Tampilkan postingan dengan label Catatan. Pangkor. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Catatan. Pangkor. Tampilkan semua postingan

Selasa, 09 Juni 2009

Langit Tanpa Pasak, Laut Tanpa Sempadan


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Kalbu saya terpegun menyapa keindahan alam ciptaan Allah. Tidak sering saya mengunjungi pantai dan tidak mudah saya berpeluang menikmati panorama yang berbeza dengan kesibukan di kawasan tinggal saya. Lantas, saya manfaatkan masa yang ada untuk menikmati keindahan yang masih terpelihara.

Pepasir yang menjadi tapak langkahan saya cuba saya amati bunyinya. Menyimpan segala memori indah dalam menghayati erti kekerdilan seorang hamba. Di pesisir Pantai Bogak, saya duduk di sebuah batu yang agak besar. Pandangan saya tertancap pada keluasan laut yang terbentang dan pada langit yang kelihatan seolah-olah bercantum dengan keluasan laut di penghujungnya. Camar yang terbang di senja hari membuatkan saya menjadi lebih pilu mengenang betapa hebat kekuasaaan Allah. Saya bersyukur kerana dikurniakan rasa-rasa itu kerana kehadiran rasa-rasa itu memberitahu saya bahawa saya masih mempunyai ruang untuk berlindung di bawah naungan kasih dan maghfirah Allah.

Di pepasir jernih, saya mengukir nama dan membiarkan ombak kecil Pantai Bogak memadamkannya. Ya, begitulah mudahnya Allah untuk mencabut nyawa kita. Tidak mampu kita halangi dengan pelbagai alasan pun. Dan, jernih air laut tetap menghilangkan ukiran nama saya itu walau di hati, saya kepingin agar ukiran itu kekal di situ.
Pantai Bogak tanpa jemu menerima lagi kedatangan saya pada petang harinya. Suasana tambah meriah. Air pun sedang pasang. Ramailah pengunjung yang bergembira merendamkan tubuh di dalamnya. Saya masih berjalan di pesisir pantai. Batu-batu karang yang telah keras saya ditemui di sepanjang perjalanan. Indah sungguh, pada mulanya saya sangkakan batu karang yang saya simpan itu kaki ayam. Maklumlah, saya tidak pernah melihat batu karang secara dekat sebelum itu.

Akhirnya, langkah kaki saya pegun di sebuah timbunan batu. Saya merenung ke mentari gagah. Menunggu saja masanya untuk mengundurkan diri. Subhanallah, betapa kebijaksaan dab kasih sayang Allah tiada tandingan. Malam mengantikan cahaya siang bagi memberi laluan insan untuk berehat dan bermunajat kepada-Nya.

Saat mentari mulai terbenam, saya mengucapkan salam perpisahan kepada Pantai Bogak. Keberadaannya di sana menyambut kehadiran saya dengan puputan bayu yang lembut menyapa tidak akan saya lupakan. Camar-camar yang menghiasai pemandangan saya akan saya hargai sepenuh hati. Terima kasih Pantai Bogak. Syukur pada-Mu Allahu Rabbi. Sungguh, langit tanpa pasak dan laut tanpa sempadan banyak mengajar saya erti kehambaan.








Selamat tinggal Pantai Bogak. Terima kasih atas penerimaanmu.

Bilis Bermata Biru

TUESDAY
8:20 PM


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.



PETANG yang cerah ini membawa saya mengikuti beberapa peserta kursus menuju ke pekan Pangkor. Saya tidak membeli apa-apa. Sekadar menemani mereka. Di satu sudut di dalam sebuah kedai menjual makanan laut dalam bentuk kering, saya mengamati gelagat para peserta kursus yang kebanyakannya wanita.



Para peserta ini kelihatannya begitu rambang mata dengan koleksi pilihan ikan bilis yang dijual di kedai tersebut. Antara jenis ikan bilis yang sangat menjadi pilihan mereka ialah ikan bilis bermata biru. Ikan bilis bermata biru itu dijual dengan harga RM25 sekilo. Melihat keletah peserta kursus dengan pelbagai ragam kerenahnya, keriuhan dan kemeriahan mewarnai aktiviti membeli-belah di kedai itu. Sempat juga saya melihat telatah pemilik kedai berbangsa Cina yang kelihatan bingung melayani kerakusan para pelanggannya itu.



Saya hanya duduk di sebuah bangku plastik sambil menyedut air mineral. Telatah mereka menghiburkan saya. Apatah lagi menjelang sesi tawar menawar, saat not-not kertas menjadi tukaran. Tidak sedikit yang dibelanjakan oleh kebanyakan peserta kursus terbabit untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru dan beberapa makanan kering yang lain. Teman saya sahaja telah membelanjakan sebanyak RM110 untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru. Kebanyakannya membeli bukan untuk diri sendiri sahaja sebaliknya untuk dijadikan tanda 'perut' untuk santapan kaum keluarga atau juga menu utama untuk hidangan mereka yang sentiasa ghairah menanti kepulangan para peserta setelah tiga hari berjauhan.



Mungkin saja, ikan bilis bermata biru akan dijadikan stok keselamatan untuk masa-masa genting seperti yang biasa juga saya lakukan. Pastinya panggilan kursus di Pulau Pangkor sentiasa dinanti-nantikan untuk membawa pulang bilis bermata biru lagi.

Senin, 08 Juni 2009

Kembara di Pangkor

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.
Saya dalam perjalanan menuju ke Pangkor. Perjalanan dari Selayang memakan masa sekitar empat jam. Semasa mengikuti liku jalan di Ulu Yam, saya terpegun seketika dengan keindahan tasik yang. Indah nian. Walaupun jarak antara rumah dengan Ulu Yam yang diiktiraf sebagai Taman Warisan Negeri Selangor itu, amat jarang saya mengunjungi kawasannya.

Sehabis satu para di atas, saya diserang rasa loya yang melampau. Barangkali kerana saya membaca sedikit sambungan novel "Tenggelamnya Kapal Van de Wijck". Lantas, komputer riba ini saya matikan.

Sepanjang perjalanan dari Selayang, saya mengambil masa yang ada untuk mengamati panorama alam yang sangat jarang saya lihat dan sangat saya sukai. Di Perak, saya berkesempatan melihat saujana sawah bendang yang laus terbentang. Sungguh menghijau dan menenangkan. Kali terakhir saya melihat keindahan itu adalah pada tahun 2004 ketika saya di usia tujuh belas tahun, ketika saya mengikuti Ustazah saya bercuti ke kampungnya di negeri Kedah. Kala itu, saya dan ustazah pulang ke kampungnya dengan menaiki bas. Saya bermonolog ketika bas melewati sawah bendang;
"Tak ada kerbau pun ..."
"Tiha, mana ada kerbau dah. Sekarang kan orang bertani dah pakai mesin."

Lucu, saya memang tidak pernah berfikir seperti itu. Saya sangkakan saya akan berpeluang melihat kerbau yang sedang menajak sawah dan orang-orang di tengah bendang. Suatu kehampaan menikam diri. Sepanjang melewati sawah bendang, keinginan saya untuk menggenggam seberkas pokok padi begitu menggunung. Itu merupakan keinginan saya sejak remaja. Semasa di kampung ustazah, saya telah berdiri di batas sawah. Tetapi, saya berasa gusar pula apabila teringatkan ular, pacat dan bermacam lagi. Lalu, keinginan saya itu terus berkubur.

Saya akan berada di Pangkor dari hari Isnin hingga hari Rabu bagi menemani guru saya mengikuti kursus anjuran JPS. Semasa menaiki Feri Mesra, hati saya benar-benar tersentuh dengan keagungan dan kebesaran Allah menggerakkan feri itu. Saya teringat kalam Allah yang menunjukkan kekuasaan-Nya, betapa Allah boleh sahaja memerintahkan agar ombak menyerang kapal-kapal yang berlayar sehingga karam sekiranya diinginkan-Nya. Lantas, saya berasa benar-benar bersyukur dan menyesal dengan segala kekurangan dan dosa yang dilakukan. Semoga Allah yang Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa saya dan sekalian manusia mukminin dan mukminat.

Menjelang petang, saya berjalan menelusuri pemandangan di Pantai Bogak. Suasana begitu meriah dengan kunjungan pengunjung. Kebanyakan datang bersama ahli keluarga. Tentunya meraikan anak-anak yang sedang menikmati cuti persekolahan. Saya berjalan di sepanjang kaki pantai bersendirian. Dibiarakan air Selat Melaka itu menyapa lembut telapak kaki saya. Ya, saya merenung kebesaran cipta Allah yang Maha Esa itu. Terdapat beberapa buah pulau kecil di sekitar pantai. Ramai juga anak muda yang menggunakan perkhimatan bot untuk menjengah keindahan pantai.

Saya berasa amat bersyukur kerana berpeluang merasai nikmat berada di situ. Sesungguhnya, terlalu luas alam ciptaan Allah yang penuh dengan keindahan ini. Melihat pada keluasan laut terbentang, saya teringat wahyu Allah yang menyebut betapa sekiranya seluruh lautan itu dijadikan tinta untuk mencatat ilmu Allah, nescaya tidak pernah cukup. Allahu Akhbar.

Atas takdir Allah yang membawa saya ke sini, rasa syukur mencambah-cambah dalam diri hamba yang hina ini. Saya berharap agar saya akan diberi lagi peluang sebegini untuk menikmati keagungan ciptaan Tuhan lantas menyedarkan saya akan kekerdilan saya sebagai hamba yang maha lemah. Waallahu'alam.

Sepanjang perjalanan juga, hati dan ingatan saya tidak lepas daripada mengingati ibu tercinta. Semoga emak berada dalam perlindungan Allah sentiasa dan semoga kembara saya ini diredai Allah s.w.t.

Isnin2:41 pm