Senin, 29 Juni 2009

RAMBUT PUTIH SAYA


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

BEBERAPA hari ini, saya mulai sedar bahawa telah muncul beberapa helai rambut putih atau uban di kepala saya. Usia saya baru sahaja menginjak 22 tetapi wajah saya tampak lebih tua daripada usia sebenar saya, kata emak. Secara jujur, saya langsung tidak kisah tentang itu. Semenjak saya di bangku sekolah menengah lagi, tidak sedikit yang menyangka saya sudah bekerja walaupun ketika itu saya masih berada di tingkatan empat dan lima.

Pernah pada satu hari Suai Mesra untuk pelajar-pelajar tingkatan satu di sekolah, saya telah disalah anggap sebagai seorang guru oleh beberapa orang pelajar. Ketika itu, saya tidak berpakaian seragam sekolah kerana kehadiran saya pada hari itu hanya sekadar untuk membantu para guru saya. Lalu, saya mengenakan jubah seperti kebiasaan. Agak lucu apabila beberapa pelajar baru yang melalui saya akan menegur dan memberi salam kepada saya.

"Assalammua'laikum, cikgu."

Saya dengan rasa lucu pun dengan bersahaja terus melakonkan 'watak' yang diberikan itu. Secara bersahaja saya menjawab dan sekiranya ada pertanyaan daripada pelajar-pelajar itu, saya sengaja menggunakan ganti diri 'cikgu'. Yalah, mereka sendiri yang memanggil saya 'cikgu' - lantas saya pun mengambil kesempatan itu untuk berada dalam kondisi 'perasan' dalam sedar.

Pernah juga ketika saya berkunjung ke Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2004 ketika saya di tingkatan lima, fasilitator yang menemani kumpulan saya telah tersalah sangka bahawa saya sebagai salah seorang guru pengiring kepada rakan pelajar lain. Lucu sekali tetapi seronok juga. Malah semasa mula-mula memasuki ASWARA, Pak Nik (Pensyarah Fakulti Muzik) yang kebetulan menaiki lif yang sama dengan saya berkesempatan berbual dengan saya.

"Mengajar apa?" Saya terkejut dengan pertanyaan itu.

"Maksud Encik?"

"Awak tutor baru ya? Dah lama saya nak tegur tapi tak berkesempatan lagi."

"Oh, saya bukan tutor Encik. Saya pelajar baru di sini." Ujar saya dengan sedikit tawa.

"Oh, saya ingatkan tutor..."

Kini, saya sedar yang semakin hari saya semakin tua. Terlalu banyak perkara yang perlu saya tunaikan sebelum saya menjadi begitu tua dan tiada upaya untuk melakukannya. Saya pernah juga terbaca di dalam sebuah buku tulisan Tuan Guru Nik Aziz ketika saya di tingkatan empat, ketika itu saya berada di Kedah, menemani Ustazah Nasriyah pulang ke kampung. Sebahagian yang masih saya ingat, terdapat petikan di dalam buku itu yang menyatakan bahawa helaian uban itu merupakan petanda usia yang semakin lanjut dan ajal yang semakin tiba. Hadis juga menerangkan betapa rambut putih itu tidak sewajarnya dicabut atau dihitamkan, boleh saja jika diinaikan. Mungkin supaya tanda peringatan itu kekal dan mampu mengembalikan insan apabila tersasar lantaran menghayati setiap ketentuan Ilahi.

Ya, saban hari kita berhadapan dengan ketentuan maut yang tidak pernah kita ketahui bila datangnya. Saya sendiri dan kita semua tidak pernah tahu, cuma yang pasti - segalanya telah ditetapkan sejak lama dahulu di luh mahfuz. Saya sedar betapa saya perlu sentiasa insaf dan bertaubat saban hari terhadap setiap salah langkah yang saya lalui.

Hanya sebagai hamba yang serba lemah, saya berharap agar saya sentiasa diberi kekuatan untuk terus berusaha menjadi hamba-Nya yang lemah. Saya tahu dengan kebesaran dan nikmat keampunan serta kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Cuma, sering kali saya berasa terlalu sukar untuk saya menggapai cinta rahmat-Nya memandangkan terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan sama ada dalam sedar atau tidak.

Namun yang pasti, saya sentiasa yakin dengan kasih sayang-Nya dan saya sentiasa berharap agar saya yang hina ini sentiasa terpilih untuk berada di bawah lembayung rahmat-Nya dan sentiasa dianugerahi kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang mukminat.

Waallahu'alam


Tidak ada komentar:

Posting Komentar