Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.
SAYA benar-benar diterjah rasa gusar dan bimbang yang menggunung lantaran sudah sembilan hari seorang insan yang sangat akrab dengan saya diserang demam yang tidak mudah dikesan puncanya. Semuanya bermula pada malam 19 Jun 2009 yang lalu. Demam beliau masih tidak kebah sehingga ke hari ini. Sudah enam kali sampel darah diambil oleh doktor di Klinik Perubatan Selayang Baru dan Hospital Selayang tetapi demamnya masih belum kebah.
Semalam, beliau telah ditahan di wad kecemasan dan dimasukkan dua botol air NH. Kesakitan yang dirasakan ketika misi memasukkan jarum ke belakang tangan tidak dapat digambarkan. Beliau seorang yang sangat sukar untuk menangis malah saya tidak pernah melihat titisan air mata mengalir di pipinya sepanjang enam tahun saya mengenali beliau, namun saya dapat melihat genang air mata melingkar di tubir matanya pada hari itu. Hati saya benar-benar dipagut pilu melihat kesakitan yang dialami beliau.
Menurut doktor, sampel darah tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi dan itu cukup membuatkan saya begitu bersyukur. Maklum saja, kawasan kediaman saya memang terkenal dengan penularan wabak denggi. Beberapa hari selepas pulang dari beberapa sesi pemeriksaan, kehangatan menjalar di segenap tubuh beliau dan benar-benar dapat saya rasakan. Ada ketikanya, rasa sejuk yang mencengkam menggugat kestabilan dirinya. Namun, saya bangga kerana beliau - dibesarkan tanpa ibu dan bapa mampu setabah itu mengharungi ujian Allah ini.
Saya yakin dengan keadilan Allah yang menurunkan ujian mengikut kekuatan hamba-Nya dan saya yakin beliau seorang yang kuat untuk menghadapi musibah ini. Atas nasihat beberapa rakan, saya telah menyediakan rebusan air barli yang dikatakan dapat menurunkan suhu panas badan. Saya berharap agar suhu badan beliau akan menurun dan beliau akan lekas sembuh daripada demamnya. Semoga ada hikmah di sebalik ujian Allah itu.
Beliau seorang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Seandainya ada kejayaan saya kini, itu tidak terkecuali daripada doa dan usaha beliau yang turut sama berusaha menentukan kejayaan saya di titian yang benar. Malah, beliau jugalah yang menjadi tunjang dalam menyemarakkan semangat saya untuk menjadikan ilmu sebagai medan utama dalam mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Saya berdoa dan saya berharap agar kita sama-sama mendoakan guru saya yang sangat baik hati ini agar sembuh daripada sakitnya dan semoga sakit yang menimpa itu merupakan kaffarah daripada dosa-dosa yang kita lakukan sebagai hamba yang lemah. Saya percaya, ujian sakit itu hadir dengan rahmat dan cinta kasih Allah yang menjadikan ujian itu sebagai laluan untuk menghapuskan dosa-dosa kecil hamba-hamba-Nya.
Buat Cikgu Julia Juis, ketahuilah bahawa saya sangat menyayangi cikgu dan insya-Allah saya akan menjaga cikgu semampu dan sehabis baik. Percayalah, cikgu tidak keseorangan di sini. Para pelajar cikgu sentiasa mengingati dan mendoakan cikgu . Semoga ketabahan cikgu akan lebih terbukti dengan ujian sakit ini. Ketahuilah, ujian tanda kasih cinta Allah kepada hamba-hamba pilihan-Nya. Pelajarilah cara Allah memperlihatkan kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba pilihan-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar