Minggu, 04 November 2012

EPIK AGUNG HIKAYAT HANG TUAH DALAM TAMADUN MELAYU

SETIAP tamadun mempunyai karya agung tersendiri yang menjadi kebanggaan kolektif masyarakatnya. Sekiranya Tamadun Hindu terkenal dengan Ramayanadan Mahabrata, Tamadun Melayu membangun dengan gah bersama-sama Hikayat Hang Tuah. Citra keperkasaan Hang Tuah disulam dengan indah melalui penggunaan lesen kepenyairan yang dimiliki pengarang.

Hikayat Hang TuahManuskripHikayat Hang Tuah bertulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad telah menjadi bahan sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Walau bagaimanapun, usaha Yayasan Karyawan memberi keizinan menerbitkan semula teks Hikayat Hang Tuahini amat penting dalam usaha melestarikan karya agung Melayu dan mendekatkan jarak antara masyarakat dengan karya klasik warisan Tamadun Melayu.

Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana aneka negara ini bukanlah sebuah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).

Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan terhadap penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Terdapat beberapa peristiwa yang terdapat dalam naskhah Sejarah Melayu namun tidak digunakan oleh pengarang  karya ini secara kronologi.

Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur-unsur realisme magis yang wujud di dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.

Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi Hang Tuah menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.

Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Walau bagaimanapun, kemunculan semula Hang Tuah yang disembunyikan Bendahara telah mempertemukan Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai seteru dua pendirian. Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan  terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar