TEKANAN oleh pemegang kuasa yang memerintah Tanah Melayu menyebabkan anak-anak wayang berada dalam kesempitan. Mereka mahu berkarya. Mereka mahu melestarikan seni bangsawan agar terus gah tidak tergugah. Akan tetapi, pendudukan Jepun dan kembalinya semula pemerintahan British menyebabkan anak-anak wayang perlu tunduk kepada kuasa yang berada di Tanah Melayu demi keselamatan dan kelangsungan hidup.
Seri Nilam Opera ialah produksi bangsawan yang sangat terkenal. Syekh Abdul Kadeer sebagai pemilik pentas opera ini telah menerbitkan pementasan berjudul "Inggeris Iblis" atas permintaan dan desakan pegawai Jepun. Demi melebarkan slogan 'keamanan' yang dibawa Jepun ke Malaya, masyarakat ketika itu disogokkan dengan kekejaman yang dilakukan British. Pentas Opera ini dimulakan dengan adegan akhir dalam babak pementasan "Inggeris Iblis" yang dilakonkan oleh anak-anak wayang Seri Nilam Opera. Adegan ini memperlihatkan Aminah iaitu watak yang dipegang oleh seri panggung Rubiah @ Ruby Soeparno hampir diperkosa oleh pegawai Inggeris. Kemunculan orang muda yang dipegang oleh Nasruddin Syah dengan watak Hassan akhirnya menyelamatkan Aminah daripada dicabul kehormatannya oleh Inggeris durjana. Mesej kedurjanaan Inggeris disampaikan melalui watak Hassan pada akhir pementasan berkenaan seperti berikut :
HASSAN : Ya, sesungguhnya mereka adalah iblis yang bertopengkan manusia! Tetapi usahlah Aminah khuatirkan lagi, kerana Inggeris akan tewas dan kita akan hidup dengan lebih selamat, aman dan makmur, di dalam sebuah negeri baru di bawah pemerintahan Nippon yang perkasa! (mengeluarkan sehelai bendera Jepun dan menjulangnya ke atas) Hidup Nippon! (1989:4-5).
Seri Nilam Opera nyata menjadi alat Jepun untuk menyebarkan dakyah mereka. Inggeris diberikan watak hitam dan Jepun memegang watak putih yang membawa segala kebaikan untuk Tanah Melayu. Konflik drama ini bermula apabila Ruby selaku seri panggung telah disunting oleh Raja Abdul Muluk dan dibawa ke istana hinggap di Kuala Lumpur. Keputusan Ruby untuk pergi telah memberi implikasi besar terhadap sikap dan pemikiran Nasruddin Syah yang mencintai Rubiah Soeparno. Kehilangan seri panggung menyebabkan Seri Nilam Opera gagal beroperasi. Hal ini kerana seri panggung dan orang muda ialah nadi yang menggerakkan sesebuah pementasan dan menjadi tarikan utama penonton.
Setelah Ruby pergi, Seri Nilam Opera tidak beroperasi hampir sebulan. Anak-anak wayang yang terdiri daripada Dolah Pacak, Osman Bombay, Abdul Ghaffur Ifrit, Juliah, Khatijah dan Tuminah semakin buntu akan nasib mereka. Apatah lagi setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang dengan harapan untuk mencari seri panggung yang baharu. Walau bagaimanapun, Juliah dan Khatijah nekad menjadi penari joget di Lucky World demi menyara hidup mereka. Bagi dua watak wanita ini yang nyata bertentangan pegangan hidup dengan Tuminah beranggapan tidak salah melayan lelaki berhibur asalkan mereka mendapat cara untuk menyara hidup mereka.
Anak-anak wayang ini sedar bahawa mereka tidak punya daya untuk melawan Jepun. Kekejaman Jepun menggentarkan mereka. Mereka sedar bahawa mereka menjadi alat Jepun dalam menipu rakyat Tanah Melayu sendiri. Jauh di sudut hati, mereka amat rindu untuk mengembalikan kegemilangan bangsawan yang sebenar dan melestarikan seni yang mendarah daging di dalam diri mereka.
Setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang, Nasruddin Syah pula ditahan oleh pegawai Inggeris sebaik-baik Jepun kalah dan menyerah diri. British Military Adminstration telah menguasai Tanah Melayu. Nasruddin ditahan kerana menjadi pengarah (program meester) kepada pementasan "Inggeris Iblis" ketika pendudukan Jepun. Apabila Syekh Abdul Kadeer pulang semula ke Seri Nilam Opera bersama Siti Zaleha iaitu seri panggung baharu, Nasruddin yang dibebaskan oleh bapa saudaranya itu pula mengambil keputusan untuk meninggalkan Seri Nilam Opera dan berhijrah untuk berlakon filem di Singapura. Hakikatnya, pemergian Nasruddin adalah kerana kekecewaan tidak berbelah bahagi terhadap Ruby dan dendamnya terhadap Abdul Kadeer yang memberi izin Ruby pergi bersama Raja Abdul Muluk sekali gus menjadi 'Mak Engku".
Pemergian Nasruddin tambah membuntukan keluarga Seri Nilam Opera. Syekh Abdul Kadeer yang berperwatakan lemah akhirnya tekad untuk menjual Seri Nilam Opera. Tekad berkenaan dilakukan atas dasar dirinya sebagai ahli perniagaan yang melihat keuntungan mengatasi perjuangan anak-anak wayang seperti Dolah Pacak, Osman Bombay, Tuminah dan Abdul Ghaffur. Anak-anak wayang ini tidak sanggup Seri Nilam Opera dijual kepada orang yang tidak bijak menghargai seni bangsawan. Hal ini membuatkan mereka tekad untuk membeli Seri Nilam Opera dengan memohon diberikan masa seminggu oleh Syekh Abdul Kadeer :
OSMAN BOMBAY : Jikalau sudah begitu pendapat kawan-kawan semua, bermakna kita bersetuju untuk mencari wang bagi membeli Seri Nilam Opera ini. Bagaimanapun, Tuan Syekh, kami perlu meminta tangguh dalam sedikit masa, kerana kami perlu juga mendapatkan perjumpaan di antara kami, dan seterusnya untuk mencari wang yang diperlukan (1989:66).
Anak-anak wayang ini akhirnya berjaya mendapat bantuan Ruby Soeparno yang bersetuju untuk membeli Seri Nilam Opera atas dasar cinta dan sayangnya akan seni bangsawan. Ruby tidak sanggup melihat Seri Nilam Opera diambil alih oleh orang yang tidak tahu akan besarnya nilai bangsawan. Dalam masa yang sama, Ruby berhasrat untuk memajukan Seri Nilam Opera bersama-sama rakan-rakannya Osman Bombay, Dolah Pacak, Tuminah, Khatijah dan Juliah.
Tidak lama selepas Seri Nilam Opera berpindah hak milik, Nasruddin Syah kembali setelah berasa kecewa dengan kehidupan sebagai pelakon yang tidak memberi kepuasan penuh seperti yang dialami ketika bergelar anak wayang bangsawan. Nasruddin akhirnya semakin tenang dan menerima kenyataan bahawa Ruby Soeparno bukanlah jodohnya dan berusaha menjalin hubungan baik dengan seri panggungnya yang baharu iaitu Siti Zaleha.
Drama ini membawa konsep cerita di dalam cerita. Khalayak pembaca naskhah yang memenangi Hadiah Kedua ESSO-GAPENA 11 (1988/1989) ini dapat menikmati susur galur kehidupan anak bangsawan, dilema dan konflik yang dialami melalui olahan Zakaria Ariffin dalam Pentas Opera. Penggunaan pentas dan belakang pentas Seri Nilam Opera sebagai satu-satunya latar dalam karya ini memberi ruang untuk khalayak menjadi lebih dekat dalam permasalahan yang dialami watak dan cerita dalam menyelamatkan seni bangsawan dan tekanan yang dihadapi akibat silih gantinya pendudukan Jepun kepada pemerintahan British semula.
Watak Jin Boragas dalam pementasan Indera Bangsawan (adegan akhir pementasan Indera Bangsawan oleh Seri Nilam Opera pascakedatangan British) menyaksikan satu tanda bahawa Inggeris dan Malayan Union itu perlu ditentang dan tidak sewajarnya mendapat tempat untuk mendirikan peraturan dan penjajahan mereka buat selama-lamanya di Tanah Melayu. Pengarang memberikan warna bendera Union Jack pada tubuh Jin Boragas yang ditikam Indera Bangsawan bagi mempertahankan dan menyelamatkanTuan Puteri sebagai perjuangan bangsa Melayu (Indera Bangsawan) menewaskan Inggeris/penjajah (Jin Boragas) demi Tanah Melayu (Tuan Puteri) :
INDERA BANGSAWAN : Akulah Indera Bangsawan, putera perkasa dari negeri Indera Kayangan. Aku datang ke mari kerana mahu membebaskan Tuan Puteri ini daripada menjadi mangsa nafsu buas engkau, jin yang tidak berhati perut!
JIN BORAGAS : Hah ... hah ... hah ...! Umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, sudah berani mencabar aku? Hah ... hah ... hah ...!
INDERA BANGSAWAN : Cis! Besar jangan disangka ayah, kecil jangan disangka anak ... Sekarang terimalah habuan engkau ... nah! (Menikam Jin Boragas, tetapi Jin Boragas sempat mengelak dan menolak Indera Bangsawn hingga terjatuh)
Indera Bangsawan bangun dan menikam lagi. Berlakulah satu pertempuran yang amat hebat. Setelah beberapa lama beradu kekuatan, akhirnya Indera Bangsawan dapat membunuh Jin Boragas. Indera Bangsawan lalu membuka tali yang mengikat Tuan Puteri.
Dalam masa yang sama, Zakaria Ariffin mengangkat wanita melalui karya ini dengan kewujudan watak Rubiah Soeparno. Meskipun watak ini hanya muncul dalam beberapa adegan, namun keperibadiannya yang sanggup berkorban demi mempertahankan Seri Nilam Opera ialah simbol perjuangan dalam mempertahankan kesinambungan bangsawan ketika diancam zaman pendudukan Jepun. Persoalan mengenai sikap dan mentaliti masyarakat Melayu ketika itu diterjemahkan pengarang melalui kekalutan watak Osman Bombay dan Dolah Pacak.
Dalam pada itu, kebejatan sosial yang melatari orang Melayu ketika itu lantaran desakan hidup dilontarkan melalui peribadi dua wanita yang sanggup berbuat apa-apa sahaja asalkan dirinya beroleh faedah iaitu watak Khatijah dan Juliah. Selain itu, sikap mudah putus asa dan hilang semangat untuk berdaya saing dipertontonkan menerusi watak Syekh Abdul Kadeer. Natijah sikap pemilik opera ini bukan sahaja mencetuskan masalah kepada dirinya malah membabitkan pekerja di opera itu sendiri. Intihanya, Pentas Opera ialah cerita yang membawa cerita di dalamnya. Persoalan perasaan, kehidupan, konflik dan pengorbanan disatukan dalam adunan menampilkan sejarah kehidupan manusia zaman prakemerdekaan untuk dihayat masyarakat kini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar