Sabtu, 27 Oktober 2012

PANGLIMA AWANG DAN TAM TAM

BEBERAPA HARI yang lalu, saya teringat berasa rindu akan Panglima Awang yang masih kecil. Beberapa minggu yang lalu juga, saya sempat menonton Majalah 3. Fokusnya mengenai anak beruang yang kematian ibu di Hutan Belum. Anak beruang itu tidak boleh dilepaskan ke hutan dan memerlukan penjagaan daripada manusia seumur hidupnya. Kenapa? Kerana anak beruang itu telah kematian ibunya sejak dia dilahirkan. Oleh yang demikian, dia tidak dapat menikmati hidup sebagai anak beruang. Menurut sukarelawan dan penjaga anak beruang itu, anak beruang itu tidak dapat pesanan daripada ibunya mengenai cara hidup di hutan dan dibesarkan oleh ibu beruang. Oleh itu, anak beruang tersebut menghadapi masalah untuk membiasakan diri di hutan. Malah, anak beruang itu juga menghadapi masalah psikologi.

Ya, masalah psikologi. Saya langsung teringat akan kucing saya, Panglima Awang yang saya ambil dari sebatang longkang ketika umurnya satu bulan. Ketika itu, telinga dia pun belum naik lagi. Mungkin dia ditinggalkan ibunya. Saya menjaga dia bagai menatang minyak yang penuh. Mac 2009, itulah masa saya dipertemukan dengan dia. Kenapa saya memberi nama Panglima Awang kepada dia? Saya memberi nama itu sempena nama Panglima Awang atau Enrique dalam novel Panglima Awang karangan Harun Aminurrashid. Bulu Awang yang gelap mengingatkan saya pada watak itu.

Panglima Awang semasa kecil. Wajah selepas dia dikejutkan untuk diberi susu.
Setelah menonton Majalah 3 itu, baru saya sedar perkara yang berlaku pada diri Awang. Ada persamaan dengan anak beruang di Hutan Belum itu. Disebabkan Awang tidak dibesarkan oleh ibunya sendiri, maka Awang menjadi kucing yang amat pasif dan introvert. Awang tidak senang malah tidak pernah bermain dengan kucing-kucing saya yang lain. Awang tidak pernah dijilat bulunya oleh kucing-kucing yang lain jadi dia tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengan kucing lain menerusi cara menjilat bulu kucing lain. Dia sukar untuk didekati dan lebih selesa duduk sendirian di satu-satu tempat.

Awang juga cepat melatah apabila mendengar pergaduhan kucing lain dan dia berusaha untuk meleraikan pergaduhan itu (sebenarnya membuatkan pergaduhan jadi lebih besar). Namun, Awang sangat berdisiplin. Setelah dua tahun membesarkan Awang, saya memang rindu saat Awang masih kecil. Saat dia perlu disusukan, perlu dibangunkan agar dia menyusu. 

Membesar dengan susu formula semata-mata
Sehari selepas rindu itu datang, ada pula seekor anak kucing sebesar Awang dua tahun lalu di laman rumah ketika saya pulang dari kuliah. Saya pasti, ada seseorang yang meletakkan anak kucing itu di laman rumah memandangkan tubuhnya yang mantap dan bersih. Saya menyambut kehadiran anak kucing itu dengan gembira. Mungkin rezeki dan takdir untuk kucing yang saya panggil Tam Tam itu untuk berlindung dan berkongsi hidup di rumah saya. Setelah dua hari dibuli oleh Aduka dan Sofi, Tam Tam akhirnya kini sudah berbaik dan dapat hidup bersama Aduka, Sofi, Jebat, Abi, Omi kecuali Awang (lebih gemar melihat dari jauh saja).

Berbeza dengan Awang dahulu yang perlu disusukan, Tam Tam pandai minum susu dari dalam mangkuk sendiri. Tentu Tam Tam sudah biasa minum susu begitu sebelum ini, Semoga Tam Tam akan sihat dan membesar seperti Panglima Awang.


Ketika berusia tiga bulan.

Diperiksa oleh Dr. Tan untuk vaksin pertama.

Awang main sendiri-sendiri.

Wajah terkini Panglima Awang.
Aduka, Jebat, Sofi dan Tam Tam

Tam Tam iras Panglima Awang
Jebat mengajar Tam Tam cara naik dan turun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar