Selasa, 23 Agustus 2011

Teori Kewujudan Makhluk Asing / Alien



Saintis kemuka alasan dakwa makhluk asing wujud, ganas

PERBAHASAN benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.

Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.

“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui.

“Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel.

Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu. Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.

“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.

Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing. Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama.

Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.

“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.

Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri.

Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.

Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.

“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.

Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.

“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.

Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini?

Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.

“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.

Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.

“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.

Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.

“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.

Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.

“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.

'Roswell bukti kewujudan'

Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud.

Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox.

Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.

Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat.

Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.

Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’

Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.

Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu.

Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”

INFO: UFO dan makhluk asing

# Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.

# Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.

# Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.

# Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar