Senin, 13 Juli 2009

PERGINYA SEBUAH PERMATA ...

SAYA benar-benar terkejut dengan kematiannya yang tidak disangka-sangka. Kelmarin saya masih bermain dengannya. Masih riang melihat wajah masamnya apabila saya menarik-narik pipinya. Namun, beberapa saat tadi - saya mendapat panggilan telefon daripada cikgu yang mengatakan Mimi, ibu kucing berbaka Siam dan berusia empat tahun itu telah pergi meninggalkan kami semua dengan enam ekor anaknya.

Memang saya begitu terkejut, Mimi seekor kucing yang sentiasa lincah dan aktif. Oleh sebab sikapnya itulah telah menjadi asbab kepada pemergian Mimi yang tidak akan kembali ini. Menurut cikgu, Mimi baru sahaja ditemui sebentar tadi setelah tidak pulang ke rumah untuk menikmati makan malamnya seperti biasa pada malam semalam. Mengikut perkiraan, Mimi 'pergi' setelah jatuh dari atap atas rumah. Mimi memang suka memanjat atap rumah tetapi tidak tahu untuk turun. Sering kali saya perlu memanjat atap untuk menurunkannya. Mimi tidak disangkar sejak dia diambil kerana keadaan peribadinya yang tidak banyak memberi masalah dan tahu pulang ke rumah apabila pergi ke mana. Mungkin Mimi berasa takut ketika itu lalu melompat ke bawah sehingga mengorbankan nyawanya. Tubuh Mimi tidak mempunyai sebarang luka kecuali di bahagian kepala Mimi yang agak berdarah. Mungkin pendarahan di bahagian kepala itu telah meragut nyawa Mimi.

Mimi seekor kucing yang sangat unik dan mempunyai keletahnya yang tersendiri dan saya sangat menyayanginya. Apatah lagi, Mimi yang dikutip emak di jalanan pada tahun 2005 itu telah saya hadiahkan kepada Cikgu sempena ulang tahun kelahirannya ketika itu. Mimi telah melahirkan tiga generasi dan telah dikembirikan pada Ogos 2008. Sesungguhnya, pemergian Mimi memberi impak yang besar dalam diri saya. Saya tidak akan melupakan Mimi dengan mudah kerana Mimi telah banyak memberi keceriaan dalam hidup saya malah lebih besar jasanya apabila telah melahirkan anak-anaknya dan menjaga mereka dengan baik.





Mimi selepas penat melahirkan enam ekor generasi terakhirnya pada Jun 2008



Mimi selepas dikembiri pada Ogos 2008



Mimi yang sedang bermain dengan anaknya yang paling seiras dengannya, Tommy

Wajah-wajah Mimi sewaktu kecil terbayang-bayang di mata. Keadaan Mimi yang membuang air di pangkuan saya ketika dirinya tidak sedar lantaran diberi suntikan ketika dibedah. Amarah saya kepada Mimi apabila dia mula sedar daripada pengsannya dan sibuk hendak bergerak. Wajah Mimi yang pucat ketika berjuang untuk melahirkan anak-anaknya. Namun itulah kehidupan, mati itu janji Tuhan dan akan datang apabila tiba masanya tanpa terawal atau terlewat sesaat pun. Dan, pemergian Mimi terus mengajar saya erti hidup.


Semoga roh Mimi aman di sisi-Nya.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

... Mimi ...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar