JUMAAT lalu saya ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) lagi. Ada beberapa orang yang saya temui, yang setiap satunya menimbulkan cerita tersendiri. Sebelum ke PDM, saya ke ASWARA bertemu Dato' Anwar Ridhwan atas satu urusan. Dato' insan yang kaya dengan cerita. Kami berbual tentang raya. Dato' sama seperti saya, berhari raya di bandar dengan suasana yang biasa-biasa. Cuma, kali ini saya dapat cerita tentang suasana raya di kampung Dato', di Sungai Besar. Menurut Dato', suasana raya di Sungai Besar masih meriah. Ketika Dato' kecil, mereka sudah dibiasakan mempunyai jadual lawatan ke rumah-rumah untuk berhari raya. Hari pertama di kampung yang jumlah rumahnya dalam 40 buah. Hari kedua di kampung seberang. Hari ketiga mengunjungi rumah kawan-kawan bapa. Hari keempat mengunjungi rumah-rumah kawan ibu. Rumah pusaka Dato' masih ada. Saya ditunjukkan dengan lukisan rumah itu. Rumah papan dua tingkat. Di bawahnya ada ruang kosong. Rumah itu sudah mula goyah dan senget. Tentu sekali kerana pergerakan bumi. Saya harap saya akan berpeluang menjejakkan kaki ke rumah seperti itu.
Pengalaman menjadi murid Dato' Anwar Ridhwan memang menyeronokkan. Beliau banyak pengalaman dan cerita yang sekali gus menambah juga pengalaman saya. Kenangan paling indah bagi saya apabila buat pertama kali Dato' memarahi saya. Kenapa? Dan bagaimana Dato' Anwar yang pendiam ini marah? Saya memang bermasalah dengan kira-kira. Ketika mengikuti kursus Perniagaan Penerbitan kendalian Dato', saya amat susah untuk memahami aspek pengiraan penerbitan walaupun telah diterangkan beberapa kali. Sampai satu tahap, Dato' memandang saya dan mengucap panjang. Itulah saya tahu, Dato' tertekan dengan 'kelembapan' deria mengira saya. Terima kasih Dato', guru yang sabar dengan karenah saya. Semoga Dato' sihat dan tenang selalu.
Tiba di DBP, saya ke kedai buku dan bertemu pula dengan Dr. Hanafi. Apa lagi yang akan kami bicarakan jika tidak tentang kucing. Memang saya, Dr. Hanafi dan Puan Salmiah Ismail ialah kawan-kawan yang mempunyai minat dan kasih sayang yang sama terhadap kucing. Kebiasaannya pada sesi rehat kuliah pagi Sabtu, tentu saja kisah kucing-kucing kami akan turut serta dalam perbualan ringan itu. Kali ini, Dr. Hanafi bercerita tentang perkembangan kucing jantannya yang sudah dipotong satu kakinya. Kenapa dipotong? Kucing itu tidak silap saya namanya Bee. Dr. Hanafi enggan mengembirikan kucing itu kerana ragu-ragu dengan hukum kembiri. Sudah berkali-kali saya katakan kepada Dr. Hanafi bahawa perbuatan itu sudah difatwakan sebagai harus bagi menjaga kemaslahatan awam juga untuk kebaikan kucing. Apabila tiba musim mengawan, kucing jantan akan meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama untuk mencari pasangan. Dalam tempoh itu akan berlakulah pergaduhan yang akan mencederakan kucing. Dalam kes Dr. Hanafi, kucingnya hilang selama sebulan.
Pengalaman menjadi murid Dato' Anwar Ridhwan memang menyeronokkan. Beliau banyak pengalaman dan cerita yang sekali gus menambah juga pengalaman saya. Kenangan paling indah bagi saya apabila buat pertama kali Dato' memarahi saya. Kenapa? Dan bagaimana Dato' Anwar yang pendiam ini marah? Saya memang bermasalah dengan kira-kira. Ketika mengikuti kursus Perniagaan Penerbitan kendalian Dato', saya amat susah untuk memahami aspek pengiraan penerbitan walaupun telah diterangkan beberapa kali. Sampai satu tahap, Dato' memandang saya dan mengucap panjang. Itulah saya tahu, Dato' tertekan dengan 'kelembapan' deria mengira saya. Terima kasih Dato', guru yang sabar dengan karenah saya. Semoga Dato' sihat dan tenang selalu.
Kucing ASWARA panjat pokok. Comel. |
Sebulan hilang, selepas Dr. Hanafi menyangka kucingnya itu sudah mati - kucing itu pulang ke rumah dalam keadaan sangat kurus sehingga Dr. Hanafi sendiri sukar mengenali kucing itu. Salah satu daripada kaki kucing itu luka dan berulat. Doktor memutuskan untuk memotong kaki itu supaya sakitnya tidak merebak, pilihan kedua ialah ... put to sleep. Kini, kucing itu dikatakan sangat sihat dan manja. Dr. Hanafi ada lagi dua ekor kucing jantan yang belum dikembiri. Kata saya sebelum kami mengakhiri perbualan, "Dr mesti kembirikan mereka! Saya akan tanya lagi nanti."
Tiba di PDM, saya berhasrat mencari beberapa bahan untuk penyelidikan saya. Akan tetapi, saya mendapat lebih banyak daripada yang saya hasratkan. Saya tidak lupa perasaan dan wajah saya yang tersenyum sepanjang proses itu. Rasa sangat gembira melakukan kerja-kerja ini. Kegembiraan ini juga satu rezeki. Kegembiraan melakukan sesuatu yang kita cinta tanpa kita tahu dan mengharapkan balasan daripadanya. Satu perasaan yang indah. Ketika saya mengangkat sejumlah bahan berjilid untuk dibuat salinan di aras bawah, pustakawan berhasrat membantu memberi bantuan. Saya menolak. Biarkan saya nikmati rasa susah ini supaya nanti saya kenang kesusahan dan kepenatan ini sebagai pengalaman yang manis. Saya benar-benar mahu menikmati status saya sebagai pelajar yang dalam perkataan itu terangkum di dalamnya tuntutan kegigihan, kesusahan dan kesedaran terhadap sesuatu. Status yang membuatkan saya layak untuk ditegur dan diperbetulkan kesalahan. Saya ingin menikmatinya sehabis baik kerana saya tahu tidak semua orang berpeluang menikmati status ini seperti saya.
Belum puas hati saya meneliti rak ini. |
Ketika saya melakukan kerja-kerja saya, Puan Fatimah Zahrin, pustakawan yang amat komited itu mendekati saya. Tangan kirinya disorokkan di belakang. Katanya, "Wardah, nak tak?" Kegembiraan saya bertambah. Dua hari sebelum 1 Syawal, saya di PDM dan sempat berbual dengan Puan Fatimah yang akan pulang ke desanya di utara. Menurut Puan Fatimah, musim padi sedang berlangsung. Saya memesan dengan penuh harap agar Puan Fatimah membawakan saya setangkai pokok padi. Saya selalu menyimpan keinginan untuk melihat dan memegang pokok padi sendiri. Satu perkara yang belum pernah saya lakukan. Saya menghidu tangkai ini, tiada bau. Pada saya, tangkai ini sangat cantik. Warnanya hijau muda dengan strukturnya yang lembut, saya sangat suka dan teruja menikmati keindahannya. Saya terharu dan bersyukur. Apa perasaannya apabila sesuatu yang kita idam-idamkan,akhirnya dapat juga kita nikmati? Gembira. Bersyukur. Terharu. Mungkin saya terlewat menikmati keindahan ini, tetapi lebih baik daripada langsung gagal menikmatinya.
Walaupun tangkai padi itu tidak berisi, maksudnya hanya ada karungnya - saya tetap menghargainya. Satu hari nanti, tentu saya dapat memegang pokok yang tangkainya sarat berisi biji padi. Saya akan simpan tangkai padi ini baik-baik.
Saya tunjukkan tangkai padi kepada Profesor Tam, Oyen, Sofi, Jebat dan Bobob. Mereka berminat kecuali Jebat.
Hasil kerja Jati dalam cubaan mencuri tangkai padi saya.
Setelah hampir lima jam di PDM, saya menuju ke Bahagian Multimedia. Ada janji temu yang lama tertangguh antara saya dengan Kak Ena (Rozninah Abdul Azib) yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian. Pertemuan ini tertangguh sejak April yang lalu. Kali ini, saya perlu juga menepati janji temu ini bagi memulangkan karangan Ibn Qayyum Al Jauzi, kitab Roh yang Kak Ena pinjamkan kepada saya, seminggu selepas emak meninggal dunia. Kali ini, Kak Ena ingin meminjam buku itu kepada kenalan kami yang baru kematian anak. Mengetahui hakikat kehidupan dan kematian, membuatkan kita tambah kenal makna reda.
Pertemuan kami berlangsung agak lama. Banyak topik yang kami bicarakan. Banyak mutiara yang saya peroleh menerusi perbincangan kami, yang juga saya anggap sebagai rezeki. Rezeki rohani yang membuatkan kita sedar diri yang kadang-kadang terlupa dan lalai. Tidak ketinggalan, tentulah kami berbicara tentang buku terbaharu Kak Ena, biografi Prof. Dr. Muhaya Sejernih Sinar Matamu. Saya membaca manuskrip ini sebelum diterbitkan dan kini memilikinya pula. Satu hari nanti, saya akan bertemu dengan Prof. Muhaya bukan sebagai idola tetapi sebagai guru saya!
Belajar bukan hanya untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan sahaja tetapi untuk mendapat ilmu pengetahuan dan memupuk ketakwaan kepada Allah dengan melihat kebesaran Allah dalam setiap ilmu yang kita pelajari - Prof. Dr. Muhaya
Ini catatan saya sebagai pelajar yang akan saya kenang sebagai keindahan. Sayang, emak tiada untuk saya kongsikan keindahan perjalanan ini.
Al Fatihah, Rambelah binti Maryam (27.6.1951-19.5.2012)
Kak Ena yang sakit mata |
Ini catatan saya sebagai pelajar yang akan saya kenang sebagai keindahan. Sayang, emak tiada untuk saya kongsikan keindahan perjalanan ini.
Al Fatihah, Rambelah binti Maryam (27.6.1951-19.5.2012)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar