Senin, 22 Agustus 2011

Senarai Harga 20 Barang Kawalan Sempena Musim Perayaan


Kerajaan menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 20 jenis barangan harga terkawal berkuat kuasa 23 Ogos hingga 6 Sept ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk dua barangan baru iaitu bawang besar import dan bawang putih import yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

“Tahun lepas hanya 18 jenis barangan yang kita kawal harganya tapi tahun ini semua jenis bawang kita kawal harga kerana sebelum ini barangan ini menghadapi kenaikan harga.

“Kita takut peniaga akan menaikkan harga bawang kerana permintaan tinggi pada musim perayaan ini, jadi kita tetapkan harga maksimum bawang bagi bawang besar import adalah RM3 sekilogram dan bawang putih import (China) RM6 setiap kg,” katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beberapa barangan runcit lain yang sebelum ini telah disenaraikan di bawah skim itu seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging lembu tempatan masih ditetapkan harga maksimum yang sama seperti tahun lepas.

Harga runcit maksimum bagi ayam ialah RM6.10/kg, ayam standard (RM7.20/kg), ayam super (RM8.05/kg) dan daging lembu tempatan (RM20/kg).

Ismail Sabri berkata barangan harga terkawal lain termasuk daging lembu import, daging kerbau tempatan, daging kerbau import (India), telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, kacang tanah import, bawang merah kecil (India) dan ikan kembung.

Ismail Sabri berkata peniaga tidak boleh menjual barangan terkawal itu melebihi harga maksimum, dan mereka disyaratkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barang berkenaan.
“Jika peniaga gagal mematuhi peraturan-peraturan, iaitu menaikkan harga melebihi harga maksimum dan tidak mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu, tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan

Harga dan Akta Antipencatutan 2011,” katanya.
Beliau berakta 1,000 pegawai pemantau harga dan 2,000 pegawai penguatkuasa akan menjalankan pemantauan di seluruh negara.

“Jumlah ini tidak cukup untuk memantau secara keseluruhan jadi kita minta pengguna membuat aduan kepada kita jika ada peniaga menaikkan harga,” katanya. – BERNAMA

Sumber :mstar online

Tidak ada komentar:

Posting Komentar