Usia Sophie baru menginjak setahun pada 22 Jun 2009 yang lalu dan sayalah yang melihatnya ditarik keluar oleh Mimi semasa proses meneran. Saya jugalah yang memberikan nama yang indah itu kepada Sophie dan ... saya tidak dapat melihatnya buat kali terakhir. Saya tiada di sisinya ketika dia diserang. Kali terakhir saya menemui Sophie adalah pada Isnin yang lalu. Semasa saya membuka pintu pagar, Sophie belari-lari ke arah saya seperti biasa. Memang Sophie lebih manja dengan saya kerana saya gemar melayan kemanjaannya. Malah kerana sikapnya yang agak 'feminis' jugalah nama Sophie saya kira sesuai dengannya.
Sophie bersama Chubby di atas sofa kegemaran semas berusia empat bulan
Selama lebih enam belas tahun saya memelihara kucing, tidak pernah terjadi dalam sejarah kematian mereka disebabkan oleh anjing dan Sophielah mangsa yang pertama. Kasihan Sophie, dia seekor kucing yang lemah lembut, bersopan dan tidak lasak. Jika disifatkan sebagai manusia, Sophie termasuk dalam kelompok manusia yang pendiam tetapi mesra. Sewaktu kecil, Sophie sangat tembam dan sering tidur apabila diajak bermain. Setelah meningkat 'remaja', tubuh Sophie menjadi semakin tinggi dan kurus. Pada awal Mac yang lalu, Sophie telah dibawa ke SPCA untuk pengembirian. Ketika itu, sayalah yang menjaga Sophie dan tiga adik perempuannya yang lain sepanjang perjalanan pergi dan balik. Saya masih terbayang wajah Sophie yang penuh rasa cemas dan keadaan diri yang tetap aktif walaupun baru usai sedar dan dibenarkan keluar dari bilik pembedahan. Ah, Sophie.
Entah mengapa, saya dan Sophie sangat serasi dan pemergiannya memberi impak yang besar kepada saya. Sekali terfikir, saya berasa bersalah kerana tiada di sana untuk menjaga mereka buat masa itu. Saya faham, cikgu juga tidak akan mampu untuk berbuat apa-apa apabila didatangi empat ekor anjing jahat itu. Saya sendiri pernah memanjat pagar dalam pakaian kurung saya sewaktu pulang dari latihan Randai lalu namun, situasi itu terjadi di belakang rumah. Anjing-anjing itu tidak pernah berani tampil di hadapan rumah.
Ya, kerana ajal Sophie begitu.
Dapat saya bayangkan betapa sakit dan peritnya Sophie ketika diserang anjing-anjing jahat itu. Menurut cikgu, mulut Sophie dipenuhi darah. Aduh, sangat memedihkan. Sangat memilukan. Maafkan saya kerana tiada di sisi Sophie ketika itu. Maafkan saya. Kini, tinggalah Chubby, Berry, Owy dan si teruna Tommy dan Bob. Saya bukan tidak ingin mengurung mereka di dalam sangkar malah itulah tempat mereka sejak mereka kecil sehinggalah sebulan yang lalu. Mereka baru sahaja menikmati rasa bebas setelah saya dan cikgu bersimpati melihat mereka yang sering termenung dengan wajah penuh kebosanan menjalani hidup di dalam sangkar ... dan inilah harga yang perlu saya bayar atas rasa simpati saya itu. Walau bagaimanapun, saya reda dengan pemergian Sophie dan Mimi. Mungkin tanggungjawab saya terhadap mereka telah sampai di penghujungnya.
----
Saya sering kali menemani kucing-kucing saya saat mereka berhadapan dengan maut. Seksa yang mereka hadapi untuk menghadap maut itu tiada bezanya dengan manusia. Tubuh akan menjadi sejuk dan air dari dalam tubuh akan mengalir keluar membuatkan badan mereka mengiring. Bibir akan menjadi pucat. Tarikan nafas begitu menyeksakan dan adakalanya mengambil masa yang sangat panjang dalam penantian itu, barulah mereka pergi. Begitu juga dengan hamster saya. Walaupun dia antara makhluk yang kecil, namun saat kematiannya tetap sama seperi manusia. Lantas, pengalaman-pengalaman ini semakin menginsafkan saya dan mencambah rasa sayang saya kepada mereka. Kepada yang ingin mengerti, sesungguhnya hidup bererti perkongsian dan berkongsilah secebis kasih sayang yang ada di dalam diri untuk mereka-mereka yang memerlukan. Dengan kasih sayang itu, kehidupan akan lebih bermakna apabila ada hati-hati luka yang mampu menikmati bahagia.
Selamat tinggal Sophie. Semoga Allah merahmatimu. Salam sayang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar