Jumat, 24 Juli 2009

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SUDAH KELUAR, SYUKUR YA ALLAH

SYUKUR kepada Allah. Penantian terhadap keputusan peperiksaan semester tiga telah berakhir. Syukur, saya masih mampu mendapat keputusan yang melayakkan saya untuk mendapatkan Surat Penghargaan Dekan buat kali ketiga. Saat menerima khabar bahawa keputusan peperiksaan telah diposkan semalam dan ada dalam kalangan rakan yang telah pun mendapatkannya, jiwa saya dihimpit badai resah. Sudah menjadi sikap saya sebagai pelajar, menanti keputusan peperiksaan merupakan saat-saat yang begitu mendebarkan. Namun, sering kali saya mengingatkan diri agar memantapkan rasa tawakkal dan kerelaan saya terhadap apa-apa keputusan yang bakal diperolehi. Saya telah cuba semampu yang saya boleh dan saya telah berdoa dengan sepenuh hati Saya juga yakin dengan doa-doa daripada emak, cikgu dan para pensyarah saya, lalu rasa resah itu cuba saya kendalikan agar tidak terlalu mengganggu kehidupan.









Terima kasih Emak, yang sentiasa mendoakan


Tambah menggembirakan apabila sahabat sekuliah saya iaitu Roziah Adama juga telah memperoleh peningkatan dan keputusan yang cemerlang dan memberangsangkan.Tahniah kepada Kak Rozi. Walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai dua puteri, semangat dan kekentalannya untuk terus mendaki gunung pengetahuan tidak pernah pudar. Ya, saya begitu gembira dengan keputusan yang diperolehi beliau. Kami sama-sama mengerti betapa peritnya menjalani semester tiga yang lalu, bagaikan bernafas di dalam lumpur. Suatu analogi yang diberikan Kak Rozi, dan segala puji bagi Allah yang telah merahmati segala usaha kami itu dengan keputusan yang baru kami terima.




Wardah Munirah dan Roziah Adama


Bagi saya sendiri, keputusan ini sangat bererti demi membayar segala jerih perih pensyarah yang banyak mencurah ilmu. Penat lelah bertarung dengan kekangan masa dan tugasan serta ikhlas doa emak dan cikgu yang mengiringi langkah. Keputusan ini juga merealisasikan kata-kata jiwa saya terhadap diri saya sendiri kala rasa hampa dan kekurangan sering membadai diri. Apatah lagi apabila tiba masanya emosi saya datang untuk menjatuhkan semangat saya dengan membandingkan diri saya yang serba kekurangan dengan rakan-rakan yang lebih berkemampuan dengan kehidupan yang lebih sempurna.


Cikgu yang skema tetapi sentiasa membantu dan menyayangi.



Sewaktu rakan-rakan dapat melakukan tugasan dengan selesa kerana mempunyai komputer riba masing-masing, saya pula berhempas pulas menulis di kertas-kertas kitar semula sebelum bergegas untuk melakukan proses menaip dengan menggunakan komputer di perpustakaan. Di kala rakan-rakan boleh bergembira apabila dapat membeli buku-buku rujukan baru dan yang dicadangkan oleh pensyarah, saya pula perlu membuat muka tebal untuk meminjamnya daripada mereka mahupun daripada pensyarah-pensyarah yang pemurah atau melakukan 'operasi' rahsia saya di perpustakaan. Jeng jeng jeng.



Kak Rozi bersama Abang Izat yang setia memahami


Namun demikian, saya sering mengingatkan diri bahawa kejayaan yang saya peroleh dengan kesusahan itu pastinya akan lebih saya hargai. Segala penat lelah dan kekangan yang dihadapi pastinya akan membuahkan nikmat dan bahagia di penghujungnya. Buat pensyarah yang memahami dan berlapang dada menerima draf-draf tugasan saya dalam bentuk tulisan tangan, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Tidak lupa buat sahabat baik Nur Syafiqa yang sudi meminjamkan komputer riba di akhir semester untuk menyiapkan proses menaip novel remaja. Begitu juga buat Kak Roziah Adama yang tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Besar harapan saya agar keputusan yang baru saya terima ini akan menaikkan lagi semangat saya untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan bidang penulisan yang ingin saya sertai.


Buat para pensyarah yang telah bersusah-payah mendidik saya secara langsung atau tidak langsung, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Sesungguhnya didikan, jasa dan budi kalian akan saya kenang selagi nyawa dikandung badan. Tidak lupa buat emak yang sentiasa setia menabur doa dan Cikgu Julia yang sentiasa ada memberi bantu, terima kasih saya ucapkan. Semoga Allah merahmati kalian.



Kepada-Mu Ya Allah,
sujud syukur hamba memberi
tiada madah yang mampu diungkap
tahmid dan takbir meniti di bibir.

Barisan Pensyarah Semester 3 2009/2010

Pengajian Budaya II : Dr. Zulkifli Mohamad
Metodologi Penyelidikan : Cik. Julaila Nadia Dato' Paiman
Randai : En. Suhami Magi
Psikologi Watak : En. Azman Ismail
Penulisan Cerita Kanak-Kanak : En. Mohamad Ali Majod
Penulisan Novel Remaja : En. Mohamad Ali Majod
Penulisan Drama Non-Realisme : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
Penulisan Skrip Drama TV : En. Zakaria Ariffin
Penulisan Skrip Filem Pendek : En. A. Wahab Hamzah



Kasut yang telah banyak berbakti selama setahun mengalaskan kaki menjejaki ilmu. Walau sering mata-mata jelik melihat parasmu yang kurang serasi dengan penampilanku, tapi engkau tetap setia mencurah bakti dan kini, kau terpaksa diganti.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar