Pergimu tanpa pesan meninggalkan kesan mendalam di hati ini…
Amjad memandang pelajar 4 Ikhlas yang sedang tekun menyiapkan tugasan yang diberinya sekejap tadi. Kekosongan itu telah membuatkan fikirannya melayang mengingatkan Dayang Atikah yang telah hampir dua minggu meninggalkan sekolah itu. Sebenarnya bukan hanya hari ini dia mengingati gadis itu, tetapi hampir saban hari, saban masa yang dia ada. Kehilangan Dayang Atikah begitu dirasainya.
Walaupun Tania selalu mengambil berat tentang dirinya namun hatinya telah di bawa pergi menyebabkab dia sudah tidak seperti dulu lagi. Hidupnya suram, tiada lagi keceriaan dalam dirinya. Dia cuba untuk mengawal diri tapi tiada kekuatan bersamanya. Terlalu mendalam perasaan bersalahnya pada Dayang Atikah. Dia begitu terpukul kerana gadis itu telah berjaya meruntuhkan tembok keegoaan yang telah banyak memberikan kesengsaraan kepada dirinya.
Kalaulah dia tahu bahawa kehilangan jam tangan pemberian Dayang Atikah dulu adalah tanda dia akan kehilangan Dayang Atikah, sudah tentu dia akan berusaha untuk berbuat sesuatu. Jika tidak dapat menghalang dayang Atikah pergi, paling tidak dia dapat menyatakan perasaannya kepada gadis itu. Namun dia lebih tega membiarkan segala keindahan itu berlalu dari dirinya. Hanya dengan sedikit kesilapan, dia terpaksa menanggung akibatnya kini.
Kalau boleh dia tidak ingin ada yang lain tahu tentang penderitaannya ini. Kalau dia mampu biarlah dia yang menanggungnya sendirian. Namun, dia tidak dapat mengelak kerana Syameer dan Chempaka juga telah maklum tentangnya. Dan dia bersyukur kerana mereka berdua banyak memberikan sokongan moral kepadanya.
Kring…………
Deringan loceng memutuskan lamunannya.
Astaghfirullahalazim…
Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku sedikit ketabahan!
“Terima kasih cikgu.”
“Jangan lupa hantar buku latihan ni ke meja saya sebelum balik nanti. Sama-sama.”
Apa jua yang mampu aku lakukan untuk membahagiakanmu, sahabatku?
Chempaka memandang Amjad dari jauh. Pandangannya sayu melihat langkah lelaki itu yang longlai, tidak seperti dulu yang sentiasa penuh dengan kegembiraan dan positif. Dia tahu ketiadaan Dayang Atikah banyak mempengaruhi hidup Amjad kini namun dia juga tahu kisah itu terlalu rumit untuk diselesaikan. Jalan ceritanya terlalu berselirat untuk difahami. Dia bersyukur kerana laluan hidupnya ditentukan Tuhan sedikit lurus dan tanpa rintangan hebat begini.
Chempaka yang terlibat secara langsung dalam perhubungan itu turut merasa kasihan melihat temannya. Sememangnya dia sentiasa mendoakan ada jodoh di antara mereka namun apa daya Tuhan lebih berkuasa. Dalam usia kandungannya yang menjangkau lapan bulan, kepalanya ligat memikirkan apakah yang boleh di lakukan untuk membantu pasangan itu.
Bayi di dalam kandungannya tiba-tiba bergerak. Chempaka mendapat satu idea…
Di antara tiga hati kita, biarlah aku yang memendam rasa kerana aku juga sepertinya…
Amjad memandang Tania yang berdiri di hadapannya. Gadis itu tampak manis dengan baju kurung bercorak batik. Angin yang berpuput di pelabuhan petang itu membelai-belai rambutnya yang ikal mayang. Sebenarnya dia yang mengajak Tania ke situ untuk berterus-terang kerana dia tahu gadis itu menaruh harapan padanya. Dia tidak mahu layanannya sebagai seorang kawan di salah ertikan oleh Tania yang mendambakan kasihnya. Mungkin dulu dia menggunakan Tania untuk menyakiti Dayang Atikah namun kini biarlah dia berterus-terang. Apa jua balasan yang Tania berikan padanya, akan dia terima dengan rela hati. Dia tahu, sikapnya bukan sahaja melukakan dia dan Dayang Atikah tapi juga turut melibatkan Tania dan beberapa orang lain lagi.
Selepas melepaskan satu keluhan dari bibirnya, Amjad memulakan kata…
“Tania, sebenarnya Am nak minta maaf.”
Matanya tidak memandang Tania tapi merenung jauh ke horizon laut.
“Kenapa baru sekarang Am berterus-terang? Kenapa tak dari dulu Am halang Tania daripada terus hanyut dibuai perasaan sendiri? Am bukannya tidak tahu Tania menyukai Am namun kenapa Am lakukan ini semua? Tetapi kalau Tania tahu Dayang juga menyimpan perasaan pada Am, Tania takkan sanggup memusnahkan sebuah persahabatan semata-mata untuk kepentingan sendiri.”
Panjang dan perlahan nada suara Tania. Ada getaran dalam suaranya. Adakah dia sedang menahan sesuatu?
“Am tahu. Sebab itulah Am minta maaf. Sebenarnya Am juga menyukai Dayang tapi banyak perkara yang tidak kena dalam perhubungan kami. Segalanya tidak berjalan lancar. Am tahu Am terlalu ego dan cemburu dan kini Am telah menerima akibatnya.”
“Itu semua boleh di atasi Am. Berfikirlah secara matang. Jangan jadi budak-budak. Kadang kala kita perlu mengorbankan apa yang ada dalam hati kita untuk mendapatkan kebahagiaan yang diimpikan. Masih belum terlewat untuk mencapai bahagia. Am, carilah Dayang. Tania tahu dia masih mengharapkan Am dalam hidupnya. Pengorbanan yang dilakukannya terlalu besar dan ikhlas. Tania tahu tak ramai perempuan macam dia. Carilah dia Am. Tania memberi sokongan.”
“Terima kasih Tania kerana memahami Am. Kalau boleh sekarang juga Am mahu ke Batu Pahat mencari dia namun apa daya.”
“Am, bertuah kalau sesiapa yang dapat memiliki Dayang. Bahagiakanlah dia dan dirimu Am.”
Sesungguhnya dia benar-benar ikhlas ketika menuturkan kata-kata itu. baginya, Dayang Atikah adalah seorang gadis yang tiada duanya.
“Am doakan agar Tania akan mendapat lelaki yang lebih baik dari Am.”
Mereka berpisah di situ dan menuju ke kereta masing-masing. Itulah laluan mereka yang sudah tidak sehala lagi, punyai laluan yang tersendiri. Tania memandang sekilas ke arah Amjad yang berada dalam keretanya. Dia mengukirkan senyum terakhir. Dan bila dia berpaling dari menatap wajah lelaki itu, ada air mata mengalir di pipinya. Itulah tanda pengorbanan kecil yang dilakukannya. Kalau dibandingkan dengan derita Dayang Atikah, tiada bandingnya air mata itu. Jauh di sudut hatinya masih ada perasaan sayang untuk lelaki itu namun akan dia cuba untuk menghindarinya. Dia tidak ingin membina bahagia di atas kelukaan orang lain…
Dan dia percaya ada hikmahnya di sebalik apa yang telah berlaku!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar