Sebuah lagi keajaiban alam semulajadi yang patut kita kagumi ialah "Morning Glory Pool", yang terletak di Yellowstone National Park, Wyoming, Amerika. Dengan gelaran kolam 'seribu wajah' kerana penampilan warnanya yang berwarna-warni, biru, hijau, kuning, orange dan coklat tembaga.
Fenomena yang mengkagumkan ini telah menjadikan "Morning Glory Pool" sangat terkenal di serata dunia pada perspektif pelancongan. Setiap tahun sekitar 3 juta pelancong akan datang ke sini untuk menyaksikan keajaiban kolam ini. Kononnya, kolam ini telah lama wujud dan telah dinamai sebagai "Morning Glory Pool" sejak tahun 1880 lagi. Kewujudannya yang mengujakan itu ibaratnya seperti keindahan sekuntum bunga yang sedang kembang mekar di suatu pagi hari. Telah dipercayai bahawa kolam ini terjadi sedemikian rupa adalah dikeranakan oleh peristiwa alam semulajdi seperti gempa bumi dan aktiviti seismik di daerah itu.
Asalnya, kolam air panas itu didominasi oleh warna biru terang. Namun kemudiannya telah berubah menjadi beberapa lagi warna lain dikeranakan oleh perbuatan tangan manusia iaitu para pengunjung yang telah datang dan membuang pula wang syiling, batu, kayu bahkan sampah ke dalamnya. Akibatnya objek² yang telah dibuang ke dalam kolam itu tertanam di dasar kolam yang kemudiannya telah menyumbat saluran-saluran air panas didasar kolam. Maka proses kitaran air mulai terganggu dan suhu air pun mulai menurun. Kolam yang dahulunya berwarna biru dengan wap yang mengepul-ngepul keluar kerana kepanasan air kini sudah tidak kelihatan lagi.
Akibat daripada penurunan suhu tersebut maka bakteria pun mulai masuk dan mengubah warna biru menjadi kekuningan, orange dan coklat tembaga. Pada proses awal kemasukan bakteria ini, ia hanya berada di sekitar pinggir kolam dengan menjadikan warna air kolam berubah ke warna kuning dan orange namun seiring dengan penurunan suhu air kolam maka bakteria tersebut mulai masuk hingga ke bahagian tengah kolam.
Akhirnya warna biru kehijauan kini tidak lagi mendominasi kolam itu. Sebaliknya, warna kuning, orange, coklat tembaga mulai terlihat menyebar mengelilingi kolam berkenaan. Seandainya keadaan ini tidak segera diatasi, berkemungkinan keindahan kolam air panas "Morning Glory Pool" suatu masa nanti hanya tinggal kenangan yang terakam di dalam foto-foto sahaja.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar