil


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Pagi Sabtu yang lepas, saya mendengar bunyi ngiauan kucing dari bahagian belakang rumah. Nyaring sekali bunyinya. Dengan mendengar ngiauan itu, yakinlah saya bahawa ngiauan itu datang dari peti suara anak kucing yang baru lahir. Pasti dia kehilangan ibunya.

"Tolong! Tolong!"


Begitulah yang sampai di telinga saya. Ngiaun yang nyaring itu seakan-akan meminta pertolongan daripada manusia berperikemanusiaan untuk membantunya. Hati saya menjadi benar-benar sayu. Saya cuba menulikan telinga . Saya cuba untuk tidak mempedulikan ngiauan pertolongan itu. Hati saya disagat pilu. Bukan saya tidak mahu menyelamatkan anak kucing itu, tetapi saya sendiri sudah mempunyai tujuh ekor kucing. Sekiranya saya keluar ke belakang, melihat kucing itu - saya pasti akan mengambil dan memeliharanya. Maka, akan bertambahlah bilangan kucing saya! Hal ini yang cuba saya elakkan.
Sepanjang hari Sabtu itu, saya tidak mampu untuk mengulang kaji pelajaran dengan tenang. Ngiauan kucing itu benar-benar menghantui saya. Malah, suara rintih kucing itu membuatkan saya berasa sangat berdosa dan bersalah kerana membiarkannya. Tambahan pula, cikgu sering melarang saya membawa balik kucing jalanan seperti yang sering saya lakukan dahulu sehingga membiakkan tujuh ekor kucing kini.

Saya menangis teresak-esak pada malam itu. Ngiaun kucing kuat kedengaran. Saya diselubung kerisauan kalau-kalau anjing-anjing liar yang sering bertandang di belakang rumah pada waktu malam akan merobek perut dan menggigit anak kucing itu. Tetapi, saya masih membekukan hati. Dalam tangisan bersalah, saya berdoa agar anak kucing itu diberikan kehidupan sekiranya kehidupan itu lebih baik untuknya dan diberikan kematian sekiranya kematian itu lebih baik untuknya.
Harapan saya, ngiauan anak kucing itu tidak akan saya dengar lagi pada keesokan harinya. Harapan saya, agar ada insan berhati mulia yang akan menyelamatkannya, tidak seperti saya!
Di hening pagi Ahad yang dingin , saya mula berasa lega. Saya berdiri di jendela dapur. Bunyi ngiauan sudah tiada. Saya cuba menyegarkan rasa dengan berkata pada diri sendiri:
"Alhamdulillah, adalah orang yang dah selamatkan tu. Huh."

Namun, tidak sampai lima minit saya bergerak ke ruang depan - ngiauan bergema lagi. Kali ini, ngiauan sudah agak perlahan dan terhenti kadangkala. Hati saya diserbu rasa bersalah dan bimbang . Saya khilaf, benar saya ingin sekali menyelamatkan kucing itu tapi saya juga khuatir dimarahi cikgu. Perasaan saya dipendam lagi. Sepanjang Ahad itu saya menjadi murung. Ulang kaji untuk peperiksaan terakhir esoknya tidak berjalan lancar. Emosi saya benar-benar terganggu!
Ngiauan anak kucing itu tidak lagi kuat seperti semalam. Bunyinya sudah semakin perlahan dan sayu. Mungkin dia sudah keletihan. Kadangkala, suaranya tenggelam seketika. Saya membesarkan nada suara peti televisyen agar suaranya tidak saya dengari. Saya menonton rancangan Meow! Belai Si Manja Bersama Friskies tetapi tetap tidak berasa tenang.

Lantas, pada jam 1.30 tengah hari, saya memujuk cikgu yang baru pulang dari menyambut Hari Kecemerlangan Pelajar di sek0lah agar membenarkan saya menyelamatkan anak kucing itu. Saya tahu, cikgu juga menyimpan kasihan kepada anak kucing itu tetapi cikgu keraskan hati. Yalah, kami sama-sama menyayangi makhluk comel itu!

"Pergilah tengok. Cuba cari mak dia." ujar cikgu.

Tanpa berlengah, saya terus mengenakan jilbab dan menuju ke bahagian belakang rumah. Saya mencari-cari tubuh anak kucing itu tetapi tidak jumpa. Tambahan pula, ngiauannya sudah tidak saya kedengaran sejak sejam yang lalu.

"Mungkin dah mati." Saya benar-benar diterjah rasa bersalah kerana membiarkan anak kucing itu kesejukan dan bersendirian sejak pagi semalam sehinggalah petang Ahad itu.
Di hati, saya tekad sekiranya dia dijumpai mati - saya tetap akan mengambilnya dan menanamnya seperti kebiasaan yang saya lakukan pada kucing-kucing angkat saya.

Dalam dua minit mencari, jantung saya bagai terhenti seketika. Saya masih ingat lagi babak itu. Pandangan saya tertancap pada sekujur tubuh anak kucing berbulu hitam dalam keadaan mengiring. Itulah dia. Suaranya sudah tidak bergema. Saya benar-benar rasa bersalah. Saya dekati anak kucing itu, masih ada gerakan nafas di perutnya.

Alhamdulillah, dia masih hidup. Dirinya segera saya capai dengan palma tangan . Benarlah seperti sangkaan saya - dia masih bayi yang baru dilahirkan semalam (Sabtu) . Tali pusatnya sendiri masih belum tercabut. Dia masih bernyawa. Saya bersyukur lalu segera membawanya masuk ke rumah.

Anak kucing itu saya panggil sebagai "Baby". Keadaannya tampak benar-benar letih. Suaranya juga memang sudah perlahan. Mungkin kepenatan selepas hampir dua hari menjerit meminta pertolongan. Dengan keadaan sekecil itu, Baby pasti tidak akan hidup lama mengikut pengalaman saya menjaga kucing sebesar itu beberapa kali. Dia perlukan hangat tubuh ibunya dan lemak susu ibunya. Susu kucing saya pula telah habis.

"Cuba awak pergi cari mak dia dekat belakang dulu. Kalau tak ada kita jaga jelah. Nanti pergi beli susu dekat Mydin." Kata cikgu sambil memegang dan mencium Baby.

Cikgu memasukkan sedikit air masak ke dalam mulut Baby dengan menggunakan syringe sementara saya mencari ibu Baby.
Ya, saya menemui ibu Baby di bawah sebuah almari di rumah jiran. Ibunya bersama tiga ekor anak kucing lain. Dengan bantuan jiran, saya menyerahkan Baby kepada ibunya. Mujur ibunya masih boleh menerima Baby. Saya dan cikgu berasa sangat lega. Hilang rasa beban di hati saya mengenangkan Baby yang meminta dirinya diselamatkan.

Bagi saya, Baby boleh bertahan selama itu walaupun baru dilahirkan kerana dia masih mempunyai bekalan makanan yang didapatinya di dalam perut ibu sebelum dia dilahirkan dan 'tertinggal'. Malah, setelah berfikir- saya berasakan ngiauan dan jeritan Baby bukan kerana dia ketakutan lantaran Baby masih belum pun membuka mata dan baru beberapa jam berada di lantai dunia - tetapi Baby mengiaua untuk mencari ibunya dan merintih kesejukan.

Saya bersukur, dengan perancangan dan kuasa Allah - anjing-anjing liar yang sentiasa berkeliaran di belakang rumah pada setiap malam tidak pula bertandang pada malam itu. Kalau tidak, pasti Baby sudah tiada lagi lantas saya akan terus diselubungi rasa bersalah.

Saya berharap agar Baby dan adik-beradiknya yang lain akan selamat dan mampu membesar dengan sihat. Semoga dosa saya membiarkan Baby terus mengiau sendirian selama hampir dua hari itu diampunkan Allah.






Keadaan Baby semasa diselamatkan.


Rabu, 13 Mei 2009

Terima Kasih Para Pendidik : Selamat Hari Guru


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.


16 MEI SETIAP tahun menjadi tanggal keramat buat semua guru di seluruh dunia. Hari Guru yang disambut setiap tahun pada tarikh tersebut sering memberi kesan yang mendalam terhadap golongan mulia ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘guru’ merujuk orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh. Dengan kepelbagaian bahasa di dunia ini, ungkapan guru juga hadir dalam pelbagai bentuknya. Dalam bahasa Mandarin, lao shi digunakan. Mualim dalam bahasa Arab dan teacher dalam bahasa Inggeris.


Walaupun ungkapan-ungkapan itu nyata berbeza bunyi dan ejaannya, kesemuanya tetap merujuk satu perkara dan satu profesion iaitu guru. Dewasa kini, dapat dilihat perbezaan yang wujud dalam institusi perguruan ini. Jika dahulu, guru sentiasa dihormati dan disegani oleh murid-murid, ibu bapa dan masyarakat; hal yang berbeza berlaku pada masa kini. Mungkin pernyataan ini tidak relevan untuk semua orang kerana masih lagi terdapat golongan yang sangat mengiktiraf dan menyanjung tinggi martabat guru. Namun, golongan yang menidakkan kemuliaan guru itu tidak kurang banyaknya.



“Anak saya, anak cikgu juga. Cikgu buatlah apa-apa yang terbaik untuk anak saya. Asalkan dia dapat menjadi orang yang berguna. Jangan sampai patah riuk anak saya ini sudahlah, cikgu.”


Itu kata-kata ibu bapa dahulu yang sangat faham dengan kerjaya seorang guru. Anak yang didambakan untuk menjadi orang berguna diserahkan bulat-bulat kepada guru untuk diajar menjadi insan berguna. Tanpa sedikit prasangka dan amarah. Sedikit cubitan, sebirat atau beberapa birat rotan di badan tidak menimbulkan kekecohan kepada ibu bapa. Mengapa? Bukan kerana ibu dan bapa dahulu tidak sayang atau terlalu keras hati lantas tega melihat anak yang disayangi disakiti. Namun, segalanya dilihat rasional dengan harapan agar anak yang ‘ditangan-tangankan’ oleh guru itu mendapat sedikit kesedaran berubah agar menjadi lebih baik dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.


Itu cerita dahulu. Sekarang lain pula. Baru-baru ini, sebuah berita tentang seorang guru yang dituduh telah mendera seorang pelajar tingkatan satu. Kecoh dibuatnya, tanpa sebarang sisatan yang telus dan lanjut, guru tersebut terus dikenakan kecaman dan dilabel sebagai zalim. Walhal, mengikut siasatan terperinci oleh pihak yang berkuasa; pelajar berkenaan dicubit oleh guru terbabit kerana pelajar itu telah meraba seorang pelajar perempuan. Niat guru itu mencubit bukan kerana ingin sengaja menyakitinya, sebaliknya dengan harapan agar pelajar tersebut menyedari kesalahan tingkah laku sumbang yang dilakukan dan berasa insaf untuk tidak melakukan perkara yang sama di masa lain.


Sebagai individu yang agak akrab dengan institusi perguruan ini, tidak dapat dinafikan bahawa martabat profesion mulia ini turut dipandang enteng lantaran beberapa guru yang menjadi guru bukan kerana azam dan cita-cita tetapi kerana ketiadaan pekerjaan dan tidak mahu menjadi penganggur berijazah. Natijahnya, ‘guru’ sebegini tiddak mampu menjadi guru dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka datang ke sekolah, mengajar dan pulang mengikut jadual. Ada sesetengahnya tidak langsung bimbang dengan prestasi setiap anak didiknya.


Seorang guru yang benar-benar berjiwa guru tidak hanya mempunyai ciri-ciri umum seorang guru seperti rajin, penyayang, mesra malah lebih daripada itu. Guru yang cemerlang mempunyai ciri-ciri khusus yang melangkaui ciri-ciri umum seorang guru seperti ramah, mencintai ilmu, sangat bertanggung jawab dan selanjutnya. Seorang guru yang sangat mencintai profesionnya tidak kisah untuk melakukan kelas tambahan percuma bagi meningkatkan prestasi para pelajarnya. Guru yang berdedikasi sentiasa sedia menjadi tempat rujukan baik dalam soal pelajaran atau lain-lain. Hal ini bukanlah pula bermaksud, guru perlu menjadi ‘lebih’ daripada seorang guru dan terlalu ‘istimewa’ dalam erti kata lain pada pelajarnya. Hal sebegitu tidak lain hanya akan mengundang bahaya!


Seperti yang tercatat dalam buku Persediaan Mengajar Sekolah Menengah bahawa tanggungjawab guru meliputi :


TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPDA
TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION PERGURUAN


Nah, betapa luasnya ruang lingkup tugas dan tanggungjawab seorang guru. Hal ini seharusnya sangat difahami oleh guru itu sendiri dan masyarakat amnya. Pemahaman yang luas terhadap tanggungjawab guru ini seharusnya melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmonis seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sesungguhnya peranan guru dalam membentuk sesebuah tamadun sangatlah besar dan begitu terbukti dalam setiap perkembangan tamadun dunia. Oleh yang demikian, adalah sangat wajar untuk setiap individu berfikir sejenak tentang profesion perguruan ini di samping menyelami peti perasaan guru yang hanya mengharapkan kejayaan para pelajarnya.


Di kesempatan ini, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Julia Juis, Guru Cemerlang Selangor Subjek Bahasa Melayu di SMK Seri Selayang yang begitu banyak membantu penulis dalam sehingga kini. Ucapan yang sama juga buat Kaunselor Cemerlang Negeri Selangor dari SMK Seri Selayang, Cikgu Norhana Othman, Cikgu Suaina Mansor, Ustazah Najwa dan Cikgu Seti Hajar.


Tidak lupa buat Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, En. Zakaria Ariffin, Dr. Asri zainul Abidin, En. Ali Majod, En. Azman Ismail, En. Ridzuan Harun, En. Wahab Hamzah, Dr. Abdul Samad Kechot, Dr. Hanafi Hussin, tenaga pensyarah di Fakulti Penulisan ASWARA, guru-guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2, guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang dan guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan atas bimbingan terbaik yang kalian berikan. Semoga segala budi jasa kalian diberkati Allahu Rabbi.



SELAMAT HARI GURU.


TERIMA KASIH yang tidak terhingga.