Sabtu, 31 Agustus 2013

RINDU ITU

SEMINGGU yang lalu, pada satu malam saya bermimpikan arwah emak. Apabila terjaga, saya tercari-cari emak sebelum beberapa ketika selepas itu - saya sedar bahawa saya hanya bermimpi, bukan realiti yang saya impikan. Mimpi yang sekejap memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan kepada saya hingga hari ini. Semakin terasa seolah-olah emak masih ada, membuatkan saya kembali tercari-cari dan tertunggu-tunggu dirinya. Terasa, arwah pergi ke satu tempat yang kelak akan tetap kembali ke sisi.

Meniti masa yang terus bergerak, sudah hampir satu tahun empat bulan hidup tanpa emak yang ada bersama saya selama 25 tahun. Pertemuan yang terlalu awal diakhiri dengan perpisahan pun bukan mudah untuk dibiasakan, inikan pula perpisahan setelah sekian lama berkongsi kehidupan. Saya sedar, saya hanya kehilangan jasad arwah dan itulah yang perlu saya biasakan. Saya yakin dan pasti masih dekat dengan emak, yang selalu mengundang rindu mendalam. Rindu yang kadangnya pedih terasa di jiwa. Rindu yang hanya kita faham, apabila mengalaminya sendiri. Benar kata pujangga, rindu seperti duri mawar. Tusukannya meninggalkan kesan, yang sukar hilang di ingatan meskipun lukanya sudah sembuh. Rindu yang benar, membawa keindahan.

Antara perkara yang saya rindu tentang ialah senyum, suara dan segalanya. Yang paling kuat juga ialah rindu saya untuk melihat emak ketika tidur. Saya tidak lupa wajah emak ketika tidur, sangat tenang. Saya selalu mengambil foto emak sedang tidur tanpa diketahuinya. Itulah detik saya paling senang dan bahagia melihat wajah tenang insan yang kita cinta - hingga pada dinihari 14 Mei 2012, saya mendengar istighfar yang emak sebut perlahan-lahan. Saya tahu, emak khuatir saya terjaga kerana diri saya yang mudah terjaga daripada tidur, sama seperti emak sendiri. Dengan sifat itulah, saya dapat mengesan sakit emak pada dinihari itu.

Dinihari, masa dan hari terakhir emak dapat saya lihat, sentuh dan kucup ketika dirinya boleh merasa dan berbalas bicara dengan saya. Bakinya, semuanya sekadar saya lakukan ketika emak tidak lagi berupaya memandang dan bercakap dengan saya. Syukur, Allah SWT memberi kesempatan untuk saya menatap sepasang mata coklat emak pada lewat petang Khamis 17 Mei 2012, beberapa minit sebelum saya meninggalkan hospital. Sepasang mata coklat emak, yang memandang saya sekadar beberapa saat. Itulah pandangan terakhir, dan kali terakhir saya melihat matanya yang redup dan cantik itu.

Al Fatihah buat arwah Rambelah binti Maryam
(27 Jun 1951 - 19 Mei 2013)
---
rindu nan diam
untuk, cinta
terpendam
---

Tidak ada komentar:

Posting Komentar