Rabu, 25 Juli 2012

Sembang Ramadhan...


Diam tidak diam, sudah setahun juga blog Serama Malaysia ini usianya. Saya tak perasan sangat, tapi hari ini bila saya baca post artikel saya yang lepas, baru saya perasan yang blog ini sudah berusia setahun. Maknanya, sudah setahun juga saya aktif kembali meminati ayam serama ini.

Asalnya saya membangunkan blog ini secara spontan. Artikel pertama saya juga ditulis beberapa hari sebelum bulan ramadhan (tahun lepas). Pembaca blog ini boleh membaca semula artikel yang terawal saya post di sini. Blog ini dibangunkan lebih bersifat 'suka-suka'. Saya seorang yang suka 'membaca' dan juga suka 'menulis'. Apatah lagi jika subjeknya pekara yang saya minati. Kerana itu banyak juga tulisan saya yang agak panjang ditulis (moga ada yang mampu habis membacanya).

Media percuma. Mudah diakses. Bila suka, boleh dibaca, jika tidak, boleh pindah ke homepage yang lain. 

Alhamdulillah, selepas setahun, blog ini mencatatkan hampir 40,000 pageviews dengan jumlah pengunjung seramai 14,000 lebih. Satu angka yang memberangsangkan di saat Facebook menjadi pilihan bagi kebanyakan pelayar-pelayar internet.

Saya suka tulisan yang semulajadi (natural) iaitu yang saya tulis sendiri. Juga gambar yang saya ambil sendiri, buka 'copy-paste'. Saya menghargai 'genuinity' dalam banyak pekara. Kecuali jika tidak ada pilihan.

Walaupun blog ini banyak gambar ayam serama, saya bukan peminat tegar fotografi. Saya hanya suka merakam momen menarik dan juga ekpresi sesuatu benda. Kerana saya minat ayam serama, maka saya menjadikan serama sebagai 'subjek' saya bereksperimentasi dan merakam dari sudut yang lain.

Saya agak aktif berblog kerana mendapati ada beberapa pekara yang kerap hilang di dalam dunia arena serama. Walaupun banyak blog kerap mewar-warkan informasi tentang pertandingan atau bon ayam serama, saya dapati sebaik sahaja atau selepas sahaja bon tersebut selesai atau tamat, suasana di blog akan menjadi sunyi-sepi tanpa ada  sebarang maklumat lanjut tentang suasana atau informasi menarik yang boleh dikongsikan di blog tersebut TERUTAMA blog yang serius menonjolkan dan menghebahkan keputusan bon yang telah dipromosikan sebelum itu. 

Malahan kebanyakan pihak penganjur juga tidak bersungguh-sungguh untuk menghebahkan dan mewar-warkan keputusan pemenang-pemenang ayam cantik tersebut. Walaupun ia mungkin nampak agak remeh - temeh, saya berpendapat sebagai penganjur, pemenang bagi setiap kategori perlu dihebahkan kerana memang tujuan peserta menyertai sesuatu pertandingan dengan niat untuk mengetahui dan mempromosikan kecantikan ayam serama mereka kepada orang luar(apatah lagi sudah banyak media percuma yang boleh digunakan)

Peserta akan merasa lebih dihargai sesuai dengan nilai wang dan pengorbanan masa yang telah mereka beri untuk menyertai pertandingan tersebut.

Maka, itulah satu sebab utama yang menjadi alasan kenapa blog ini dibangunkan. Berkongsi informasi terutama bagi aktiviti-aktiviti serama di sebelah zon selatan ini. Apatah lagi, jumlah peminat ayam serama di sebelah sini masih kecil jika mahu dibandingkan dengan jumlah peminat di sebelah utara dan di pantai timur.

Alhamdulillah, sudah ada momentum peminat baru dan juga orang lama yang kembali aktif kesan dari kerja-kerja rakan-rakan peminat serama di sini. (semalam datang seorang peminat lama yang mahu aktif semula...Insya Allah, tambah ceria)

Apapun, nanti kita sambung cerita saya di atas. Kita lihat apa cerita terkini tentang serama bulan ini....

Sekarang ini bulan ramadhan..segala aktiviti pertandingan akan berehat sebulan. Sebelumnya, terdapat 2 bon besar berlangsung. Satu di Kenyir dan satu di Alor Star. Keputusan penuhnya di Kenyir ada disiarkan di Facebook (BOTB : Zali Bakong), manakala di Alor Star saya tidak perasan keputusan penuhnya (BOTB : Kuzai Group). Selain itu terdapat 2 bon kecil iaitu di Kelantan (BOTB : Pok Eid)  dan Kuala Lumpur (BOTB: Azreen Batu Pahat).

Sudah terdapat khabar-khabar, bon selepas raya akan diadakan seawal yang mampu terutama bagi pemain tegar yang tentu sudah tidak sabar mahu melihat aksi ayam serama masing-masing.

Harapannya, selepas raya ini , lebih meriah lagi arena bon dijalankan di seluruh negara. Saya juga berharap dapat juga berjalan-jalan ke bon yang belum sempat saya hadiri lagi. Kata orang, '....jauh perjalanan, luas pemandangan...'.

Apapun...salam Ramadhan Al Mubarak buat teman-teman pembaca blog ini. Terima kasih atas kesudian  melawat dan membaca bahan yang dicatatkan di sini. Moga pekara yang baik, Allah swt permudahkan buat saya...dan yang tidak baik dijauhkan dari saya dan rakan-rakan semua.
Insya Allah kita sembang serama lagi....





Tidak ada komentar:

Posting Komentar