Jumat, 03 Juli 2009

WANITA, JEANS DAN AURAT

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SEBILANGAN wanita muslim kini tampaknya semakin keliru berkenaan pemakaian seluar jeans mahupun seluar panjang yang agak sendat meskipun bertudung dan berlengan panjang. Hal ini nyata menyalahi hukum dan ajaran al-Quran yang telah memperincikan struktur pemakaian muslimah yang sebenar iaitu tidak menampakkan warna tubuh, tidak menampakkan aurat dan tidak menampakkan bentuk tubuh.


Mungkin perlu juga diingatkan bahawa yang dimaksudkan menutup aurat itu adalah menutup bahagian-bahagian di tubuh wanita seorang muslim daripada pandangan lelaki yang bukan mahramnya. Dalam hal ini, saya yakin kita semua tahu bahawa bagi seorang muslimah dan mengikut mazhab Syafie yang menjadi pegangan kita di Malaysia ini, seluruh tubuh wanita itu adalah aurat yang wajib dilindungi daripada sentuhan pandangan lelaki ajnabi melainkan wajah dan kedua belah tapak tangan.


Perbuatan wanita yang menggayakan pakaian yang dianggap cukup menutup aurat walaupun hakikatnya tidak perlu dijernihkan. Mari kita renungkan firman Allah yang menggariskan panduan kepada wanita muslim iaitu:


"Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala; dan jangalah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka." (Surah An-Nur :31).

Maka benarlah kata-kata Allah.


Ayat di atas lengkap sekali dalam memberi garis panduan berpakaian kepada wanita muslim. Seorang wanita muslim tidak wajar menampakkan susuk tubuh yang wajib ditutup mereka kepada lelaki ajnabi bukanlah suatu sekatan kepada muslimah untuk menggayakan fesyen sesuai dengan peredaran masa. Saya berpendapat bahawa pemakaian seluar jeans masih boleh digayakan dengan syarat seluar itu bukanlah terlalu mengikut saiz tubuh dan ketat. Selain itu, baju yang labuh juga boleh dikenakan bagi menutup bahagian pinggul dan peha wanita muslimah yang masih ingin bergaya tetapi masih akur pada ajaran Islam.


Peranan ibu bapa dan keluarga juga amat penting bagi menanam rasa sedar akan kepentingan memelihara aurat ini kepada anak-anak gadis dan saudara. Sekiranya seseorang perempuan itu masih remaja dan berada di bawah jagaan ibu bapa, maka ibu bapalah yang sewajarnya membantu mencorak gaya persembahan tubuh anak-anak gadis mereka agar tidak lari daripada tuntutan agama.


Pemakaian tudung juga perlu diperbetulkan. Dewasa ini, terlalu banyak fesyen tudung yang diperkenalkan namun sedikit sekali yang benar-benar menepati syariat Islam. Hal ini berbeza dengan pemakaian tudung yang diajarkan Islam iaitu melabuhkan tudung melepasi dada. Hakikatnya, segala ketetapan Allah ini bukanlah diturunkan sebagai suatu sekatan kepada para muslimah sebaliknya sebagai suatu bentuk kasih sayang Allah yang ingin menjaga nama baik, maruah dan martabat seorang wanita.


Pernah di suatu majlis usrah, saya mendengar betapa "selangkah kaki seorang anak perempuan itu keluar tanpa menutup aurat, terbinalah satu rumah di neraka untuk bapanya, ... begitu juga untuk para suami yang akan menjadi mangsa si isteri yang tidak menjaga auratnya."


Sebuah hadiah yang berharga tentulah dibungkus rapi dan dijaga agar tidak disentuh atau dilihat oleh orang lain. Andai boleh, biarlah orang yang akan menjadi penerima hadiah kita itu sahaja yang dapat membuka, melihat dan menyentuh hadiah istimewa kita itu ... bukan orang lain.

waallahu'alam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar