Jumat, 20 September 2013

ERTI BAHAGIA PADA MEMBERI

HAMPIR tujuh tahun saya ulang-alik ke Hospital Selayang membawa emak memenuhi janji temu di beberapa klinik pakar. Daripada berjalan kaki ke perhentian bas untuk menaiki bas, sehinggalah berpeluang menaiki kenderaan sendiri. Emak berjalan perlahan maka saya perlu sabar, kadang-kadang tangannya dipimpin. Ada ketika dibiarkan bebas berjalan sendiri. Sampai di lobi, emak akan minta dibelikan kacang kuda rebus kesukaannya. Hari ini, tiada emak. Penjual kacang rebus pun tiada. Kali terakhir saya bawa emak ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan setiap tiga bulan adalah pada Mac 2012. Saya masih ingat, emak memakai baju kurung saya pada hari itu. Pelik, perkara yang tidak pernah emak buat. Tiba di rumah usai kuliah, emak sudah bersiap untuk ke hospital. Itulah sikap emak yang saya warisi, sangat berpegang pada ketepatan masa. Pada Mei 2012, terlaksana ketetapan Ilahi, roh emak diambil di Wad CCU, Hospital Selayang. Perginya sendiri. Begitu, manusia belajar betapa hidup akhirnya sendiri walaupun tidak sedikit yang menemani atau mahu menemani.

Hari ini, ialah kali pertama sejak emak tiada saya ke Hospital Selayang untuk diri sendiri. Rasa sangat janggal kerana tiada emak,atau lebih tepat tidak bersama-sama emak. Terasa janggal hadir ke rumah sakit bukan sebagai penjaga. Setiap jalan, lorong yang saya lalui, kelihatan seolah-olah emak turut berada di situ. Wajahnya yang sentiasa sabar. Pergerakannya yang perlahan. |Sesekali berhenti kerana penat, mengah berjalan jauh. Langkahnya kecil berbanding langkah saya yang selalu lebih panjang dan laju. Apabila sedar, saya berusaha memperlahankan langkah. 

Beberapa jam di sini, hari ini - saya melihat gelagat manusia yang pelbagai. Yang menjadi pesakit, menjadi teman atau perawat. Akan tetapi, pandangan saya lebih terikat kepada ibu-ibu dan anak-anak yang menemani mereka. Sungguh saya cemburu melihat mereka. Cemburu yang sangat menyakitkan apabila hakikatnya saya tidak lagi mampu menemani emak seperti yang dapat mereka lakukan. 

semoga anak ini menjadi manusia bertakwa
Ketika menunggu giliran, saya duduk di depan seorang ibu muda yang memangku anaknya. Saya kira anak itu dalam usia satu bulan. Saya fikir anak kecil itu lelaki, kerana wajah dan warna baju yang dipakainya. Ralit sungguh dia tidur. Bertentangan dengan tempat itu, saya lihat pula seorang ibu menyusukan anak yang baring di pangkuannya dengan susu botol. Mereka mengingatkan saya pada seorang ibu muda semalam di sebuah Klinik Kesihatan. Dia enggan pulang walaupun urusannya sudah selesai. Apabila ditanya kenapa, jawabnya kerana dia perlu menunggu bas dalam keadaan yang panas dan pulang berjalan kaki untuk masuk ke kawasan perumahan. Itu membuatkan ibu muda tidak mahu mengejutkan anaknya yang berusia tiga tahun yang sedang tidur. Anaknya itu demam. Dia mahu anaknya cukup tidur agar mereka dapat sama-sama jalan kaki pulang ke rumah. Biarlah dia menunggu anaknya itu bangun dengan sendirinya terlebih dahulu. Jangan diganggu tidur anak itu.

Itulah cinta sebenar. Sanggup berkorban dan bersedia memberi kebahagiaan. Bukan menuntut kebahagiaan. Itulah yang emak saya lakukan selama menjadi seorang ibu dan semua status yang pernah dipegangnya. Kepadanyalah rindu saya melimpah-ruah dan semakin kuat mencengkam jiwa. Apabila rindu seperti ini disertai rindu yang lain, akuilah betapa kuatnya manusia menanggung rindu yang menggunung di dalam sekeping hati.

Al Fatihah, Rambelah binti Maryam
27 Jun 1951 - 19 Mei 2012

Tidak ada komentar:

Posting Komentar