HARI ini, saya ke HKL membawa seseorang menghadiri janji temu di Jabatan Radiologi dan Onkologi. Setiap kali saya ke sini, ada banyak kenangan menjelma. Tidak terlepas, kenangan sepanjang kesempatan singkat, yang Allah SWT beri untuk saya menjaga emak. Hakikatnya, menjaga orang sakit, menuntut kesabaran yang tinggi. Ujian bagi orang sakit, juga ujian untuk yang menjaga mereka.
Menguji kesabaran dan tanggungjawab terhadap rasa sayang dan hormat yang terbina dalam satu perhubungan. Ada perasaan yang perlu dikorbankan, ada keinginan yang perlu dipinggirkan bagi memberi laluan kepada sesuatu yang lebih utama. Pengorbanan ini bukanlah pengorbanan yang melukakan kerana tersirat di sebaliknya kerelaan dan kesedaran kita terhadap amanah Allah SWT kepada kita bagi menjayakan amanah dan tanggungjawab itu. Semua ini menjadi indah apabila kita faham makna takdir dan erti sabar langsung menjadikan kesabaran itu sebagai yang terindah untuk dilewati sepanjang usia.
Perjalanan hari ini juga mencengkam kukuh rasa rindu yang begitu sarat terhadap emak. Saya merindui detik-detik membawa dan menemani emak sepanjang janji temunya. Saya rindu untuk memimpin tangan emak yang dingin atau panas dalam setiap langkah itu. Segala pengalaman menjaga emak, sudah menjadi kenangan terindah yang kadang-kadang begitu dirindui. Yang kadang-kadang begitu mengharukan hati.
Hargailah mereka yang dalam jagaan anda kerana itulah amanah terindah daripada Allah untuk anda laksanakan dengan usaha paling baik.
Sabar itu indah, nikmati penuh bahagia |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar