KEBANYAKAN kucing peliharaan saya suka pada buku dan alat tulis. Dua perkara ini menjadi mainan kesukaan mereka. Melihat semula album-album mereka, saya temui foto-foto mereka yang saya ambil ketika beraksi dengan 'permainan-permainan' kegemaran mereka itu.
Ini Chubby, pesakit jantung selama dua tahun. Meninggalkan saya buat selama-lamanya pada 1 April 2013. Kami sangat akrab. Chubby suka main pen. Chubby akan mendekati saya setiap kali saya mula belajar. Sepasang mata hijau Chubby akan mengikut pergerakan pen ketika saya menulis. Foto ini, ketika saya di tahun dua pengajian, tiga tahun lalu.
Ini Omi dan foto diambil ketika saya dalam proses menyiapkan makalah untuk peringkat saringan Akademi Sastera, 2009. Omi datang dan meleseh-leseh. Kemudian, Omi bergolek-golek buat muka manja untuk tarik perhatian.
Ini Teja yang diambil pada hari lahir emak, dua tahun lalu. Teja suka tidur di atas buku.
Ini Jie Jie kesayangan saya juga. Diambil ketika berusia satu bulan pada 2011. Setiap kali saya membaca dalam tempoh agak lama, Jie Jie akan datang buat muka begini - kemudian mula 'mengurut'. Agaknya dia bosan tidak dilayan, sesuai dengan sikap kucing yang suka dilayan.
Jie Jie menongkat dagu dengan buku. Merenung ke depan.
Ini Panglima Awang. Saya mengambilnya ketika Awang berusia satu bulan pada Mac 2009. Tabiat Awang, apabila saya membaca maka dia akan datang dan goyang-goyangkan ekornya yang keras dan berat itu di atas buku yang saya baca. Foto ini diambil petang tadi. Nama Awang saya beri kerana ketika dia diambil, saya sedang membaca Panglima Awang karya Harun Aminurrashid.
Di bawah ini siri foto lepas laku Lanang Jati yang dirakam lewat malam tadi. Mula-mula, Jati leka menggigit tangan dan jari saya, yang disangka sebagai tempat mengasah gigi runcingnya. Apabila saya tidak melayan kenakalannya, dia beralih kepada kertas-kertas yang ada di atas meja kerja. Sungguh-sungguh dia membuka mulutnya besar-besar lalu menggigit draf-draf kerja saya.
Saya tinggalkan sekejap meja ini, Jati segera ambil kesempatan. Pijak papan kekunci, gigit kertas kemudian, menyangka tetikus sebagai tikus!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar