Senin, 20 Juli 2009

BENGKEL AKADEMI SASTERA

SELAMA tiga hari dua malam, saya dan empat belas rakan daripada lima universiti tempatan iaitu UPSI, UPM, UM dan UKM telah berkampung di Tingkat 29, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta telah ditempatkan di situ bagi mengikuti bengkel Akademi Sastera 2009 ini. Setiap institusi telah menghantar mentor masing-masing bagi membantu para peserta Akademi Sastera dalam menyediakan kertas kerja kritikan teks yang bersandarkan pada teori-teori tertentu. Antara mentor yang telah dipilih ialah En. Azman Ismail dari ASWARA, Dr. Abd Halim dari UPSI, En. Lah dari UM, Tn Hj Hanafi dari UPM, En. Salleh Rahamad dan Dr. Tg Intan Marlina dari UM. Antara peserta yang menyertai bengkel ini berasal daripada Selangor, Sabah, Sarawak, Kedah, Johor, Kelantan dan Singapura.

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menghantar empat orang wakil daripada Fakulti Penulisan Kreatif iaitu Nur Fatiha Fadila, Roziah Adama, Asrul Sany Ahmar dan Mohd Fairuz Padoli. Memandangkan kebanyakan peserta daripada IPTA lain memilih novel sebagai naskah kritikan mereka, peserta daripada ASWARA telah memilih naskah drama pentas sebagai bahan kritikan teks. Roziah Adama telah memilih naskah pentas tulisan Anuar Nor Arai yang berjudul Ronggeng Rokiah. Kritikan terhadap teks itu akan beliau lakukan dengan menggunakan Teori Feminisme. Manakala, sahabat saya Asrul Sany pula memilih karya Aki yang berjudul Citra Sebuah Gunung dan menggunakan Teori Semiotik. Mohd Fairuz Padoli pula telah memilih naskah Walinong Sari karya Khalid Salleh dengan menggunakan Teori Studi Budaya. Sementelahan itu, saya pula telah diberikan naskah drama Hikayat Qaziq tulisan Siti Jasmina Ibrahim yang telah memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Bagi naskah yang berunsur bukan realisme itu, Teori Psikoanalitik Lacan akan digunakan bagi mengkaji aspek psikologi yang dilontarkan melalui medium kebahasaan yang terdapat dalam naskah yang sarat dengan falsafah itu.

wakil dari ASWARA


Para peserta telah difahamkan bahawa Akademi Sastera merupakan satu pertandingan bagi membentangkan penulisan esei kritikan sastera bagi melahirkan generasi pengkritik yang bukan sahaja mampu menguasai teori tetapi juga menjana kelompok pengkritik sastera yang berwibawa dan berketerampilan. Pertandingan seperti ini adalah sangat penting untuk dianjurkan oleh pihak DBP dan badan-badan yang berkenaan bagi memastikan kesinambungan sastera tempatan tidak akan berkubur. Selain itu, matlamat akademi juga adalah untuk melahirkan pengkritik yang mampu mengkritik sesebuah karya berdasarkan fakta dan ilmu tanpa melibatkan emosi. Para peserta juga telah diingatkan oleh Pengarah Jabatan Sastera, Pn Hjh Izzah bt Abdul Aziz agar bijak mengatur langkah berdikari di dunia sastera tempatan. Menurut beliau, masa depan sastera tempatan adalah sangat besar tetapi mempunyai kekurangan dari segi ahlinya. Oleh yang demikian, beliau menyeru para peserta agar bersatu dan terus berjuang dalam memartabatkan sastera tempatan melalui kritikan terhadap teks-teks sastera yang dihasilkan. Hal ini perlu agar sastera tempatan mampu dikenali di rantau Asia dan peringkat antarabangsa amnya.

Selama tiga hari dua malam berada di bengkel itu, para peserta ASWARA telah dibimbing oleh mentor iaitu En. Azman Ismail. Perbincangan lebih berkisar teori-teori yang paling sesuai dengan karya yang telah diberi dan dibaca. Para peserta juga turut diperkenalkan dengan cara-cara untuk mengaplikasikan teori ke dalam teks. Walau bagaimanapun, kebanyakan peserta dan mentor Akademi Sastera tetap berasakan bahawa masa yang diperuntukkan itu agak pendek untuk para peserta mampu menguasai ilmu teori dan inti pati naskah yang diberi secara total. Oleh sebab itu, perbincangan susulan antara pihak mentor dan peserta akan dijalankan semasa sesi kuliah di IPTA masing-masing. Dari segi format pemarkahan, 60% akan diperuntukkan untuk kertas kerja dan 40% untuk sesi pembentangan. Prof Dr. Hashim Ismail juga telah diundang untuk memberikan ceramah berhubung teori dan pengaplikasiannya dalam karya pada hari terakhir bengkel. Beliau juga banyak memberi input kepada para peserta berkenaan cara-cara melakukan pembentangan kertas kerja dengan baik.

Bengkel Akademi Sastera telah ditutup dengan ucapan oleh Pengarah Jabatan Sastera, Pn Hjh Izzah bt Abdul Aziz. Selain memberi galakan dan semangat kepada para peserta akademi, beliau juga turut berkongsi cadangan beliau untuk menubuhkan Rakan Komsas dan menyerap para peserta Akademi Sastera ke dalamnya. Hal ini menurut beliau sebagai satu usaha untuk membantu para pelajar dan guru sastera dari segi kritikan karya selain mengangkat unsur penghayatan. Pihak beliau juga turut bercadang untuk mewujudkan sebuah laman web khusus untuk alumni Akademi Sastera sebagai medan untuk berkongsi maklumat dalam bentuk interaktif.Para peserta akan bertemu lagi di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tarikh 19 Ogos 2009 untuk peringkat saringan dan pada 08 Oktober 2009 untuk peringat akhir. Kertas kerja pula perlu disiapkan dan tiba di meja urusetia pada tarikh 12 Ogos 2009. Adalah diharapkan agar aktiviti Akademi Sastera yang sarat dengan ilmu ini mampu menjana minda dan minat para peserta untuk menjadi pengkritik yang mampu mengangkat dan memperteguh martabat sastera tanah air lantas meletakkan sastera tempatan di peringkat antarabangsa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar