Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.
Kalbu saya terpegun menyapa keindahan alam ciptaan Allah. Tidak sering saya mengunjungi pantai dan tidak mudah saya berpeluang menikmati panorama yang berbeza dengan kesibukan di kawasan tinggal saya. Lantas, saya manfaatkan masa yang ada untuk menikmati keindahan yang masih terpelihara.
Pepasir yang menjadi tapak langkahan saya cuba saya amati bunyinya. Menyimpan segala memori indah dalam menghayati erti kekerdilan seorang hamba. Di pesisir Pantai Bogak, saya duduk di sebuah batu yang agak besar. Pandangan saya tertancap pada keluasan laut yang terbentang dan pada langit yang kelihatan seolah-olah bercantum dengan keluasan laut di penghujungnya. Camar yang terbang di senja hari membuatkan saya menjadi lebih pilu mengenang betapa hebat kekuasaaan Allah. Saya bersyukur kerana dikurniakan rasa-rasa itu kerana kehadiran rasa-rasa itu memberitahu saya bahawa saya masih mempunyai ruang untuk berlindung di bawah naungan kasih dan maghfirah Allah.
Di pepasir jernih, saya mengukir nama dan membiarkan ombak kecil Pantai Bogak memadamkannya. Ya, begitulah mudahnya Allah untuk mencabut nyawa kita. Tidak mampu kita halangi dengan pelbagai alasan pun. Dan, jernih air laut tetap menghilangkan ukiran nama saya itu walau di hati, saya kepingin agar ukiran itu kekal di situ.
Pantai Bogak tanpa jemu menerima lagi kedatangan saya pada petang harinya. Suasana tambah meriah. Air pun sedang pasang. Ramailah pengunjung yang bergembira merendamkan tubuh di dalamnya. Saya masih berjalan di pesisir pantai. Batu-batu karang yang telah keras saya ditemui di sepanjang perjalanan. Indah sungguh, pada mulanya saya sangkakan batu karang yang saya simpan itu kaki ayam. Maklumlah, saya tidak pernah melihat batu karang secara dekat sebelum itu.
Akhirnya, langkah kaki saya pegun di sebuah timbunan batu. Saya merenung ke mentari gagah. Menunggu saja masanya untuk mengundurkan diri. Subhanallah, betapa kebijaksaan dab kasih sayang Allah tiada tandingan. Malam mengantikan cahaya siang bagi memberi laluan insan untuk berehat dan bermunajat kepada-Nya.
Saat mentari mulai terbenam, saya mengucapkan salam perpisahan kepada Pantai Bogak. Keberadaannya di sana menyambut kehadiran saya dengan puputan bayu yang lembut menyapa tidak akan saya lupakan. Camar-camar yang menghiasai pemandangan saya akan saya hargai sepenuh hati. Terima kasih Pantai Bogak. Syukur pada-Mu Allahu Rabbi. Sungguh, langit tanpa pasak dan laut tanpa sempadan banyak mengajar saya erti kehambaan.
Selamat tinggal Pantai Bogak. Terima kasih atas penerimaanmu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar