Sabtu, 06 Juni 2009

Sebuah Memorabilia

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Khamis, 4 June, 2009
1:50:45 PM

Saya masih teringat kata-kata guru semasa saya berada di bangku sekolah menengah bahawa zaman persekolahan merupakan zaman yang terindah. Saya menyangkal kata-kata itu kerana pada masa itu, saya berasa sangat tidak sabar bagi mengakhiri zaman persekolahan untuk masuk ke alam univeristi dan seterusnya ke dunia pekerjaan.

Dalam saya tidak disedari, sudah hampir tiga tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Kali terakhir saya meniti zaman persekolahan adalah pada tahun 2006 di tingkatan enam atas. Zaman persekolahan saya bermula pada tahun 1994. Tanpa memasuki alam prasekolah, saya terus memasuki darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2. Ekoran lambat mendaftar, saya ditempatkan di kelas ketiga iaitu 1 Mara. Guru kelas saya pada ketika itu ialah Pn. Roziah Hashim yang mempunyai tahi lalat di atas bibirnya. Di sekolah itu, saya meniti zaman kanak-kanak saya sehingga saya menduduki UPSR pada tahun 1999. Ketika pergolakan politik sedang berlaku. Tidak banyak kenangan manis saya semasa berada di sekolah rendah kerana sifat saya yang lebih suka menyendiri dan tidak pandai bergaul. Cuma, saya tidak boleh lupa dengan tamparan seorang guru Matematik semasa saya di darjah lima lantaran saya gagal dalam subjek itu. Tamparan tangan guru lelaki itu masih saya rasai sehingga kini! Sepanjang tempoh berada di sekolah rendah, saya pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari dan Penolong Kelas semasa di darjah empat. Pada tahun 1999, saya dilantik menjadi pengawas sekolah.

Terdetik rasa kesal di hati saya apabila saya menidakkan kata-kata guru saya tentang keindahan zaman persekolahan dengan penuh yakin pada masa dulu. Kini, saya benar-benar merindui alam persekolahan saya terutamanya ketika berada di sekolah menengah. Pada tahun 2000 sehingga tahun 2004, saya bersekolah di SMK Seri Selayang, bersebelahan dengan sekolah rendah saya. Sejak dari tingkatan satu hingga tingkatan lima saya berada di kelas pertama yang dinamakan 1 Akrab, 2 Akrab, 3 Akrab, 4 Akrab dan 5 Akrab. Di sekolah ini, saya pernah menjawat jawatan Penolong Ketua semasa di tingkatan 1 dan 3, Ketua Kebersihan di tingkatan 2 dan Ketua Tingkatan semasa di tingkatan 4 dan 5.

Pada ketika itu, saya merupakan seorang pelajar yang sangat aktif berpersatuan. Saya menyertai Unit Beruniform Puteri Islam dan pernah memegang jawatan Pengerusi semasa di tingkatan 4 dan 5, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelajar Islam dan Pengerusi Skim Lencana Antidadah semasa di tingkatan 5. Saya sering merasai kehangatan petang sewaktu menyertai pertandingan kawat kaki dan perubahan warna kulit sekiranya latihan mengambil masa sebulan!

Seperti kebanyakan pelajar lain, saya aktif dalam mengikuti aktiviti-aktiviti perkhemahan. Dalam beberapa siri perkhemahan yang saya ikuti, kenangan semasa berada di Gunung Nuang, Hulu Langat bagi mengikuti Kem Kepimpinan pada tahun 2004 sangat memberi kesan kepada saya. Semasa dalam kem itu, saya telah dilantik sebagai Penghuluwati. Kesegaran dan rasa sejuk yang menusuk ke tulang sum-sum saat mengambil wudu' untuk qiammulail di kaki gunung itu merupakan suatu nikmat yang jarang dirasai. Apatah lagi apabila saya berpeluang melihat jutaan taburan bintang di kanvas langit pada waktu malam. Suatu yang sangat menakjubkan!

Saya mempunyai dua rakan akrab dan seorang sahabat sejati. Kami ibarat belangkas. Setiap cabaran dihadapi bersama. Cuma, apabila masing-masing mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, mereka membawa diri ke sekolah berasrama. Tinggallah saya dengan sahabat sejati saya sejak di bangku sekolah rendah iaitu Nur Syafiqa yang kini menuntut di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bukan kerana saya seorang pelajar yang mundur dalam pelajaran lantaran tidak berhijrah ke sekolah berasrama. Walaupun tidak mendapat sederetan A, saya masih mempunyai 5A untuk peperiksaan PMR saya. Cuma, saya lebih selesa bersekolah harian.

Di tingkatan empat, saya diletakkan di kelas aliran sains tulen walaupun saya sebenarnya mempunyai masalah yang besar dengan subjek Matematik. Saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa setia di kelas itu sehingga ke tingkatan lima. Pada ketika itu, rakan pelajar di dalam kelas saya hanya berjumlah 16 orang. Sepuluh perempuan dan enam lelaki. Ke mana-mana, kami akan pergi bersama, dan antara mereka - sayalah yang paling lambat menyambung pengajian di peringkat universiti.

Semasa di tingkatan lima, saya sering dipilih untuk mewakili sekolah bagi pertandingan seperti Forum Remaja Peringkat Daerah, Pertandingan Bahas Ala Parlimen dan Pertandingan Menulis Kertas Cadangan Untuk Mengatasi Banjir anjuran Sony Science Education Award. Yang paling tidak saya gemari adalah apabila saya terpaksa mewakili sekolah bagi pertandingan mendeklamasi puisi untuk Karnival Antidadah. Saya sangat tidak suka apabila diminta menyertai pertandingan itu tetapi saya lalui juga. Sebenarnya, saya lebih gemar mencipta puisi daripada mendeklamasikan puisi. Beberapa pertandingan mencipta puisi di sekolah telah saya sertai dan menjadi johannya. Malah, saya juga pernah menyertai pertandingan Mencipta Puisi Erti Merdeka pada tahun 2003.

Kebanyakan kenangan saya di sekolah menengah ini indah. Cuma, terpalit sedikit kenangan hitam apabila saya gagal mendapat anugerah Pelajar Terbaik Matapelajaran Pendidikan Islam semasa di tingkatan dua kerana saya telah dianugerahkan Pelajar Terbaik Matapelajaran Bahasa Inggeris. Saya benar-benar berasa kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang enggan mengiktiraf kecemerlangan pelajar lebih daripada satu subjek. Mana saya tidak diurung sedih apabila saya mendapat markah 98% untuk subjek Pendidikan Islam yang sangat saya sayangi itu tetapi dinafikan pula!

Semasa di tingkatan lima pula, saya telah diuji dengan kedangkalan para guru yang tidak selesa dengan penampilan saya bertudung labuh. Walhal, saya telah mula bertudung labuh sejak di tingkatan tiga lagi. Pada suatu pagi, guru disiplin telah memanggil saya ke biliknya dan menyatakan bahawa beliau mendapat aduan tidak puas hati daripada beberapa guru-guru Islam yang menanggap tudung saya itu tidak bersesuaian dengan keadaan sekolah. Menurut beliau, guru-guru itu menganggap penampilan saya itu seperti penampilan pelajar IPT. Tangisan saya mengalir deras di hadadan guru itu bukan kerana takut dengan aduan itu sebaliknya pilu mengenangkan orang-orang muslim sendiri gagal menerima hakikat keindahan Islam yang saya praktikkan. Selama saya berpakaian seperti itu, tidak sedikit guru-guru bukan Islam yang mempunyai pertalian akrab dengan saya dan memuji keberanian saya untuk tampil sebegitu.

Perkara itu tidak saya turuti sewenang-wenangnya. Buku Peraturan Sekolah telah saya rujuk dan tiada undang-undang yang tidak membenarkan saya memakai tudung labuh. Malah yang menyedihkan, terlalu ramai pelajar perempuan yang memakai tudung pendek sehingga menampakkan leher tidak pula ditegur dan diberi tindakan segera. Perkara itu saya panjangkan ke meja pengetua, kata putus diambil. Pengetua membenarkan saya kekal dengan penampilan saya selagi saya tidak menimbulkan apa-apa masalah. Saya bersyukur, saya mula mengenal Islam dengan hati dan jiwa saya ketika saya berusia 13 tahun. Mungkin kerana keakraban saya dengan Ustazah Najwa dan rasa cinta saya kepada subjek Pendidikan Islam melembutkan nurani saya untuk beramal dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Mengenakan tudung labuh dan menutup aurat dengan konsep yang sebenarnya tidak saya lakukan dengan mudah lantaran mendapat kekangan daripada keluarga ketika itu. Dan itulah perjuangan getir yang saya hadapi semasa berada di alam sekolah menengah itu.

Usai keputusan SPM keluar, saya masih gembira kerana mendapat keputusan yang agak baik dengan taburan A yang agak memuaskan. Cuma, saya tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek Matematik dan ini memberi kesukaran kepada saya untuk diterima masuk ke IPTA yang memerlukan Matematik sebagai subjek wajib lulus. Lantas, saya mengambil keputusan untuk memasuki tingkatan enam di SMK Darul Ehsan, tidak jauh dari sekolah lama. Keinginan saya untuk terus belajar begitu tinggi. Saya yakin bahawa pelajaran mampu mengeluarkan insan daripada kegelapan hidup dan kemiskinan.

Semasa di tingkatan enam, saya telah dilantik sebagai Timbalan 1 Ketua Pengawas melalui pilihan raya dan Naib Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu. Pada masa itu, saya benar-benar jatuh cinta dengan Bahasa Melayu, Sejarah dan Tamadun. Yang menggembirakan, harapan saya untuk berada di pentas Dewan Darul Ehsan sebagai panel bagi Pertandingan Forum Remaja Daerah Gombak tahun 2006 tercapai. Walaupun tidak memenangi tempat pertama, saya tetap berasa bangga dan gembira untuk berada di tempat kedua daripada enam belas sekolah yang lain.

Itulah memorabilia zaman persekolahan saya. Tidak banyak yang melukakan berbanding keindahan yang mengembirakan. Saya merindui rakan-rakan dan guru-guru yang banyak sekali menabur jasa dalam mendidik saya. Saya sentiasa teringat akan kata-kata guru saya bahawa alam persekolahan tidak mempunyai tekanan yang besar berbanding alam di luar sekolah. Ya, saya mula mengakui kata-kata itu. Pengalaman saya bekerja sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran dan berada di kampus pengajian kini memperlihatkan saya kepada dunia luas yang penuh dengan dendam, khianat, persaingan dan pelbagai genre mazmumah yang bersemayam di ruang hati segelintir manusia yang gagal melihat dunia sebagai alam yang indah. Sesungguhnya, keindahan alam dunia ini perlu dihayati dengan akal yang waras dan iman yang terpandu agar dunia punya masa untuk memanjangkan usia keamananannya tanpa sebarang sengketa.

Wallahu'alam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar