Minggu, 12 Juli 2009

ANTARA DUA JALAN

DI KAWASAN perumahan saya, ada satu jalan yang akan digunakan oleh kebanyakan penduduk untuk sampai ke kedai. Jaraknya dalam lima minit dari kediaman Apartmen Julia. Sebenarnya jalan itu merupakan tanah lapang yang telah diduduki secara tetap oleh lalang. Ada masanya pihak berwajib akan melakukan proses pembersihan di kawasan itu namun tidak lama kemudian, lalang akan tetap tumbuh meninggi dan menghiasi pemandangan. Tidak dinafikan, terdetik juga rasa takut di hati setiap kali saya melalui jalan itu. Namun, setiap langkah saya atur bersama alunan ayat Qursi yang sentiasa menjadi amalan saya apabila keluar dari rumah. Cuma, saya sering berasa takut kalau-kalau ada s.n.a.k.e yang muncul di pertengahan perjalanan. Saya memang sangat menyukai binatang tetapi tidak kepada yang berstatus reptilia seperti s.n.a.k.e dan seangkatan dengannya.

Namun yang indahnya, ingatan saya sering terpanggil untuk mengingati isi cerita sebuah sajak Inggeris yang ditulis oleh penyair Robert Frost. Sekiranya saya tidak silap, tajuk sajak beliau yang saya maksudkan ialah 'The Roads'. Sajak itu merupakan salah satu sajak yang terselit di dalam sebuah antologi Kesusasteraan Inggeris yang menjadi bahan pelajaran saya semasa di sekolah menengah dahulu. Saya tidak ingat setiap bait kata di dalam sajak itu tetapi saya masih ingat tentang isi cerita yang disampaikan Robert Frost melalui sajak itu. Sajak itu menceritakan pengalaman penyajak yang berhadapan dengan dua persimpangan sewaktu perjalanannya di dalam sebuah hutan.

Ketika bertemu dua persimpangan itu, penyajak berhenti seketika dan berfikir sama ada ingin memilih jalan di sebelah kanannya yang ditumbuhi semak samun dan lalang yang meninggi atau memilih jalan di bahagian kirinya yang bersih daripada lalang yang tumbuh meninggi seperti jalan di bahagian kanannya. Penyajak yakin, jalan yang tidak ditumbuhi lalang itu pastinya sering dilalui oleh pengembara sepertinya manakala bahagian jalan di sebelah kanannya yang ditumbuhi lalang itu tentunya tidak pernah dilalui oleh sesiapa. Lalu penyajak berfikir arah mana yang ingin diikutinya. Akhirnya penyajak tekad memilih jalan yang dipenuhi lalang. Ketika sajak itu ditulis, penyajak menyatakan betapa gembiranya beliau dengan jalan yang dipilihnya itu kerana jalan yang tidak banyak dilalui orang itulah yang telah membawa dia mencapai kebahagiaan. Penyajak juga berandaian sekiranya dia memilih jalan yang bersih tanpa lalang dan memudahkan perjalanannya ketika dia berada di persimpangan itu, adakah nasibnya sebaik yang sedang dilaluinya setelah pilihan telah dia lakukan?

Secara tidak langsung, jalan berlalang yang sering saya lalui dan sajak oleh Robert Frost mengingatkan saya tentang arah tuju yang telah saya pilih sekarang ini. Yang saya maksudkan ialah arah pendidikan yang sedang saya jalani yang kelak Insya-Allah akan menentukan duduk letaknya kerjaya saya. Sebelum menerima jawapan temu duga dan keberjayaan saya sebagai calon mahasiswa di ASWARA pada awal Januari 2008, saya telah pun mendapat tawaran melanjutkan PJJ di Universiti Putra Malaysia dalam jurusan yang memang sangat saya minati iaitu Bahasa dan Linguistik Melayu. Surat tawaran itu tiba di peti mel saya empat hari sebelum keputusan temu duga ASWARA keluar. Namun demikian, hati saya masih menunggu jawapan positif daripada ASWARA. Walaupun ketika itu hati saya berbelah bahagi tetapi saya tetap ingin menunggu jawapan daripada ASWARA terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada UPM itu.

Terfikir juga saya, terima sahaja tawaran UPM itu. Bukankah itu yang saya inginkan, mempelajari ilmu bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Menjadi seorang ahli bahasa Melayu yang benar-benar mahir dengan bahasa ibunda saya sendiri. Tambahan pula, di samping belajar saya masih boleh bekerja untuk mencari rezeki bagi diri saya sendiri. Lalu, kenapa saya masih tidak boleh membuat keputusan? Kenapa saya tetap memilih ASWARA?

Setelah pertimbangan dibuat, saya memilih ASWARA atas beberapa sebab. Pertamanya, perbelanjaan pengajian di ASWARA lebih rendah jika dibandingkan dengan mana-mana institusi pengajian tinggi lain. Keduanya, jarak lokasi yang dekat dan tentunya lebih menjimatkan kos perbelanjaan saya. Maklum saja, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran tanpa dibiayai oleh sesiapa melainkan dengan duit simpanan sepanjang saya bekerja dengan gaji bulanan RM442 selama setahun dan wang biasiswa semasa di tingkatan enam yang masih belum saya usik ketika itu. Oleh sebab itu, saya perlu berhati-hati dan sangat bijak dalam menguruskan soal kewangan saya.

Saya bertanya juga kepada diri saya sendiri. Sekiranya saya memilih ASWARA, saya akan memasuki satu ruang keilmuan yang tidak pernah saya ketahui dan tidak pernah saya minati iaitu bidang penulisan yang tentunya berkait rapat dengan kesusasteraan dan saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam jurusan itu. Ya, saya agak tertekan ketika itu. Namun, saya teguhkan hati apatah lagi dikuatkan dengan semangat yang diberikan oleh Cikgu Julia dan sahabat baik yang menemani saya pada hari temu duga di ASWARA pada Disember 2007. Lagipun, sewaktu menjalani sesi temu duga yang mempunyai tiga sesi itu, saya telah berjaya menjawab kesemua soalan temu duga sama ada yang bertulis atau lisan dengan yakin sekali. Lalu, kenapa saya perlu gusar?

Sebagai pelajar, memanglah saya seorang yang kekontangan dari segi ilmu penulisan dan kesusasteraan ketika itu. Oleh sebab kekontangan ilmu itulah maka saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhkannya. Tidak perlulah saya terlalu risau memikirkan yang saya akan berhadapan dengan kesukaran untuk menerima subjek pengajian saya itu. Saya yakin bahawa menyekat minda dengan kata-kata tidak boleh atau takut akan menyebabkan saya benar-benar mengalami kesukaran yang besar untuk menerima subjek pengajian saya ini. Memang sekiranya berbicara tentang pelajaran, saya sentiasa berfikiran positif walaupun kadangkala kurang disenangi oleh sesetengah rakan. Namun, saya membuktikan keyakinan saya itu dengan kejayaan yang saya perolehi pada setiap peperiksaan.

Lantas, pada 06 Januari 2008 saya mendaftarkan diri di ASWARA dengan ditemani oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana. Pada hari pendaftaran itu, sudah saya sematkan di dalam jiwa saya bahawa kehadiran saya di ASWARA bukan percuma dan saya tidak akan mensia-siakan setiap masa saya sebagai mahasiswi ijazah kumpulan pertama di ASWARA. Alhamdulillah, saya tidak mempunyai masalah dengan pilihan saya ini malah saya berasa sangat bersyukur kerana pilihan saya ini telah memperkenalkan saya dengan satu alam yang baru saya kenali iaitu alam penulisan seterusnya menyedarkan saya akan bakat menulis yang telah ada di dalam diri saya dan tidak pernah saya sedari sebelum ini.

Namun begitu, saya tetap mengingatkan diri saya betapa saya masih terlalu baru dan terlalu banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya juga tidak segan untuk menyatakan betapa saya benar-benar jatuh cinta dengan alam yang sedang saya ceburi ini dan benar-benar ingin menjadi seorang penulis yang berwibawa. Penulis yang mampu melahirkan karya-karya yang baik dan mampu memberikan pedoman kepada diri saya sendiri dan kepada orang lain. Tekad di hati, saya ingin menjadi seorang penulis yang diredai dengan menulis sesuatu yang baik untuk difikirkan pembaca. Saya tahu dan saya yakin bahawa pilihan saya ini akan menjadi suatu ibadah sekiranya saya lakukan dengan jalan dan cara yang betul dan tidak mustahil hanya mengundang dosa dan bala sekiranya saya gunakan untuk menulis sesuatu yang tidak diredai-Nya.

Justeru, saya yakin bahawa jalan yang telah saya pilih ini adalah yang terbaik. Saya juga yakin, keberadaan saya di ASWARA merupakan sebuah takdir Allah s.w.t atas diri saya lantas dengan minda yang waras dan hati yang bersyukur, saya menerimanya seadanya. Syukur, alhamdulillah. Itulah cerminan rasa saya apabila mengenang kembali saat keputusan untuk memilih jalan yang akan menentukan letak duduknya status pelajaran saya kini, saya kenang kembali.

Syukur, alhamdulillah.

Memorabilia sekeping atma.

Waallahu'alam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar