Tampilkan postingan dengan label Ulasan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ulasan. Tampilkan semua postingan

Minggu, 23 September 2012

KUASA KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN

kritikan sastera bermaksud analisis, penilaian dan penyelongkaran 'ruang' terdalam terhadap sesebuah karya. Karya yang terbaik tanpa bantuan kritikan akan menjadi sepi dan kurang dikenali masyarakat. Sebaliknya, karya sastera yang mendapat perhatian pengkritik lebih dikenali sekali gus menyebarluaskan keberadaan karya tersebut dalam dunia persuratan. Kritikan turut menjadi wadah bagi meneliti struktur dan aspek dalaman yang wujud dalam anatomi sesebuah karya. Di samping itu, kritikan berfungsi memberi ruang lebih terbuka kepada khalayak pembaca bagi memahami inti pati karya sekali gus menghapuskan salah faham antara pembaca dengan pengarang.
Menerusi Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara, buku dengan ketebalan 686 halaman ini menjadi bahan dokumentasi penting dalam meriwayatkan aneka pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan untuk dihayati generasi demi generasi. 32 buah kritikan di dalam buku ini khusus menterjemahkan pandangan beliau terhadap kehidupan bermasyarakat merangkumi isu agama, budaya, politik dan kemanusiaan.
10 buah novel yang dikaji ialah Orang Kota Bharu, Juara, Pertentangan, Perjudian, Nagogho Astana, Wajah Seorang Wanita, Ustaz, Angin Timur Laut, Perwira dan Pengertian selain enam buah cerpen. Menariknya, himpunan kritikan terhadap karya-karya S. Othman Kelantan ini memperlihatkan lapisan demi lapisan pemikiran yang diketengahkan telah dikupas pengkritik secara mendalam menerusi pendekatan mahupun teori tertentu. Setiap pendekatan menemukan pemikiran yang berbeza walaupun digunakan pada satu karya yang sama.
Mohd Yusof Hasan menerusi “Orang Kota Baharu Dalam Teori SPB4K” menterjemahkan karya agung pengarang tersebut dengan penerapan teori tersendiri. Berdasarkan tiga sumber utama iaitu Addinul Islam, tamadun Barat-Timur dan masyarakat Melayu-Malaysia, pengkritik mendapati wujudnya persoalan mengenai hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam yang padu di dalam novel itu. Berdasarkan kajian, pengarang dikesan menimbulkan persoalan orang Melayu menerusi simbol Kota Bharu yang tersepit antara amal makruf dan nahi mungkar. Melalui pendekatan tempatan yang digunakan pengkritik, kritikan ini mempunyai kekuatan tafsiran yang kuat namun sedikit pincang apabila tidak memperlihatkan rujukan yang mantap sebagai asas kritikan yang cemerlang.
Novel Juara ialah novel sarat konflik politik desa yang menjadi imejan perkembangan sistem politik tempatan. Novel yang telah diadaptasi ke medium layar dengan judul Jogho ini dikritik oleh Abdul Rahman Napiah menerusi judul “Juara Dalam Teori Teksdealisme” yang mencari citra keunggulan yang cuba dibawa pengarang baik terhadap karya mahupun keperibadian pengarang sendiri. Teori ini melihat Juara sebagai karya yang kurang menyerlah berbanding novel-novel pengarang yang lain terutamanya dari aspek penyelidikan. Namun, teks ini dikesan memperlihatkan pengukuhan daripada kesedaran pengarang berserta daya naratif yang kukuh.
Kritikan sastera bukan sekadar memberi pentafsiran sudut pandang pengarang terhadap kehidupan menerusi karya. Sebaliknya, kritikan sastera yang bermutu berupaya menerobos sempadan emosi pengarang dan mengesan sebab pengarang menghasilkan sesebuah karya menerusi ilmu psikologi. Awang Azman Awang Pawi menerusi “Wajah Seorang Wanita : Bacaan Psikoanalisis” menampilkan S. Othman Kelantan selaku anak yang terlalu menghargai kehadiran ibu dalam kehidupannya. Dengan meneliti teori-teori psikoanalisis Freud atau Lacan dan Derrida yang menolak gagasan Freud, karya ini menggunakan watak Siti Musalmah bagi membawa imejan kekuatan dan ketabahan ibu pengarang yang berjuang membesarkan anak-anak walaupun bergelar ibu, janda, nenek dan manusia dengan aneka pancaroba sekitarnya. Kritikan ini juga melihat kemungkinan pengarang berada di peringkat bawah sedar dengan keinginan menjadi tokoh politik dan bangsa yang berjaya.
Himpunan kritikan terhadap pemikiran sasterawan negara ini kebanyakannya didasari pada teori-teori dari Barat sekali gus memperlihatkan kemiskinan sastera tempatan dengan pendekatan tersendiri selain Teori Konseptual Kata Kunci, Teori Rasa Femenologi dan Teori Persuratan Baharu. Adalah penting sekiranya karya-karya tempatan dikritik menggunakan teori tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini memerlukan usaha keras pengkritik agar lebih kritis berfikir supaya tidak terus berada di bawah telunjuk teori-teori Barat. Hakikatnya, buku ini amat bernilai bukan sahaja bagi penggemar sastera malah kepada pengamal sastera yang mempunyai keinginan untuk mengenali dan menguasai dunia kritikan yang amat diperlukan bagi melestarikan bidang kesusasteraan tempatan.

Kamis, 24 Mei 2012

PEREMPUAN NAN BERCINTA, PENEROBOSAN WACANA DUA FIKRAH

"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun  sudah mati."

SEBUAH puisi dibangunkan menerusi susunan dan pemilihan perkataan yang terbaik daripada yang terbaik. Sesebuah drama dikukuhkan dengan dialog sebagai seni bahasa, perwatakan, elemen teaterikal dan isi cerita yang kukuh. Pembinaan sesebuah drama yang baik umpama usaha membina sebuah rumah yang kukuh dan tahan zaman-berzaman. Perempuan Nan Bercinta pula dibangunkan dengan aspek wacana yang menyeluruh, tidak harfiah, kekuatan bahasa dan perjalanan cerita menerusi teknik imbas kembali yang menyegarkan.

Kehadiran Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dalam karya ini sesungguhnya mengubat rindu dan rasa terkilan pembaca terhadap perjalanan hidup Ali Taqi dalam novel Tuhan Manusia. Sekiranya Tuhan  Manusia mempertemukan Ali Taqi dengan Zehra, anak seorang editor majalah liberal bernama Encik Aris - Perempuan Nan Bercinta mempertemukan Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dengan Dr. Tengku Idora, seorang feminis dan teraju utama Modest Women Oriental (MWO) yang berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia. Awal karya ini bermula apabila Dr. Tengku Idora, berusia 38 tahun yang berjuang untuk mendapatkan kesamarataan hak antara lelaki dan wanita khususnya di Malaysia diperkenalkan oleh penulis. Bagi seorang pejuang feminis-liberal, Tengku Idora berusaha untuk menyebarkan 'hak-hak' wanita yang pada pandangan sekularnya kurang mendapat perhatian Islam. Walau bagaimanapun, perjuangan Tengku Idora mendapat tentangan intelektual daripada Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad selaku Ketua Pengarah FASEH.

Penderaan bapa terhadap ibunya, Tengku Melor turut memberi implikasi terhadap Tengku Idora untuk menentang kuasa patriaki dan percaya bahawa kuasa matriaki mampu mengatasi kekuasaan lelaki. Bagi Tengku Idora, lelaki ialah penyebab pada kesengaraan dan penderitaan wanita seperti yang dialami ibunya. Pengalaman pahit itu melahirkan Tengku Idora sebagai aktivitis wanita yang berusaha memberi kekuatan mental khususnya kepada wanita walaupun dengan cara memutar belit fakta yang telah diturunkan oleh Allah SWT menerusi al-Quran Karim. Bagi Tengku Idora, golongan wanita terlalu dimomokkan dengan mitos-mitos terutamanya dari Barat betapa wanita (Hawa) ialah tunjang utama lelaki (Adam) mendekati kebatilan, sekali gus wanita mendapat label sebagai pendorong kejahatan yang dilakukan pihak lelaki.

... "Argh Basti, aku tak akan mengulangi kesilapan Bonda. Lelaki terlalu menderanya."

Plato menyatakan hanya lelaki sahaja yang dicipta langsung oleh Tuhan. Hanya lelaki yang diberikan jiwa. Aristotle pernah menyatakan wanita adalah manusia yang tidak sempurna. Dan, kemudian, bukankah tradisi Rom dan Helena menjadikan wanita sebagai kelompok berstatus renda? Tata semacam inilah yang menjadi tata kegerejaan apabila teologi Kristian meminjam, meniru dan mengekor buta sambil melakukan integrasi lintas dengan pandangan Yahudi kuno serta Romawi. Semuanya tanpa memikirkan kelemahan logika. Gereja kemudiannya menjadikan wanita di bawah kaki kemanusiaan. (2012:5)

Walau bagaimanapun, pertemuan Dr. Tengku Idora dengan Prof. Dr. Ali Taqi di Geneva dalam satu seminar berhubung hak wanita sebagai pemangkin kejayaan masyarakat telah menjadi titik tolak perubahan hidup wanita kental itu. Pertemuan itu bukanlah pertemuan pertama Tengku Idora dengan Dr. Ali Taqi. Malah, nyala benci Dr. Idora terhadap Dr. Ali Taqi semakin marak apabila dia berasa dimalukan oleh pandangan bernas Dr. Ali Taqi dalam seminar di Washington D.C satu ketika dahulu. Beberapa hari sebelum pertemuan itu, Tengku Idora telah dibayangi oleh wajah almarhumah ibunya Tengku Melor yang persis tidak senang dan memarahi perbuatan Tengku Idora dengan gagasan feminis-liberal yang dibawa.

Kemunculan Tengku Melor menjadikan anakandanya semakin resah apatah lagi setelah berulang kali dibayangi dengan kata-kata bonda "Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati" dengan tujuh sifat iaitu siddiqah, mubarakah, thahurah, zakiyah, radhiyah, mardhiyah, muhaddatsah manakala dua sifat lagi dituntut oleh Tengku Melor agar dicari oleh Tengku Idora sendiri.

Tengku Idora membesar dalam kehidupan serta persekitaran yang dibayangi institusi kelelakian yang tidak memberikan teladan yang baik. Hal ini menyebabkan Tengku Idora melihat wujudnya tradisi berat sebelah terhadap isu gender melalui sebuah hadis yang dipetik dari Sahih al-Bukhari. Walau bagaimanapun, salah tanggapan Tengku Idora telah disambut oleh Dr. Ali Taqi bahawa kedudukan wanita dan lelaki dalam Islam ialah shatray al-nafs al-wahidah yang bermaksud dua bahagian dari satu jiwa yang tidak mungkin terpisah (2012:35). Surah An-Nisa yang dibacakan Dr. Ali Taqi menolak hadis riwayat Abu Hurairah lantaran tiada pandangan jelas bahawa wanita wujud dari tulang rusuk lelaki.

Pada hakikatnya, perjalanan cerita dalam novel setebal 410 halaman lengkap dengan rujukan nota kaki bagi setiap hujah yang diberikan ini bergerak menerusi teknik imbas kembali. Di samping itu, kisah pertentangan idea antara Tengku Idora dan Dr. Ali Taqi bukanlah perkara utama yang ingin diketengahkan. Sebaliknya, perbezaan pendapat dan fahaman antara dua golongan intelektual ini menjadi wadah untuk menyalurkan isu berkenaan kedudukan wanita dari kaca mata seorang faham feminis-liberal dengan seorang tokoh Islam yang mempunyai prinsip serta sudut pandang tauhidik dan profetik yang kukuh (2012:7). Bagi Dr. Ali Taqi, pandangan Barat sememangnya memperlihatkan tugas wanita mengurus rumah tangga sebagai satu tugas yang remeh seperti yang diyakini tokoh dari MWO dan Sisters of Ummah. Sebaliknya pandangan Islam melihat tanggungjawab wanita itu sebagai medan paling asas untuk mendidik dan menanam falsafah tauhid dalam diri anak-anak.

Apabila Tengku Idora pengsan ketika Dr. Ali Taqi memberikan hujah berdasarkan dalil akli dan naklinya, Bastian (lelaki bermata hijau yang menyimpan cinta untuk Tengku Idora) berusaha untuk mendapatkan rawatan terhadap Tengku Idora yang koma. Pengesahan dari Dr. Zainab - anakanda Dr. Ali Taqi dari Pusat Perubatan FASEH akan Dr. Idora yang menghidap barah tulang mengukuhkan hati Bastian untukmenjadikan Idora sebagai isteri. Situasi ini merancakkan isu utama yang diketengahkan penulis dalam karya ini iaitu keutamaan ahlul bait yang sering dipinggirkan oleh masyarakat Islam kini.

Perbincangan mengenai hak-hak wanita dan keutaamaan ahlul bait di sisi Nabi Muhammad SAW dan Islam itu sendiri mula disuarakan menerusi ingatan kembali Zanjabila dalam Bab 6 hingga Bab 9 daripada 30 Bab dalam novel ini. Menerusi Zanjabila, khalayak bukan sahaja mendapat pengetahuan mengenai penderaan yang dilakukan oleh ayah Tengku Idora (pemabuk yang suka mendera) terhadap ibu mereka,malah menyatakan perbezaan fikiran dan pendirian dua beradik ini. Kisah pertemuan Zanjabila dengan Hashemi turut menyerlahkan perkenalan pasangan ini dengan Dr. Ali Taqi. Zanjabila mengenang kembali penjelasan Dr. Ali Taqi berhubung pandangan Ahli Sunah Waljamaah yang mengangkat Saidina Ali sebagai ahlul bait ialah pengganti Nabi Muhammad SAW. Kemangkatan Nabi Muhammad SAW dan ketaasuban pengikut sesetengah sahabat telah menyebabkan kepentingan Saidina Ali kurang diutamakan.

Bab 10 hingga Bab 12 memperlihatkan jalur pemikiran dan perjalanan Bastian yang juga mengenang kembali perkenalannya dengan Tengku Idora dan Dr. Ali Taqi. Sebagai sarjana Barat yang amat meminati cabang budaya dan tradisi Melayu, Bastian terpesona dengan wacana ilmu dan agama dalam Tamadun Melayu dan keindahan Islam. Walaupun Bastian mengakui kebenaran dan kebaikan yang dibawa oleh Islam, Bastian masih lagi terkekang untuk memeluk Islam disebabkan empat persoalan. Pertemuan dengan Dr. Ali Taqi telah membuka lagi ruang fikir Bastian agar meneliti dengan lebih dalam mengenai konsep tauhid Islam. Perbincangan mengenai keutamaan dan keistimewaan ahlul bait dan sudut pandang Wahabi semakin terangkum kuat menerusi Dr. Ali Taqi dan Bastian :

"Demistikisasi. Kalau ada gerakan keilmuan yang kontra demistikisasi, maka ia akan menjadi gerakan keilmuan yang mencabut akar sejarah bangsa. Islam yang masuk ke rantau ini bukan Islam legalistis, tetapi Islam yang dibawa para wali dengan dimensi mistikal, yakni kita panggil tasawwuf. Wahabi ingin menghidupkan formalisme, lalu kaum sufi digelar ahli sarair, kaum Wahabi ini jadi ahli zhawahir. Ajaran Islam jadi sangat sentral fikah. Ia membawa kepada dikotomi sunah-bidaah, halal-haram, tauhid-syirik, Islam-jahiliyyah sehingga proses penyucian batin yang menjadi pengalaman beragama yang emosional, atau apa yang saya namakan kehangatan beragama sekarang telah diserang. Wirid, selawat, zikir, marhaban jadi serangan. Kaum Wahabi berpegang penuh kepada hadis 'barang siapa beramal tidak sesuai dengan perintahku, ia tertolak'. Mereka mahu bermain dengan hal-hal zahir sahaja. Ingat, lapisan kedua yang memungkinkan dorongan akal untuk mendapatkan ilmu 'renang' dan bukan sahaja ilmu 'nahu' seperti dalam anekdot Rumi?" (2012:149)

Bastian mengahwini Idora walaupun sebelum itu keinginannya itu tersekat dek kerana empat persoalan kepada dia sebagai Kristian dan manusia yang mementingkan logik akal yang sihat untuk menerima Islam. Tengku Idora sendiri tidak mampu menjawab empat persoalan tersebut, namun Siti Fatimah binti Ali Taqi, anakanda Pengarah FASEH pada akhir cerita telah menjawab kesemua persoalan Bastian dalam satu sidang akhbar berikutan penangkapan Dr. Ali Taqi yang didakwa sebagai ejen Iran sekali gus menjadi ejen Syiah ekoran pendedahan oleh WikiLeaks. Jawapan Siti Fatimah Ali Taqi yang mewarisi semangat cinta mendalam terhadap ahli keluarga Nabi Muhammad SAW berjaya mengislamkan Hilda, wartawan dari saluran berita antarabangsa CNN.

Perempuan Nan Bercinta menarik jiwa dan minda khalayak pembaca yang bersedia untuk menerima sesuatu yang baharu daripada kelaziman. Novel sarat wacana ini ialah laluan untuk pembaca mengenal makna kata ahlul bait sekali gus membuang stigma terhadap fahaman Syiah secara semberono. Meskipun Dr. Ali Taqi ditahan, Tengku Idora yang sembuh asbab tawassul di Raudah telah menjadi seorang wanita Mukminah yang berusaha mencari siratul mustaqim langsung bertaubat atas usaha-usaha jahatnya untuk memesongkan kepercayaan wanita-wanita Islam terhadap hukum Islam yang terbaik untuk mereka. Perempuan Nan Bercinta bukanlah merujuk makna denotatif - perempuan yang sedang bercinta. Namun, 'Perempuan Nan Bercinta' ialah wanita-wanita yang berusaha mencari dan mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan kaum keluarga baginda seperti Saidatina Fatimah di sisi Rasulullah dan Ali Karamallahuwajhah, wanita mulia yang menentang sehingga mati dan sesudah matinya (2012:374).

Satu persoalan yang sering disoal kepada Dr. Ali Taqi dan penulis karya ini khususnya iaitu adakah Dr. Ali Taqi seorang syiah lantaran minat yang mendalam terhadap ilmu-ilmu berkaitan Syiah dan menjadikan Imam Jaafar Sadik, Imam Khomeini dan Ali Shariati sebagai idola turut terjawab dalam karya ini. Perempuan Nan Bercinta ialah karya sastera dengan gagasan persuratan tersendiri khusus untuk pembaca yang mahu membaca dan mengenali makna di sebalik karya. Keindahan karya ini bukan sahaja terletak pada tatacara ilmu dan wacana yang disusun malah terpelihara dari segi estetik bahasa yang cemerlang meskipun tidak lepas daripada unsur sindiran yang tersendiri untuk difikirkan pembaca. Karangan penulis tersohor Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan harga RM 35 ini untuk pembaca yang sedia menerima dan mencerna. Selamat membaca.

Kajiannya mungkin tidak disambut, tidak dipuji dengan benar, tetapi rausyanfikir akan tenang kerana "pembaca terpilihnya" benar-benar bertepuk, mengangguk dan bersorak pada tempatnya; kerana benar-benar ia tiba pada hikmahnya. Dan rausyanfikir tidak perlukan semua pembaca karyanya begitu,cukuplah seorang.- Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad -

Minggu, 25 Desember 2011

DUNIA SEORANG PEMUDA : KONSERTO TERAKHIR

AIR DICINCANG tidak akan putus, waima sejauh mana hulu dan berbeza hilirnya. Air tetap tidak pernah terputus daripada asalnya. Malah, hala tujunya tetap sama – menuju lauta luas terbentang. Begitu jugalah kehidupan manusia yang penuh dengan pelbagai liku dan ragamnya. Begitulah yang cuba ditonjolkan oleh penulis, Abdullah Hussain. Hilmi, seorang pemuda kampung yangn serba naif datang ke Kuala Lumpur. Hajatnya menggunung tinggi untuk mendapatkan bantuan pekerjaan daripada bapa saudaranya, Dato’ Johari.

Malang, hajat murni kedatangan Hilmi tidak disenangi oleh Dato’ Johari malah mendapat tentangan hebat oleh isteri Dato’ Johari iaitu Datin Salmah. Bagi Dato’ Johari, kedatangan Hilmi seolah-olah cuba memaksa kenangan silam yang telah dilupakannya bertandang semula. Kenangan tentang dia meninggalkan isteri yang baru dikahwini atas desakan keluarga sebaik-baik menikmati ‘malam pertamanya’.

Kedatangan Hilmi juga dillihat Dato’ Johari sebagai satu cubaan bapa Hilmi iaitu Karim yang ingin budinya mengantikan tempatnya selepas Dato’ Johari melarikan diri dari kampung.Pada awalnya, Hilmi diselubungi rasa gembira lantaran mendapat tempat berteduh di rumah bapa saudara. Pemuda itu juga sangat bersyukur apabila Dato’ Johari berjanji akan mencarikan pekerjaan untuknya. Namun begitu, tidak mudah untuk Dato’ Johari mendapatkan pekerjaan untuk anak saudaranya itu. Dengan berbekalkan pendidikan Melayu sehingga darjah empat, siapalah yang mahu menggaji Hilmi? Rakan-rakan perniagaan yang sering ditaburkan budi jga tidak mampu membantunya. Lantas, Hilmi dijadikan tukang kebun dengan gaji 20 ringgit sebulan di rumah bapa saudaranya yang kaya-raya itu.Alam pula sangat mesra dengan Hilmi. Setiap pokok bunga, sayur-sayuran dan ayam yang dijaga Hilmi tumbuh dan membesar dengan subur dan sihat. Hal ini menjadi kebanggaan Datin Salmah yang suka memperlihatkan keindahan Taman Jepunnya kepada rakan-rakan morning coffeenya.



Sungguhpun Hilmi menyumbang jasa yang besar terhadap keindahan Taman Jepun yang menjadi kebanggaannya itu, Datin Salmah tetap menyimpang segunung rasa benci terhadap Hilmi. Sebagai seorang yang berpangkat dan sangat mementingkan darjat, Datin Salmah sangat malu dan enggan mengakui anak saudaranya itu sebagai yang selayaknya.Hilmi hanya mendapat secebis ketenangan setiap kali mendengar Hayati, anak perempuan tunggal Dato’ Johari memainkan pianonya. Malah, jauh di sudut hati Hilmi juga berasa tenang apabila dapat berbicara dan melihat raut wajah tenang seorang Hayati.


Tanpa disedari, bibit-bibit cinta tersemi jauh di sudut hati Hilmi dan Hayati. Sayangnya, kebencian Datin Salmah terhadap Hilmi dan keterikatan Hayati sebagai tunangan Mohsin menjadi penghalanng cinta mereka. Oleh sebab itu, Hayati dan Hilmi memendam perasaan.Tanpa pernah Himli sedari, perkenalannya dengan Hayati juga telah mencambahkan bakat alam yang ada pada dirinya terhadap muzik. Lenggok tari melodi piano yang sering dimainkan Hayati membuatkan Hilmi benar-benar jatuh cinta dengan muzik. Dengan bantuan Mamat, pemandu Dr. Nathan, Hilmi telah diperkenalkan dengan seorang pemuzik yang terkenal iaitu En. Bakar. Sebagai seorang yang berpengalaman, En. Bakar pasti bahawa Hilmi seorang anak muda yang sangat berbakat dan bakal menjadi pemuzik yang terkemuka jika berusaha dengan bersungguh-sungguh. Paling penting, tahap pendidikan Hilmi tidak menjadi penghalang untuk Hilmi memajukan diri dalam industri itu. Lantaran tidak tahan dengan cemuhan dan kebencian Datin Salmah terhadapnya, Hilmi telah meninggalkan rumah Dato’ Johari dengan alasan ingin pulang ke kampung.


Pemergian Hilmi memberikan tamparan hebat kepada Hayati. Kemurungan menerjah dirnya. Namun, kemurungan itu telah mengajar Hayati untuk lebih mendekati Ilahi. Perubahan positif itu menimbulkan kerisauan di hati Datin Salmah menggunung. Perubahan Hayati itu dituduh berpunca daripada perbuatan songsang Hilmi terhadap Hayati.Dengan bantuan dan didikan En. Bakar, Hilmi berjaya memasuki sebuah quartet. Persembahan pertama Hilmi iaitu bermain biola bagi mengiringi penyanyi terkenal, Alice Lee telah melonjakkan namanya. Hilmi dianggap sebagai Pemain Biola Hikmat di Malaysia. Namun begitu, Hilmi tetap tidak pernah melupakan Hayati. Begitu juga sebaliknya. Atas dasar kepatuhan terhadap ibu bapa, Hayati bersetuju untuk mengahwini Mohsin. Hilmi pula, atas rasa berhutang budi dan sunyi telah menerima Azizah, anak tunggal En. Bakar sebagai isteri.Walau bagaimanapun, perkahwinan Himi dan Azizah tidak selamanya bahagia.


Setelah dikurniakan seorang anak lelaki – Hakim, masing-masing mula berubah hati dan merindui kehidupan masa bujang mereka. Azizah menuduh Hilmi masih tidak melupakan Hayati. Manakala, Hilmi mendakwa Azizah terlalu tidak memahami kerjayanya. Dalam kepincangan rumah tangga itu, Hilmi dilimpahi pula ilham sehingga terhasillah lagu ‘Cinta dan Tangis’ dan ‘Balada Kasih’.Tanpa diberitahu penyakit yang dihadapi, khalayak dikejutkan dengan berita Hilmi dimasukkan ke Unit Rawatan Khusus di Hospitak Besar pada malam bersejarah. Hilmi yang sepatutnya memimpin orkestranya dalam persembahan langsung ‘Hilmi Poutpouri’ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya telah digantikan oleh seornag wanita yang sangat mengetahui malah memiliki nota-nota muzik Hilmi. Debaran memuncak apabila Dato’ Johari bertemu dengan bapa Hilmi iaitu Karim. Pertemuan dua bapa itu mengejutkan Dato’ Johari, Datin Salmah dan Hayati yang diberitahu status sebenar Hilmi.

Rabu, 31 Agustus 2011

PERJUANGAN DALAM KESEMPITAN: CERITA DALAM CERITA PENTAS OPERA

TEKANAN oleh pemegang kuasa yang memerintah Tanah Melayu menyebabkan anak-anak wayang berada dalam kesempitan. Mereka mahu berkarya. Mereka mahu melestarikan seni bangsawan agar terus gah tidak tergugah. Akan tetapi, pendudukan Jepun dan kembalinya semula pemerintahan British menyebabkan anak-anak wayang perlu tunduk kepada kuasa yang berada di Tanah Melayu demi keselamatan dan kelangsungan hidup.


Seri Nilam Opera ialah produksi bangsawan yang sangat terkenal. Syekh Abdul Kadeer sebagai pemilik pentas opera ini telah menerbitkan pementasan berjudul "Inggeris Iblis" atas permintaan dan desakan pegawai Jepun. Demi melebarkan slogan 'keamanan' yang dibawa Jepun ke Malaya, masyarakat ketika itu disogokkan dengan kekejaman yang dilakukan British. Pentas Opera ini dimulakan dengan adegan akhir dalam babak pementasan "Inggeris Iblis" yang dilakonkan oleh anak-anak wayang Seri Nilam Opera. Adegan ini memperlihatkan Aminah iaitu watak yang dipegang oleh seri panggung Rubiah @ Ruby Soeparno hampir diperkosa oleh pegawai Inggeris. Kemunculan orang muda yang dipegang oleh Nasruddin Syah dengan watak Hassan akhirnya menyelamatkan Aminah daripada dicabul kehormatannya oleh Inggeris durjana. Mesej kedurjanaan Inggeris disampaikan melalui watak Hassan pada akhir pementasan berkenaan seperti berikut :



HASSAN : Ya, sesungguhnya mereka adalah iblis yang bertopengkan manusia! Tetapi usahlah Aminah khuatirkan lagi, kerana Inggeris akan tewas dan kita akan hidup dengan lebih selamat, aman dan makmur, di dalam sebuah negeri baru di bawah pemerintahan Nippon yang perkasa! (mengeluarkan sehelai bendera Jepun dan menjulangnya ke atas) Hidup Nippon! (1989:4-5).








Seri Nilam Opera nyata menjadi alat Jepun untuk menyebarkan dakyah mereka. Inggeris diberikan watak hitam dan Jepun memegang watak putih yang membawa segala kebaikan untuk Tanah Melayu. Konflik drama ini bermula apabila Ruby selaku seri panggung telah disunting oleh Raja Abdul Muluk dan dibawa ke istana hinggap di Kuala Lumpur. Keputusan Ruby untuk pergi telah memberi implikasi besar terhadap sikap dan pemikiran Nasruddin Syah yang mencintai Rubiah Soeparno. Kehilangan seri panggung menyebabkan Seri Nilam Opera gagal beroperasi. Hal ini kerana seri panggung dan orang muda ialah nadi yang menggerakkan sesebuah pementasan dan menjadi tarikan utama penonton.


Setelah Ruby pergi, Seri Nilam Opera tidak beroperasi hampir sebulan. Anak-anak wayang yang terdiri daripada Dolah Pacak, Osman Bombay, Abdul Ghaffur Ifrit, Juliah, Khatijah dan Tuminah semakin buntu akan nasib mereka. Apatah lagi setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang dengan harapan untuk mencari seri panggung yang baharu. Walau bagaimanapun, Juliah dan Khatijah nekad menjadi penari joget di Lucky World demi menyara hidup mereka. Bagi dua watak wanita ini yang nyata bertentangan pegangan hidup dengan Tuminah beranggapan tidak salah melayan lelaki berhibur asalkan mereka mendapat cara untuk menyara hidup mereka.


Anak-anak wayang ini sedar bahawa mereka tidak punya daya untuk melawan Jepun. Kekejaman Jepun menggentarkan mereka. Mereka sedar bahawa mereka menjadi alat Jepun dalam menipu rakyat Tanah Melayu sendiri. Jauh di sudut hati, mereka amat rindu untuk mengembalikan kegemilangan bangsawan yang sebenar dan melestarikan seni yang mendarah daging di dalam diri mereka.



Setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang, Nasruddin Syah pula ditahan oleh pegawai Inggeris sebaik-baik Jepun kalah dan menyerah diri. British Military Adminstration telah menguasai Tanah Melayu. Nasruddin ditahan kerana menjadi pengarah (program meester) kepada pementasan "Inggeris Iblis" ketika pendudukan Jepun. Apabila Syekh Abdul Kadeer pulang semula ke Seri Nilam Opera bersama Siti Zaleha iaitu seri panggung baharu, Nasruddin yang dibebaskan oleh bapa saudaranya itu pula mengambil keputusan untuk meninggalkan Seri Nilam Opera dan berhijrah untuk berlakon filem di Singapura. Hakikatnya, pemergian Nasruddin adalah kerana kekecewaan tidak berbelah bahagi terhadap Ruby dan dendamnya terhadap Abdul Kadeer yang memberi izin Ruby pergi bersama Raja Abdul Muluk sekali gus menjadi 'Mak Engku".



Pemergian Nasruddin tambah membuntukan keluarga Seri Nilam Opera. Syekh Abdul Kadeer yang berperwatakan lemah akhirnya tekad untuk menjual Seri Nilam Opera. Tekad berkenaan dilakukan atas dasar dirinya sebagai ahli perniagaan yang melihat keuntungan mengatasi perjuangan anak-anak wayang seperti Dolah Pacak, Osman Bombay, Tuminah dan Abdul Ghaffur. Anak-anak wayang ini tidak sanggup Seri Nilam Opera dijual kepada orang yang tidak bijak menghargai seni bangsawan. Hal ini membuatkan mereka tekad untuk membeli Seri Nilam Opera dengan memohon diberikan masa seminggu oleh Syekh Abdul Kadeer :


OSMAN BOMBAY : Jikalau sudah begitu pendapat kawan-kawan semua, bermakna kita bersetuju untuk mencari wang bagi membeli Seri Nilam Opera ini. Bagaimanapun, Tuan Syekh, kami perlu meminta tangguh dalam sedikit masa, kerana kami perlu juga mendapatkan perjumpaan di antara kami, dan seterusnya untuk mencari wang yang diperlukan (1989:66).


Anak-anak wayang ini akhirnya berjaya mendapat bantuan Ruby Soeparno yang bersetuju untuk membeli Seri Nilam Opera atas dasar cinta dan sayangnya akan seni bangsawan. Ruby tidak sanggup melihat Seri Nilam Opera diambil alih oleh orang yang tidak tahu akan besarnya nilai bangsawan. Dalam masa yang sama, Ruby berhasrat untuk memajukan Seri Nilam Opera bersama-sama rakan-rakannya Osman Bombay, Dolah Pacak, Tuminah, Khatijah dan Juliah.


Tidak lama selepas Seri Nilam Opera berpindah hak milik, Nasruddin Syah kembali setelah berasa kecewa dengan kehidupan sebagai pelakon yang tidak memberi kepuasan penuh seperti yang dialami ketika bergelar anak wayang bangsawan. Nasruddin akhirnya semakin tenang dan menerima kenyataan bahawa Ruby Soeparno bukanlah jodohnya dan berusaha menjalin hubungan baik dengan seri panggungnya yang baharu iaitu Siti Zaleha.


Drama ini membawa konsep cerita di dalam cerita. Khalayak pembaca naskhah yang memenangi Hadiah Kedua ESSO-GAPENA 11 (1988/1989) ini dapat menikmati susur galur kehidupan anak bangsawan, dilema dan konflik yang dialami melalui olahan Zakaria Ariffin dalam Pentas Opera. Penggunaan pentas dan belakang pentas Seri Nilam Opera sebagai satu-satunya latar dalam karya ini memberi ruang untuk khalayak menjadi lebih dekat dalam permasalahan yang dialami watak dan cerita dalam menyelamatkan seni bangsawan dan tekanan yang dihadapi akibat silih gantinya pendudukan Jepun kepada pemerintahan British semula.


Watak Jin Boragas dalam pementasan Indera Bangsawan (adegan akhir pementasan Indera Bangsawan oleh Seri Nilam Opera pascakedatangan British) menyaksikan satu tanda bahawa Inggeris dan Malayan Union itu perlu ditentang dan tidak sewajarnya mendapat tempat untuk mendirikan peraturan dan penjajahan mereka buat selama-lamanya di Tanah Melayu. Pengarang memberikan warna bendera Union Jack pada tubuh Jin Boragas yang ditikam Indera Bangsawan bagi mempertahankan dan menyelamatkanTuan Puteri sebagai perjuangan bangsa Melayu (Indera Bangsawan) menewaskan Inggeris/penjajah (Jin Boragas) demi Tanah Melayu (Tuan Puteri) :


INDERA BANGSAWAN : Akulah Indera Bangsawan, putera perkasa dari negeri Indera Kayangan. Aku datang ke mari kerana mahu membebaskan Tuan Puteri ini daripada menjadi mangsa nafsu buas engkau, jin yang tidak berhati perut!


JIN BORAGAS : Hah ... hah ... hah ...! Umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, sudah berani mencabar aku? Hah ... hah ... hah ...!



INDERA BANGSAWAN : Cis! Besar jangan disangka ayah, kecil jangan disangka anak ... Sekarang terimalah habuan engkau ... nah! (Menikam Jin Boragas, tetapi Jin Boragas sempat mengelak dan menolak Indera Bangsawn hingga terjatuh)


Indera Bangsawan bangun dan menikam lagi. Berlakulah satu pertempuran yang amat hebat. Setelah beberapa lama beradu kekuatan, akhirnya Indera Bangsawan dapat membunuh Jin Boragas. Indera Bangsawan lalu membuka tali yang mengikat Tuan Puteri.


Dalam masa yang sama, Zakaria Ariffin mengangkat wanita melalui karya ini dengan kewujudan watak Rubiah Soeparno. Meskipun watak ini hanya muncul dalam beberapa adegan, namun keperibadiannya yang sanggup berkorban demi mempertahankan Seri Nilam Opera ialah simbol perjuangan dalam mempertahankan kesinambungan bangsawan ketika diancam zaman pendudukan Jepun. Persoalan mengenai sikap dan mentaliti masyarakat Melayu ketika itu diterjemahkan pengarang melalui kekalutan watak Osman Bombay dan Dolah Pacak.



Dalam pada itu, kebejatan sosial yang melatari orang Melayu ketika itu lantaran desakan hidup dilontarkan melalui peribadi dua wanita yang sanggup berbuat apa-apa sahaja asalkan dirinya beroleh faedah iaitu watak Khatijah dan Juliah. Selain itu, sikap mudah putus asa dan hilang semangat untuk berdaya saing dipertontonkan menerusi watak Syekh Abdul Kadeer. Natijah sikap pemilik opera ini bukan sahaja mencetuskan masalah kepada dirinya malah membabitkan pekerja di opera itu sendiri. Intihanya, Pentas Opera ialah cerita yang membawa cerita di dalamnya. Persoalan perasaan, kehidupan, konflik dan pengorbanan disatukan dalam adunan menampilkan sejarah kehidupan manusia zaman prakemerdekaan untuk dihayat masyarakat kini.

Selasa, 30 Agustus 2011

DILEMA PERAWAN TUA DALAM CINTA SUCI ZAHRANA

TIDAK ADA WANITA NORMAL yang tidak punya rasa untuk berumah tangga dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang enggan mengandungkan janin daripada benih suami tercinta di dalam rahim yang dimilikinya dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang menolak untuk menjadi makmum saban solat jemaah berimamkan suami yang menikahinya atas dasar cinta dan amanah daripada Allah dengan sengaja.


Menjadi seorang wanita berkerjaya, berprestasi, bereputasi tinggi, mempunyai pendidikan dan kecemerlangan yang bergemerlapan tetapi melewati usia tanpa teman yang halal dalam melayari bahtera perkahwinan bukanlah mudah. Zahrana berusia 34 tahun, pada usia itu wanita dari tanah Jawa itu diamuk tekanan masyarakat khususnya ibu bapa sendiri untuk melihat Zahrana bernikah, mempunyai suami dan cahaya mata penyejuk hati.


Zahrana, wanita bercita-cita tinggi mendapat penghargaan antarabangsa sebagai arkitek ulung dari Universiti Tsinghua, Beijing namun hatinya resah apabila mendapat sambutan dingin daripada ibu dan bapa sendiri. Habiburrahman El Shirazy memulakan novel terbaharu yang terbit pada Mei 2011 berjudul Cinta Suci Zahrana ini dengan pertanyaan demi pertanyaan Zahrana terhadap dirinya sendiri sewaktu dalam penerbangan menuju Beijing untuk menerima anugerah berkenaan. Dewi Zahrana tertanya-tanya, berkonflik dalam diri akan sebab ibu dan bapa menghantarnya terbang ke Negara Tembok Besar dengan dingin.














Lina, sahabat baik sejak dari SMA dihubungi agar menemui ibu bapa Zahrana seraya menggali rahsia dinginnya mereka terhadap Zahrana. Melalui Lina, Zahrana mendapat tahu akan kecewanya Pak Munajat dan Bu Nuriyah terhadap dirinya. Ya, Zahrana seharusnya cukup membanggakan ibu dan bapa apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa, bakal melanjutkan S-3 dan tulisan-tulisan Zahrana termuat dalam jurnal-jurnal antarabangsa dunia reka bina. Namun, segala pengiktirafan dan kecemerlangan Zahrana tidak mampu menandingi harapan dan impian Pak Munajat serta Bu Nuriyah yang kepingin Zahrana mengakhiri dunia sendirinya dengan pernikahan. Zahrana dilabel sebagai 'anak perawan tua'. Sesetengah jiran mula berkata tentang Zahrana yang sukar menemui jodoh pada usia sebegitu. Mengenangkan pendapat pakar perubatan akan kesukaran mendapatkan zuriat pada usia wanita lewat 30-an tambah merisaukan Pak Munajat dan Bu Nuriyah. Mereka khuatir andai keturunan mereka tidak bersambung gara-gara liatnya Zahrana menemui jodohnya.


Namun demikian, Zahrana tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga. Zahrana berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Walau bagaimanapun, Zahrana tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri yang belum berpunya. Dia berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama hidup dengan tohmahan 'anak perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya.


Pak Sukarman, Dekan Fakultas Teknik di Universiti Mangunkarsa berusia lewat 50-an berusaha mendapatkan Zahrana. Kejelitaan, kebijaksanaan dan penghargaan yang diperoleh Zahrana menjadikan dia begitu tergila-gilakan pensyarah muda berkenaan. Zahrana yang mengetahui sikap mata keranjang dan kebejatan moral Pak Sukarman telah menolak lamarannya. Penolakan lamaran membuatkan Zahrana diancam sehingga menarik diri dari kerjayanya di universiti berkenaan. Dendam Pak Sukarman yang menganggap dirinya besar, terhormat dan tidak wajar setelah ditolak lamarannya oleh Zahrana mengatur strategi agar Zahrana kekal sebagai perawan tua.


Setelah menarik diri dari Universitas Mangunkarsa, Zahrana berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pesantren. Di pesantren, Zahrana tekad memenuhi impian Pak Munajat dan Bu Nuriyah dengan memohon bantuan kiyai melalui Ummi Saadah agar mencarikan calon suami yang soleh dan bertakwa untuk dirinya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti. Pak Sukarman yang mendapat tahu Zahrana bakal menikahi Rahmad (penjual keropok yang soleh) mengatur strategi membunuh Rahmad pada hari pernikahannya dengan Zahrana.


Selain kematian Rahmad, Zahrana juga diterjah duka lantaran kematian Pak Munajat yang diserang sakit jantung pada hari yang sama. Zahrana semakin buntu. Pertemuan tidak diduga dengan Bu Zulaika, iaitu bonda kepada Hassan yang menjadi anak didiknya di universiti memberikan laluan baharu. Hassan yang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia memohon agar Bu Zulaika meminang Zahrana untuk dirinya. Jarak usia empat tahun dan kedudukan Hassan sebagai mantan muridnya membuatkan Zahrana terpinga-pinga seketika. Namun pada akhirnya, Zahrana menerima lamaran dan pada hari yang sama menuntut agar dia dan Hassan dinikahkan pada malam kedua Ramadan di masjid berdekatan rumah Zahrana.


Pengakhirnya cerita ini bagi saya agak mengejut dan terlalu tergesa-gesa. Kewajaran Zahrana menerima lamaran Hassan memberikan satu impak yang kurang mendalam dan boleh dipertikaikan. Barangkali pengarang menyimpan hikmah yang tersendiri. Akhir karya ini juga mengabaikan Bu Nuriyah selepas pernikahan Zahrana dan kematian Pak Munajat kerana pengarang 'membawa' Zahrana dan Hassan ke Fudan tanpa Bu Nuriyah.


Namun demikian, karya ini berdiri teguh atas konflik emosi Zahrana yang menjadi fokus pengarang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik namun kekurangan nilai tambah sebagai seorang wanita ditelusuri dengan berhati-hati. Seorang wanita yang tegas, mahukan kejayaan namun cukup prihatin dalam mencari calon suami yang penuh keimanan untuk jaminan masa depan. Cinta Suci Zahrana membawa khalayak menelusuri liku jiwa pengembaraan seorang wanita 'perawan tua' mendepani kehidupannya yang sering dipandang negatif oleh kebanyakan masyarakat. Tegasnya, seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja untuk melewatkan hari bergelar isteri.

Sabtu, 27 Agustus 2011

KEKUATAN MAZNI DALAM BADAI SEMALAM

CERITA TENTANG JIWA manusia penuh kental dan cita-cita. Setiap kisah bercerita tentang jiwa manusia. Aspek kejiwaan menjadi antara elemen penting dalam sesebuah naratif. Badai Semalam karangan Khadijah Hashim menampilkan satu pergelutan jiwa seorang remaja sunti bernama Mazni. Hidup sebatang kara, yang ada hanyalah ibunya Cik Bibah. Hidup menumpang di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, Mazni sering dibumbui resah jiwa lantaran kesihatan Cik Bibah yang merosot sentiasa.



Mazni, anak tunggal Cik Bibah berusia 18 tahun yang lahir tanpa pernah melihat wajah arwah ayahnya menghadapi dilema. Jauh di sudut hati, Mazni pelajar Maktab Melayu mempunyai keinginan dan cita-cita tinggi untuk meneruskan pelajaran hingga ke tahap paling tinggi. Akan tetapi, kesusahan hidup yang dialami membuatkan Mazni sering resah. Dia mahu mencapai cita-cita. Dalam masa yang sama, kesihatan ibu menuntut pengorbanan Mazni untuk menyara hidup mereka.






Cik Bibah tidak bersetuju dengan keputusan Mazni untuk berhenti daripada sekolah atas nasihat Mak Atun. Bagi Cik Bibah, pelajaranlah yang mampu mengubah nasib dia dan Mazni. Ibu tua itu mahu melihat Mazni mencapai cita-cita untuk menjadi doktor perubatan. Janji Mazni bahawa dia tetap akan mencapai cita-cita, tekad untuk menghadiri sekolah malam demi menduduki peperiksaan STP membuatkan Cik Bibah merestui keputusan Mazni.


Encik Haris dan Cik Rohana sememangnya sudah banyak menabur budi kepada Mazni dan Cik Bibah. Membina sebuah rumah kecil untuk didiami Mazni dan Cik Bibah yang sudah uzur sebagai mengenang budi wanita tua itu berkhidmat sebagai tukang masak di rumah mereka. Menyara makan dan minum mereka berdua. Mazni tidak sanggup terus memohon bantuan Encik Haris lagi. Walau bagaimanapun, Encik Haris yang mendapat tahu keputusan Mazni telah meminta bantuan rakan di Bank Bumiputera yang baru dibina dan memberi posisi kerani kepada Mazni.


Perhubungan antara Mazni dengann Zaki (Siswa Universiti Singapura) yang sangat idealis pemikirannya sentiasa memberi kekuatan kepada Mazni untuk tidak lupa akan cita-cita yang disimpannya. Dengan gigih menghadiri kelas malam serta bekerja bagi menyara hidup Cik Bibah, kehidupan Mazni mula ditimpa ujian lain apabila Karim, anak bongsu Encik Haris dan Cik Rohana yang mempunyai kehidupan bebas jatuh cinta pada ketulusan hati Mazni.


Kehadiran Mazni yang tidak pernah dipedulikan di dalam rumahnya itu akhirnya telah disedari apabila Mazni yang setia menemaninya ketika Karim kemalangan. Rasa kasih yang membuak-buak menyebabkan Karim tekad menyunting Mazni untuk menjadi teman hidupnya yang halal dan sah. Meskipun mendapat caci maki daripada Cik Rohana yang enggan bermenantukan Mazni (anak orang gaji) akhirnya perkahwinan mereka dilangsungkan juga lima bulan sebelum Mazni menghadapi peperiksaan STP.


Zaki yang memendam cinta kepada Mazni sekian lama kecewa namun Mazni tegas bahawa nasib manusia itu tidak sama. Dia telah banyak terhutang budi dengan keluaga Encik Haris dan tidak sanggup menghampakan orang banyak berbudi kepada dia dan Cik Bibah. Perkahwinan yang penuh rintangan dengan pelbagai fitnah sehingga meragut nyawa Cik Bibah itu hanya bertahan bahagia sebelum Karim mengambil keputusan keluar dari rumah Encik Haris dan Cik Rohana lantaran tekanan yang diberikan Cik Rohana yang sering dipengaruhi Cik Mahani (jiran yang mencemburui Mazni).


Silapnya Mazni apabila dia terlalu fokus kepada pelajaran dan peperiksaan yang terlalu hampir dan memberi kepercayaan penuh kepada Karim untuk mencari hiburan bersama rakan-rakannya. Malangnya, kepercayaan itu disalah guna Karim dan tabiat lamanya kembali semula. Pergaduhan besar antara Mazni dan Karim menyebabkan Mazni dimasukkan ke hospital dan Karim pula kemalangan hingga meragut nyawanya. Mazni sendirian lagi. Hidup sebatang kara tanpa ada saudara mara. Cinta yang cuba dihulurkan Zaki ditolak dan Tanjung Puteri ditinggalkan bagi melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur.


Badai Semalam bagi saya menampilkan kekuatan seorang wanita yang tidak terlalu ideal sifat dan pemikirannya namun mempunyai ketegasan dan ketinggian cita-cita untuk membebaskan diri daripada belenggu fikir konvensi masyarakat ketika itu iaitu "tempat wanita hanya di dapur, apa guna belajar setinggi mungkin dan sebagainya". Malah, pemikiran pengarang ini bukan sekadar disampaikan melalui watak Mazni sebaliknya disuguhkan dengan pendirian Cik Bibah yang sudah tua namun mempunyai keinginan untuk melihat Mazni menjadi wanita yang berjaya dalam pendidikan, kerjaya dan kehidupannya.


Melihat pada latar karya ini dihasilkan iaitu pada akhir tahun 1960-an yang ketika itu pendidikan terhadap wanita masih perkara yang tidak penting untuk dibicarakan, Badai Semalam tampil dengan watak wanita kental jiwa dan tahu erti hidup berdiri atas kaki sendiri, mengurangkan pergantungan terhadap bantuan orang lain dan memandang tinggi pendidikan serta kejayaan hidup berkerjaya. Hal ini saya kesan jelas sepanjang cerita mengenai cita-cita Mazni seperti berikut :


"Nampaknya tak ada jalan lain untuk kita mengadu hal! Mak ... kita harus berdiri sendiri sekarang. Jangan terlalu mengharapkan bantuan orang sekarang. Dunia sekarang bukan dunia simpati yang mewah. Manusia sekarang punya masalah-masalahnya yang tersendiri. Masing-masing mahu memperbaiki nasib masing-masing. Kita juga terpaksa berdiri sendiri, cuba menyelesaikan soal hidup kita sendiri ..." terang Mazni berani. Pendapatnya memang benar, fikir ibu tua itu, Dunia sekarang terlalu mementingkan diri sendiri. Orang lain belakang kira. Dia sakit. Dia tersepit. Dia terdesak. Dia sengsara. Itu bukal soal yang perlu difikirkan oleh masyarakat manusia di zaman atom ini. Zaman manusia naik ke bulan. Zaman manusia mengejar seribu kemajuan dan kebahagiaan. Memang benar, manusia harus melengkapkan diri sendiri dengan sejuta kemewahan dalam hidup ini sebelum memandang keliling. (1968:29)


Mengapa saya katakan watak Mazni kental jiwa namun tidak cukup ideal? Saya melihat Mazni dan menghormati Mazni dalam pendirian dan ketegasannya mencapai cita-cita. Keutamaannya melihat pelajaran sebagai aspek penting dalam kehidupan. Akan tetapi di sebalik keyakinan dan kekuatan untuk maju dan mengubah nasib keluarga itu, Mazni mempunyai pendirian yang rapuh apabila melibatkan soal cinta dan manusia di sekitarnya. Ya, Mazni menerima Karim bukan kerana cinta semata-mata, sebaliknya juga untuk membalas jasa Encik Haris. Mazni tidak sanggup melukakan hati manusia yang banyak membantu hidup dia dan ibunya. Namun demikian, Mazni lupa bahawa keputusan mengenai hal rumah tangga bukan perkara remeh. Mazni hanya memikirkan perasaan orang lain sedangkan tidak melihat atau membuat jangkaan pada masa depan.


Walau bagaimanapun, olahan watak Mazni ini menarik bagi saya kerana Khadijah Hashim menampilkan watak Mazni sebagai watak manusia yang tidak sempurna. Mempunyai hitam dan putih. Ada kekuatan pada aspek ini. Ada kelemahan pada aspek berikutnya. Dalam masa yang sama, saya juga sangat gembira melihat dan menikmati gaya bahasa yang digunakan penulis ini. Penggayaan bahasanya puitis tetapi bersederhana. Karya ini bukan sahaja menarik untuk dikaji dari aspek psikologi, budaya malah juga penggunaan stilististik di dalamnya. Badai Semalam, karya merentas zaman!

Kamis, 25 Agustus 2011

RAKAMAN KEHIDUPAN DALAM SEROJA MASIH DI KOLAM

APABILA berbicara tentang buku, selain menikmati pengalaman di dalam karya yang ditulis oleh pengarang, saya juga akan berbicara tentang rasa. Bagi saya, rasa juga penting dalam meneliti kesan pengalaman terhadap pembacaan. Walaupun kata rasa sering dikaitkan dengan emosi, bagi saya rasa terhadap sesebuah pembacaan berkait rapat dengan latar pendidikan, pengalaman, kebudayaan dan sebagainya. Bukan sekadar rasa biasa. "Best" atau tidak "best" sesebuah karya.


Saya sering kali mendengar khabar tentang novel Seroja Masih di Kolam yang begitu feminis sifatnya, yang begitu mengangkat tema wanita di dalamnya. Akan tetapi, saya melihat dan berasa sebaliknya sepanjang membaca dan usai membaca naskhah tulisan Adibah Amin berkenaan. Bagi saya, kekuatan wanita di dalam karya ini hambar. Watak utama iaitu Nur Diana dari awal hingga akhir cerita banyak bermain dengan perasaan dan fikiran-fikiran yang tidak stabil. Watak Latifah sebagai 'player' pula akhirnya mendapat natijah atas sikapnya sendiri. Manakala, Che' Eton iaitu ibu kepada Diana ialah wanita stereotaip yang sibuk dengan kecantikan, kemegahan dan penuh kemodenan.


Secara peribadi, saya melihat karya ini lebih menjurus aspek sosiobudaya masyarakat Melayu akhir dekad 1960-an. Novel ini mengisahkan kehidupan keluarga Che' Jalal bersama isterinya iaitu Che' Eton dan anak tunggalnya bernama Nur Diana. Che' Jalal ialah pegawai tinggi di Rumah Persekutuan. Watak ini sering dibumbui rasa rendah diri, tertekan dengan cabaran dan sindiran yang dibawa oleh Amdin.


Meskipun telah lama berkhidmat, Che' Jalal gagal mendapat perhatian ketua tinggi di jabatannya malah sering diperlekehkan Amdin yang muda belia. Dalam masa yang sama, gejolak hidup rumah tangganya dengan Che' Eton yang mempunyai sikap tertentu menyebabkan Che' Jalal mencari perhatian di luar rumah melalui watak Latifah.




Sementara itu, kisah ini juga memaparkan perbezaan darjat yang ketara dan gaya hidup masyarakat zaman itu. Dalam hal ini, Che' Eton ialah gambaran masyarakat berkedudukan yang memandang sinis terhadap golongan bawahan yang ditandakan oleh Hayati dan Ridhwan. Meskipun mempunyai ibu yang suka mendatangkan masalah dengan berkelakuan sombong terhadap Hayati, Nur Diana sebaliknya mempunyai peribadi yang lebih tulus. Tidak melihat kepada perbezaan darjat, Nur Diana yang lebih akrab dan senang dengan sikap ayahnya lebih mudah berkawan dengan Hayati dan senang dengan Ridhwan.


Namun demikian, pengkisahan terhadap Diana memperlihatkan kebuntuan dan dilema yang dilaluinya. Diana rapuh jiwa. Itu yang boleh saya tegaskan pada watak Diana melalui pembacaan saya. Diana tahu peribadi sebenar Rusli melalui teman-temannya. Dia tahu betapa kaki perempuan teman lelakinya itu. Akan tetapi, Diana masih lagi memberi ruang dan kepercayaan tidak berbelah bahagi setiap kali Rusli memberikan penjelasan (penipuan demi penipuan). Setelah gagal teruk dalam peperiksaan, Diana bersemangat untuk menduduki HSC atas dorongan Ridhwan.


Diana bermain dengan perasaannya sendiri. Di hatinya ada Rusli namun di fikirnya selalu ada Ridhwan. Diana tahu antara Rusli dan Ridhwan yang lebih baik lakunya ialah Ridhwan. Diana tahu bahawa yang lebih sesuai dijadikan imam untuknya ialah Ridhwan namun Diana tetap gagal membuat keputusan. Selain itu, pengarang juga menggambarkan Diana sebagai seorang wanita yang 'tidak berperasaan'. Sebagai seorang yang berpendidikan Inggeris, anak orang berdarjat, Diana seolah-olah 'kosong fikir' dan 'tunarasa'. Hal inilah yang membuatkan Rusli berang selalu akan teman wanita yang dianggapnya sebagai tidak berperasaan. Apakah kewajarannya Diana yang mempunyai pergaulan luas itu dijadikan sebagai 'tidak berperasaan' begitu? Apakah untuk memperlihatkan kenaifan Diana?


Meskipun pada akhir cerita akhirnya penulis menggambarkan Diana membuat keputusan untuk memilih Ridhwan namun perjalanan itu terlalu panjang sedangkan sepanjang cerita perwatakan Diana konsisten dengan 'kenaifannya'. Bagi saya, watak yang lebih menarik dalam cerita ini ialah Che' Jalal. Saya dapat melihat Che' Jalal yang berang dengan sikap Che' Eton, ditekan dengan pandangan negatif majikan dan jabatan terhadap dirinya, digoda dan tergoda dengan kewanitaan Latifah namun pada akhirnya Che' Jalal sedar bahawa Che' Eton itulah isteri yang telah lama berkongsi hidup dan nafas dengannya. Kesedaran ini membuatkan Che' Jalal kembali memaafkan kesalahan isterinya sendiri.


Namun demikian, Seroja Masih di Kolam tetap mempunyai aspirasi tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui watak Ridhwan sebagai pejuang bahasa dan dramatis yang kuat dalam melebarkan pemikiran bahawa Melayu perlu sedar akan kedudukannya dan tidak terus terjajah mindanya.


Saya percaya, rasa tidak senang saya terhadap karya ini muncul kerana khabar-khabar yang saya dengar tentang feminisnya karya ini. Saya sebagai pembaca alaf 21 pada usia semasa ini mempunyai latar pendidikan, pengalaman dan kebudayaan yang berbeza dengan pembaca pada latar novel ini dihasilkan. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Adibah Amin kerana sedikit-sebanyak naskhah ini menjadi perakam zaman yang memberi bantuan kepada saya untuk memahami kehidupan masyarakat jauh dari zaman saya sekarang.