MALAM tadi, saya tiba di rumah pada jam sembilan. Hujan turun agak lebat di Serdang. Saya menunggang motosikal dengan sangat berhati-hati. Kalau dahulu, hati-hati saya itu menjadi-jadi kerana adanya arwah emak yang setia menunggu kepulangan saya. Arwah emak selalu berpesan agar saya berhati-hati menunggang motosikal. Apabila emak saya maklumkan mengenai rancangan untuk menyambung pengajian, yang utama menjadi kebimbangan emak ialah keselamatan saya semasa menunggang dengan jarak perjalanan yang jauh daripada kebiasaan. Setiap kali saya keluar, saya berdoa agar saya akan selamat kembali ke rumah kerana saya ada emak yang memerlukan penjagaan dan perhatian daripada saya. Saya ada emak yang memerlukan saya.
Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam |
Apabila emak pergi pada tanggal 19 Mei 2012 lalu. Rasa hati-hati itu semakin menjadi-jadi. Pesanan demi pesanan emak jelas di halwa telinga. Pesan emak, "semasa menunggang jangan menyanyi. Zikir banyak-banyak, kalau ajal datang semasa menunggang, tidaklah mati dalam keadaan menyanyi, sebaliknya dalam keadaan lidah dan hati menyebut nama Dia". Setiap kali saya teringat akan pesan emak, saya akan segera memperlahankan kelajuan. Sungguhpun emak sudah tiada menanti kepulangan saya. Walaupun emak tidak lagi acap kali menghantar sistem pesanan ringkas atau, berkali-kali menelefon saya dan bertanya, "Bila balik, dik?". Hakikatnya saya ada emak yang sentiasa menunggu doa daripada saya, anaknya. Yang terpisah antara saya dan emak hanyalah jasad kami. Namun, hubungan anak dan emak itu tetap ada. Saya ada emak yang menunggu doa untuknya. Saya perlu selalu ingat akan hal ini.

Sudah lama saya mahu menulis perihal ini. Sudut pandang penunggang motosikal yang berhemah terhadap gejala pemandu kenderaan beroda lebih daripada empat yang sukar menukar lorong tanpa memberi isyarat. Mungkin perkara ini tampak kecil bagi orang lain namun tidak pada saya. Jangan bertanya sebab penunggang motosikal memilih kenderaan roda dua itu sebagai pilihan, setiap individu ada sebabnya. Cuma, beringatlah bahawa penunggang-penunggang itu juga ada keluarga yang mengharapkan mereka, ada ibu yang menanti kepulangan mereka dengan selamat. Janganlah memandang semua penunggang motosikal dengan label ''samseng jalan raya' yang selalu mencari masalah dan melanggar peraturan jalan raya.
![]() |
Jie Jie, Teja dan Boboy menunggu kepulangan saya |
Semoga kita menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan tahu menghargai setiap nyawa yang Allah ciptakan di dunia ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar