Tampilkan postingan dengan label Baka Ayam Serama. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Baka Ayam Serama. Tampilkan semua postingan

Selasa, 20 Agustus 2013

Baka sebagai satu jenama....

Assalam buat semua sahabat serama...
Salam lebaran..dan salam syawal yang mulia.

Selepas raya nie, ada beberapa bon besar yang akan dilangsungkan. Yang pasti Bon Jertih hujung minggu ini dan Bon Kenyir kalau tak salah sekitar 21hb Sept nanti akan menjadi perhatian dan tumpuan semua peminat tegar ayam serama (termasuk saya).

Untuk bon ini, saya memang tak dapat nak ke sana lantaran urusan perniagaan yang susah nak dilepaskan. Insya Allah, di kemudian hari mungkin ada masa yang lebih sesuai untuk saya berjalan jalan sambil berjumpa kawan-kawan yang sama minat dan hobi ini.

Okay...untuk kali ini saya nak berkongsi sedikit ulasan. Ada ramai sahabat yang bertanya tentang baka atau susur galur ayam serama. Terutama semasa saya online di FB atau yang datang ke reban saya di Telok Mas.

Saya melihat baka ayam serama ini ibarat satu JENAMA dalam bidang ini. Bila kita sebut satu-satu baka akan ada peminatnya atau pengikutnya dan akan ada identiti yang menjadikan jenama itu terkenal dan dikenali dikalangan peminat ayam serama. Katakan kita sebuat baka A, maka akan terbayang-bayanglah bentuk dan rupa ayam baka A tersebut. Kebanyakan jenama (baca: BAKA) ini terkenal mungkin disebabkan kekerapan baka tersebut memenangi pertandingan, kemantapan aksesori dan gaya atau disebabkan 'marketing' yang baik oleh pemainnya.

Sama macam pelbagai produk barangan yang kita gunakan di dalam kehidupan kita setiap hari...kita membeli kadang kala disebabkan oleh pengaruh 'marketing' yang berjalan dengan baik oleh penggunanya dan ada kala disebabkan kekuatan jenama barangan tersebut. Tetapi ada juga JENAMA yang tidak terkenal tetapi diketahui mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Atau kurangnya 'exposure' oleh pengeluar barang tersebut itu sendiri. Jadi kita sebagai pengguna perlu bijak menilai dan meneliti sebelum membuat keputusan semasa membeli.

Sama situasinya dalam pembelaan ayam serama. Bila ada yang tanya saya baka yang saya gunakan, saya sebut nama orangnya, kebanyakannya tidak akan tahu kerana ada JENAMA yang tidak terkenal dan diketahui. Tetapi ia tetap satu JENAMA kerana produknya telah dikeluarkan 10 ke 15 tahun yang lepas. Dan hasil rebannya selalu dicari oleh peminat-peminatnya yang tersendiri. Cuma kurangnya marketing yang baik atau ada yang me-rebrandkan semua JENAMA tersebut selepas membeli menyebabkan bakanya tidak jadi sebutan.

Untuk membina JENAMA dalam ayam serama ini pun perlukan kaedah yang sama digunakan dalam marketing produk biasa di pasaran. Perlu kerap membuat promosi dan mendapatkan testimoni yang baik dari pengguna. (Dalam serama, perlu kerap keluar ke pertandingan dan dapatkan kedudukan yang baik-ranking- dalam pertandingan tersebut)

Jadi, nasihat saya....jangan mudah keliru dengan populariti sesuatu jenama kerana yang paling penting, kita kena kenal jenama yang ada dan dalam masa yang sama , sila lihat jenama yang tidak sangat ke depan di pasaran kerana bukan semua BAKA mempunyai nama, ada BAKA yang memang tidak mempunyai JENAMAnya. Cuma ia dikenali dengan nama pemternaknya sahaja..
(TIPS: Apabila seseorang breeder sudah menternak dalam tempuh yang panjang dengan menggunakan baka-baka yang terpilih dan kawalan kacukan, selalunya kestabilan genetik akan terbentuk dan akan terhasil indentiti ayam serama di reban mereka. Ini sebenarnya juga ibarat satu BAKA cuma ia tidak diberi nama)

Dan selalu kena tahu apa yang kita inginkan kerana setiap JENAMA mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.....

Antara anak reban yang nampak cutting...







Minggu, 23 Juni 2013

Baka apa nak guna?

Umbai Jr 
"Baka apa yang abang guna ye...?"
Semenjak saya membangunkan blog ini hampir 2 tahun yang lepas, ayat di atas adalah antara soalan atau pertanyaan yang paling kerap saya terima baik melalui sms, telepon ataupun chat di FB.

"Abang main baka apa bang...?"

Selalunya Stm akan jawap yang Stm guna baka x, baka y dan baka z kat reban Stm. Kebanyakannya bukan ori atau pure. Maksudnya bukan pure darah baka x. Memang kebanyakannya pembaka dan induk teras yang Stm guna merupakan hasil cross atau kata-mudahnya baka yang sudah diadun atau diproses dari beberapa jenis baka pure yang sudah terkenal atau dikenali di kalangan peminat ayam serama. (Kat reban Stm hanya ada 2 baka pure iaitu satu pembaka Sami Gila dari reban Nuar Dungun (anak saudara Lie Daging) dan pembaka Tok Uban dari reban Khaidir adik kepada Syawal Tok Uban). Yang selebihnya merupakan serama hasil cross antara baka-baka tertentu dari reban breeder tertentu yang telah Stm amati beberapa ciri-ciri yang tertentu dan hasil yang Stm minati. (sebab itu hampir kebanyakan pembaka teras di reban datang dari hanya 2-3 breeder sahaja)

Memilih serama dari reban breeder tertentu amat penting
Walaupun Stm akui bahawa di dalam breeding, penentuan baka adalah penting, Stm masih menganggap ada satu lagi faktor lebih penting semasa menentukan baka atau bloodline yang akan disimpan di reban Stm. Selalunya Stm akan memilih ayam dari REBAN orang yang sudah Stm kenalpasti dari beberapa sudut yang penting dalam penghasilan ayam serama.

Kalau setakat hendak mencari baka, rasanya hampir kebanyakan peminat serama di Malaysia ada menyimpan paling kurang 1-2 jenis baka yang popular sekarang ini. Cuba ziarah reban kawan-kawan kita, setakat submerin, Tok Uban, Husin, Limbat dan baru baru ini baka Sami Gila juga semakin mudah di-claim ada di reban mereka. Tetapi kita terpaksa akui , kebanyakkan ayam-ayam juara dan berkualiti pertandingan masih datang dari reban penternak atau breeder yang tertentu atau penternak yang mengamalkan "breeding terkawal/terpilih".(tak tahu Stm macam mana nak menerangkan maksudnya secara jelas, datang reban baru boleh cerita panjang)

Kreadibiliti, Kejujuran, Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang penternak/breeder serama akan memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana kualiti dan hasil yang akan keluar dari reban mereka.

Baka berdarah Juara
Stm bukan menidakkan tentang pentingnya baka dalam memilih ayam serama tetapi kalau mahu membuat perbandingan anatara satu-satu baka, Stm berpendapat hampir semua baka yang terkenal adalah baka yang berkualiti dan berdarah juara. Mustahil satu-satu baka itu popular/terkenal tanpa pernah menggegar meja-meja pertandingan di bon yang disertai oleh ayam tersebut.

Jadi, jika mahu dikatakan baka  itu lebih baik dan lebih hebat dari baka yang lain adalah satu pekara yang agak subjektif. Cuma, ada sesetengah baka yang terkenal semakin kurang popular kerana ciri dan aksesori yang dimiliki oleh baka tersebut perlu di-upgrade seiring dengan perkembangan kecantikan ayam serama yang turut berubah mengikut evolusi masa dan citarasa peminatnya.

Betina dara dari bloodline sama dengan  Umbai Jr
Justeru, adalah lebih baik selain dari baka yang ditanya, turut juga perlu diketahui adalah dari reban siapakah/manakah asal baka atau ayam tersebut. Ini kerana kualiti ayam yang disebut akan lebih bagus jika ia datang dari seorang breeder yang mempunyai ilmu, kreadibiliti dan memahami apakah yang dikatakan ayam serama yang berkualiti pertandingan di mata peminat-peminat ayam serama.

Tidak hairan, baka-baka tertentu yang agak terkenal tetap dicari dari reban otai-otai yang diketahui mempunyai baka tersebut berbanding dari peminat yang tidak dikenali kreadibilitinya. Cuba tanya player atau pemain ayam yang berkualiti pertandingan, kebanyakkannya mencari peluru mereka hanya dari breeder yang tertentu walaupun sseorang player sebenarnya tidak perlu menentukan baka di dalam pertandingan, kerana mereka hanya perlu menentukan kecantikan ayam serama tersebut. Tetapi atas dasar kepercayaan dan kualiti yang terkawal dijalankan di reban breeder tersebut, maka hasil reban breeder tersebut selalu jadi rebutan dan pilihan dari peminat ayam serama.

NOTA: 
Ini hanya pandangan peribadi penulis. Salah atau betul hanya sekadar persepsi peribadi.


Kamis, 01 November 2012

dari reban STM.....layan sahaja

Sekarang ini memang STM fokus pada 'breeding'. Kalau ada 'bare' sesuai, STM akan daftar masuk bon, kalau tidak ada 'bare', STM support cara lain-lah supaya bon jadi lebih meriah sedikit.

Walaupun citarasa STM agak cenderung pada warna dan jenis serama yang pelbagai, akhirnya STM terpaksa akur menumpukan 'breed' di reban pada warna ara dan kuning sahaja. Ini bersesuai dengan buget, masa dan kualiti pembaka dan induk yang mampu dikumpulkan. Kalau besar range warna yang nak STM breed di reban, sudah tentu ia memerlukan banyak pembaka dan induk yang perlu dipasangkan. Jadi lebih besarlah ongkosnya nanti...hahahaha

So, work smart better then work harder. Kata orang puteh tue..hehehe

Bagi pembaka kuning. STM guna 3-4 ekor pembaka yang ada bloodline yang dekat ciri-ciri aksesori yang menarik (turun ke anak ke tidak...walllahu alam). Tapi induk masih belum cukup. Maka, anak-anak betina di reban STM mungkin simpan buat pelapis sahaja.

Di bawah ini adalah sedikit informasi yang STM dapat update buat pembaca blog ini.  Ada 3 ekor lagi induk yang sedang mengeram di reban. Ada rezeki, terima kasih Alhamdulillah.

Tidak lupa juga, ada 2-3 kawan yang sudi singgah dan bersilaturrahim di Telok Mas. Almaklumlah, orang baru macam STM nie apa sangat yang STM mampu kongsikan. Takat dengar cerita basa basi bolehlah. Lainlah macam kawan-kawan lain yang sudah lama 'berserama' dan berpengalaman luas soal 'breeding dan juga masuk bertanding.

Bagaimanapun STM ucapkan terima kasih yang datang berkunjung, semoga perkenalan ini menjadi persaudaraan yang bermanfaat buat kita semua...Insya Allah.

Bapak pembaka teras STM- Sri Ibol
Tengok pada balung ada ciri tok uban dan kelopak muka sedikit keputihan.
Bapak ini bulu dia kemas tetapi kaki ada problem sikit
sebab tue dia jadi pembaka sahaja...
Janji masalah kaki tidak diwarisi pada genetik

Sri Ibol dari shot yang berlainan

Ini anak-anak Sri Ibol. Macam ada ara sekor. Kemungkinan mewarisi
genetik Tok Uban


Seekor lagi anak jantan nak masuk B... masih cacang
Tak pe...sabau aje

Remaja yang dah senget.....apa nak buat..?
Simpan aje lah boh..

Nak masuk muda...tapi mungkin kena pindah geran

Selasa, 23 Oktober 2012

Bagaimana menghasilkan serama yang cantik bergaya...?

Inilah persoalan yang banyak bermain di dalam fikiran seseorang peminat kesenian dan kecantikan ayam serama. Baik ia untuk peminat yang baru..mahu pun juga bagi peminat yang sudah lama berkecimpung di dalam arena ini.

Menternak serama memang mudah. Dengan reban yang sederhana kecil dan kos pemakanan yang rendah, kita sudah boleh memulakan proses menternak ayam serama. Tetapi menghasilkan ayam serama yang cantik dan juga bergaya memang MENCABAR. 

Tidak seperti unggas lain seperti burung dan juga jenis ayam yang lain, serama mempunyai 'skill' menternak yang lebih teliti. Menggunakan pembaka dan induk berbeza akan menghasilkan bukan sahaja warna, bulu, bentuk tubuh-'cutting' yang berbeza, tetapi perangai dan gayanya juga akan berbeza. Maka pilihan kombinasi pembaka dan induk yang tepat adalah sangat penting di dalam langkah utama untuk menghasilkan ayam serama seperti yang diidam-idamkan.

Kerana itu soalan-soalan seperti 'jenis baka, bloodline, susur galur, cutting dan sebagainya sememang popular di kalangan peminat ayam serama. Kerana di situlah, proses pertama dalam menghasilkan ayam serama akan bermula.

Sebenarnya, jenis baka atau bloodline HANYAlah sekadar satu JENAMA di dalam dunia serama. Ia  adalah NAMA yang digunakan untuk menerangkan ciri-ciri yang dimiliki oleh JENAMA ayam serama tersebut. Apabila kita menyebut nama baka itu, akan terbayanglah ciri-ciri yang dimiliki oleh JENAMA baka tersebut.

Jika mahu dipermudahkan, bayangkan kita menyebut nama JENAMA sebuah kereta. Kita sudah terbayangkan ciri, bentuk dan aksesori yang dimiliki oleh JENAMA kereta tersebut. Begitu juga bagi ayam serama, bila menyebut BAKA A, ia sebenarnya mewakili ciri-ciri yang dimiliki oleh ayam serama yang berjenama A tersbeut.

Bagi sebuah nama baka atau bloodline, ia patut mempunyai kestabilan genetik ciri-ciri yang mewakili nama bloodline-nya.  Contohnya, baka jenis A sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang jelas seperti warna bulu, jenis balung, bentuk tubuh (cutting), bentuk perangai dan gaya dan sebagainya.. Itu barulah satu bloodline yang mampu membantu di dalam proses breeding. Ada bloodline memang selalu di sebut tetapi ciri-ciri bakanya susah dikenalpasti dan tidak stabil. Kerana itulah hanya terdapat beberapa jenis baka atau bloodline sahaja yang agak sustain (terus) di sebut oleh peminat serama. Ini kerana ciri-ciri yang dimiliki oleh pembaka tersebut agak jelas dan diwarisi semula oleh keturunannya berbanding dengan bloodline yang tidak stabil genetik cirinya.

Kalau kita lihat di dalam dunia ayam serama ini, kita akan dapati ramai peminat yang menyebut baka itu dan baka ini. Dia punya bloodline ini dan itu. Malangnya jika di tanya, apa ciri-ciri yang ada pada ayam itu yang dikatakan dia baka tersebut..? dia pun melopong tidak tahu ciri yang ada pada ayam tersebut.

Kerana itulah proses ternak atau 'breeding' di dalam serama memang mencabar. Tetapi itulah yang menjadikan ia lebih menarik terutama bagi seseorang yang minat dengan cabaran.

Bloodline Submerin : Ciri dada besar, bulu kuning keemasan dan  cutting  yang agak tinggi.
Susunan ekor juga menarik (aksesori yang mantap)
Balung cirinya mungkin perlu diperbaiki sekarang
-sebahagian ciri sahaja -
(Sumber : Blog Parit Buntar)

Submerin. Ciri yang hampir sama dengan di atas. Ayam lebih halus sahaja
(Sumber : Blog Serama Jalan Day)

Baka Lang : Ciri-ciri : Warna ara, kaki dan paruh kuning, dada besar dan bulu berkilat.
Makin tua akan muncul bulu-bulu warna coklet  (Maaf Cik Man jika salah)

Sami G : Bulu kemas dan rapat. Warna Kuning dgn kelopak mata keputihan. Muka garang. Ekor tersusun rapi
Dada besar. kaki hijau..Balung mantap (kecil), Cutting : Tinggi sederhana. Gaya lonjak dada
(Gambar Sami Gila asal yang pertama kali menang BOTB Bon Titiwangsa Tahun 2010)

Cuba tengok Sami Gila yang baru sahaja diambil gambar oleh Rosli Anak Johor (Okt 2012)
Sama sahaja ciri aksesorinya. Cuma Balung semakin halus heheheh
(bandingkan dengan gambar tahun 2010. Hampir sama)
Tok Uban. Warna Ara, balung tanduk rusa, Ekor tersusun kemas, cutting agak tinggi.
Dada keputihan semasa kecil tetapi akan hilang apa bila matang. Makin tua makin selam...
PS : Ini HANYA berdasarkan permehatian penulis. Jika ada sebarang kekeliruan atau percanggahan, ia hanyalah sekadar pandangan peribadai penulis yang masih lagi belajar memahami ayam serama

Senin, 22 Oktober 2012

Muka putih...

Semalam STM ada upload 3 ekor bakal induk reban yang ada ciri-ciri putih dekat mukanya. Hari ini STM kongsikan pula 2 ekor jantan yang mempunyai ciri yang sama di mukanya.

Tak tahu macam mana jadi ayam nie. Tunggu je lah. 

Ini pembaka bloodline Tok Uban yang setia di reban STM (ekor tengah meluruh).  Insya Allah
ada masa, STM upload gambar induk-induk pure dari bloodline ibu tempang Tok Uban Syawal... 

Senin, 17 September 2012

Silaturrahim ke Dungun (Part II)

Majid Besi Buruk

Majid Besi Buruk- sempoi. Gaya 'Abg Ramli Sarip'
Selepas pekena sarapan pagi di warong power batu 48, terus sahaja kami singgah ke rumah salah seorang penternak serama yang terkenal di kalangan peminat unggas unik ini. Orangnya yang 'cool', straight forward, suka berlawak dan muda berkomunikasi menyebabkan kita mudah mesra dengannya. Saudara Majid yang terkenal dengan serama baka Besi Buruk.

Selain dari Taman Serama Park di Melaka, reban milik Pok Jid inilah setakat ini yang STM jumpa yang membela ayam serama yang sangat banyak...naik pening juga STM tengok. Semasa berbual panjang dengan beliau, Pok Jid sendiri mengakui hampir kesemua pembakanya 'wajip' mempunyai darah besi buruk....terbaikkkk.

pembaka yang cantik..

Di dapur rumah...

Lagi di satu ruang yang lain...

Ada kuning juga....hehehe
Kubing tu.....

Lagi Besi Buruk

Barang koleksi nie...

Borak serama....

Pembaka berbisa
Peluru selam...

Tue dia...sahabat STM ni. Bawa baik Melaka ke boh?
Selepas ini ......

Pembaka Teras di Reban Pok Suri.....

Senin, 03 September 2012

Serama dan Gaya

"Siapalah serama TANPA dada yang mengiurkan..."


Sang Serama yang BERGAYA ibarat seorang "Bodybuilder' yang sedang memperagakan kecantikan dan kemantapan otot dan bentuk tubuhnya dengan GAYA yang tersendiri dan memikat hati penonton (pengadil)......

Salah seekor serama yang bertanding semalam

Aksi bon semalam

Milik Otai Shuib

Aksi semalam juga...

BOTB Bon Melaka Dec 2011- Aksinya memang SUPERB!

BOTB semalam...lonjak sokmo

Milik Abang Zam RHB

Selasa, 29 Mei 2012

Breeding Serama...

Bila dikira-kira, belum cukup lagi setahun saya aktif semula 'berserama'. Kira kalau mahu diberi perlambangan, ia ibarat budak baru nak bertatih jika dibandingkan dengan otai-oatai yang lain. Tetapi dalam tempuh sependek itu, macam-macam 'warna dan warni' tentang dunia serama ini yang dapat saya perhatikan.

Baik dari sisi pemain (player), penganjur bon, penternak , pengadil dan juga peminat tegarnya. Tetapi kita perlu realitik kerana di dalam mana-mana industri pun kita akan berjumpa pekara yang hampir sama. Tidak ada apapun yang perlu dirisaukan. Yang penting terus pandang ke depan. 

Karnival Kucing Cantik yang mendapat slot pameran 2 hari
di Hari Perhimpunan Sejuta Belia Malaysia baru-baru ini.
(di mana tempat ayam serama sebagai ikon negara..?)
Serama sebagai haiwan kesayangan (pet) bukan seperti pets yang sudah lebih ke depan seperti kucing ataupun ikan hiasan. Buktinya, makanan kucing boleh kita perolehi di hampir kebanyakkan pasaraya mahupun pasar mini. Manakala kedai-kedai ikan hiasan boleh kita lihat tumbuh merata di taman-taman perumahan, mengambarkan besarnya pasaran yang telah diterokai dan bilangan pengemarnya.

Serama pula kalau dikira masih hanya diminati oleh kelompok-kelompok dan tempat-tempat yang tertentu sahaja. Pada hal, serama sepatutnya boleh dibanggakan sebagai haiwan yang berasal dari Malaysia. Ia boleh dianggap sebagai warisan negara. Serama melangkaui erti kecantikan sahaja kerana serama mempunyai nilai-nilai seni dan estatikanya yang tinggi berbanding haiwan yang lain.

Di negeri Melaka sendiri (saya tidak ada data yang tepat), kalau dikira secara rambang, bilangannya mungkin HANYA sekitar (lebih atau kurang sedikit) 20 orang peminatnya yang aktif menternak dan cuba menghasilkan 'produk serama ' yang baru (maaf jika saya tersilap kira).
                                                                                       
Maka sudah semestinya muafakat dan kerjasama yang lebih kukuh patut dapat dijalinkan antara  peminat serama di seluruh negara. Ini supaya hobi ini dapat dikongsikan dan diperluaskan lagi di kalangan peminat unggas di negara ini di mana tempat asal ayam serama. Kita patut 'cemburu' dengan 'kekemasan' organisasi dan pertubuhan peminat Kucing cantik yang nyata masih tiada dapat dibangunkan lagi di dalam industri kesenian ayam serama ini. Saya perhatikan, tidak ada satu kelab atau organisasi tersusun yang bergerak atas platform untuk membawa serama lebih ke depan. Malahan skema-skema pengadilan ayam serama sendiri mempunyai beberapa 'version' and formula yang tersendiri walaupun usia serama dimainkan melepasi angka 20 tahun.

Jadi...kenapakan tahap serama masih seperti di takuk tahun-tahun 2000 (sebelum serama merundum jatuh), walaupun evolusi 'cutting' dan gaya serama sudah jauh berubah?  Isu-isu serama masih berkisar sekitar isu pengadilan dan penganjuran.

Reference : Kelab Kucing Malaysia (KKM)

P/S : Serama ngetop di Indonesia. Khabarnya (dari otai yang telah sampai di sana) beberapa bon mereka lebih tersusun dan lebih meriah. Malahan, semasa menulis artikel ini, saya menerima message dari rakan FB Filipina yang bertanyakan tentang serama. Ia mahu tahu apa beza serama di Malaysia dan yang ada di Indonesia?
P/SS : Sambil-sambil, saya kongsikan gambar salah seekor pembaka di reban-Sri Patih







Rabu, 21 Maret 2012