Kamis, 16 Juli 2009

KENAIKAN KADAR TAMBANG BARU PERKHIDMATAN BAS AWAM

SEBENTAR tadi, saya dikejutkan dengan berita yang disiarkan oleh sebuah siaran televisyen. Berita berkenaan kadar tambang baru bagi pengangkutan awam. Tambang bagi perkhidmatan bas henti-henti akan dinaikkan sehingga RM3.10 di Kuala Lumpur manakala kadar tambang teksi pula akan naik sehingga RM3 - RM4 untuk setiap kali penumpang membuka pintu teksi. Wah, saya benar-benar terkejut dengan khabar itu. Sebagai salah seorang pengguna tetap perkhidmatan awam ini, berita yang diterima tadi memerlukan saya untuk berfikir cara-cara yang lebih baik untuk berjimat.

Seminggu yang lalu, saya telah menerima surat daripada SUK Selangor yang memaklumkan bahawa bayaran pinjaman untuk semester empat telah pun dihantar ke Bahagian Kewangan ASWARA. Makluman itu melegakan saya kerana setidak-tidaknya saya sudah mempunyai sumber kewangan sebaik-baik saya mendaftarkan diri pada hari pertama semester empat berlangsung iaitu pada 27 Julai 2009 ini. Setelah saya congak, insya-Allah saya masih mempunyai baki wang untuk perbelanjaan harian dan pelajaran yang agak memuaskan setelah ditolak yuran pengajian.

Seboleh-bolehnya, saya ingin benar-benar berjimat cermat dengan duit itu kerana itulah satu-satunya sumber kewangan saya. Saya berhasrat untuk menyimpan seberapa banyak baki wang pinjaman itu untuk membayar semula wang pinjaman yang telah saya gunakan dan untuk kegunaan saya memulakan kehidupan setelah tamat sesi pengajian. Namun, berita tentang kenaikan harga tambang sebentar tadi sedikit menyentuh hati saya. Hal ini mungkin tidak begitu menarik hati bagi mereka-mereka yang mempunyai bantuan kewangan daripada sesiapa selain daripada pinjaman pelajaran tetapi bagi saya yang hanya mempunyai pinjaman pelajaran kerajaan sebagai satu-satunya sumber kewangan, hal ini benar-benar terkesan di hati.

Saya seorang yang sangat berjimat. Mungkin sukar untuk sesetengah individu mempercayai bahawa saya hanya membawa RM10 setiap hari untuk ke kuliah. Daripada RM10 itu, RM6 diperuntukkan untuk belanja makan tengah hari dan petang manakala bakinya untuk tambang bas pergi balik. Secara kasar, jumlah perbelanjaan bulanan saya hanyalah RM200. Selalunya, saya tidak sampai pun menghabiskan RM6 untuk belanja makan kerana saya perlu juga menyimpan sedikit daripada baki RM6 itu untuk kredit telefon bimbit saya.

Sekiranya kadar tambang bas meningkat daripada RM2 kepada RM3, maka hitungan perbelanjaan bulanan saya juga akan meningkat. Sekiranya RM6 terpaksa diperuntukkan untuk tambang bas, saya mungkin hanya akan memperuntukkan RM4 untuk belanjan makan. Hal ini kerana saya seboleh-bolehnya tidak mahu perbelanjaan harian saya melebihi RM10 kerana hitungan untuk perbelanjaan buku dan khidmat fotostat juga perlu saya fikirkan.

Mungkin kadar tambang baru bagi perkhidmatan awam ini menggembirakan sesetengah pihak, namun bagi pihak-pihak seperti saya, khabar baru itu mengundang seribu satu erti baru dalam melangsungkan kehidupan di tanah Malaysia ini. Namun begitu, saya masih yakin bahawa saya tetap akan mampu menghadapi khabar baru ini dengan baik walaupun beberapa hitungan lain terpaksa saya ketepikan.

Saya yakin, beginilah kehidupan sebenar seorang yang ingin menuntut ilmu. Sekiranya Imam Syafie, Imam Hambal dan ramai lagi ilmuan silam yang telah mengharung badai rintangan untuk memenuhi kantung ilmu di dada mereka sehingga ada yang terpaksa mengorbankan nyawa, siapalah saya untuk terus merungut dengan sedikit ujian yang diberikan kepada saya ini. Cuma, saya berharap agar pihak berwajib dan berkuasa mampu berfikir lebih lanjut tentang kesan yang dibuat oleh mereka untuk seluruh pihak, bukan hanya untuk sesetengah pihak sahaja.

Saya terkenangkan seorang mak cik dan seorang anak lelakinya yang mengalami kecacatan minda. Mereka sering keluar awal pagi dan pulang lewat petang dengan menaiki bas untuk bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah gerai makan di ibu kota. Pasti berita ini turut mengusik hatinya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar