Selasa, 06 November 2012

CERITA ANAK-ANAK

JUMAAT LALU, saya sempat mendengar cerita daripada seorang guru saya yang mengajar di sebuah sekolah rendah. Cikgu Julia nama beliau. Cikgu A mengajar murid-murid Tahun 4 dan Tahun 6. Setelah selesai minggu peperiksaan, murid-murid mengisi masa senggang sementara menanti ketibaan cuti hujung tahun dengan melakukan pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Ketika Cikgu A ditugaskan memantau sebuah kelas Tahun 4, murid-murid perempuan ralit bermain spa. Ada murid perempuan yang menjadi pelanggan. Setiap pelanggan perlu membayar wang bagi setiap perkhidmatan spa tersebut. Seorang murid berlakon mengurut wajah rakannya dengan lembut sambil mulut becok bercerita tentang spa yang dimiliki. Beberapa rakan lain bertindak sebagai pekerja spa. Cikgu A terkejut apabila bahunya tiba-tiba diurut oleh seorang murid perempuan. Murid itu cuba memujuk Cikgu Amenjadi pelanggan spa itu. Bukankah menarik imaginasi anak-anak kecil itu? Mungkin mereka berminat dengan perniagaan?

Tidak lama selepas dipujuk murid perempuan itu, datang empat murid lelaki lalu duduk mengelilingi Cikgu A. Saya berasa amat tertarik dengan cerita Cikgu mengenai cerita empat murid lelaki itu. Empat cerita daripada empat murid itu dimulakan oleh Murid A. Murid A bercerita mengenai emaknya yang suka bergaduh. Cikgu A dengan sifat suka mendengar, meneliti buah bicara murid-murid itu untuk dicerna oleh akal fikirnya. Perhatikan dialog empat murid dengan empat cerita itu. Kisah benar yang menjadi perbualan anak-anak, mungkin tanpa pengetahuan ibu dan bapa mereka.

Murid A : Kau tahu, mak bapak aku asyik gaduh je. Semalam gaduh, petang ni gaduh lagilah tu. Pening kepala aku. Aku diam je. Kakak aku yang selalu sama bising ngan mak.

Murid B : Habis, kau sokong mak kau ke ayah kau?

Murid A : Aku sokong mak akulah. Kakak aku pun sokong mak aku. Ayah aku malas kerja, sebab tu mak aku selalu marah-marah, pastu diorang gaduhlah.

Murid C : (kepada Murid B) Ei, bukan ke mak kau ada dua suami?

Murid B : Memanglah.

Murid D : Macam mana mak kau boleh ada dua suami?

Murid B : Bapak aku malas kerja, mak aku cerai dengan bapak aku pastu mak aku kawinlah dengan bapak kakak aku. Mak aku selalu nangis masa duduk ngan bapak aku. Bapak aku asyik minta duit mak aku je. Aku tak suka tengok mak aku nangis pasal bapak aku tu. Tapi, suami mak aku sekarang rajin. Banyak duit. Dia selalu bawa aku ngan mak aku jalan-jalan.

Murid C : Oh. Nasib baik bapak aku rajin. Kalau tak mesti mak aku kawin suami lain.

Murid D : Korang okeylah, aku lagi kesian. Mak aku tak de suami. Kecik-kecik lagi mak aku kata bapak aku dah mati.

Murid A : Kenapa bapak kau mati?

Murid D : Entah. Mak aku tak cakap pun? Dia diam je bila aku tanya.

Saya berasa agak terkejut mendengar cerita Cikgu A mengenai empat cerita anak-anak ini. Agak berbeza dengan murid-murid perempuan yang bermain spa tadi. Murid-murid lelaki ini berkumpul dan bercerita mengenai kisah ibu dan bapa masing-masing. Barangkali ketika di rumah, mereka tidak sepetah itu berbicara tentang apa-apa yang mereka lihat pada ibu dan bapa mereka. Bicara itu hanya terluah apabila mereka berada dalam kelompok yang sama. Mereka bertindak sebagai pemerhati, penilai dan mungkin pencerna bagi setiap yang mereka lihat di rumah itu.

Ada dua jangkaan terhadap empat murid itu. Pertama, mereka akan menjadi lelaki yang lebih baik apabila dewasa kelak terutama pada Murid A, Murid B dan Murid C. Kedua, mereka boleh menjadi sebaliknya jika asuhan dan didikan agama tidak mantap sekali gus meniru citra negatif ayahanda masing-masing. Bagi Murid D, mungkin dia akan membesar dengan memendam pertanyaan mengenai kematian ayah yang enggan diceritakan ibu sendiri.

Mereka masih kecil tetapi amat tajam pengamatan dan penilaian mereka. Sekiranya pengamatan dan penilaian itu dipandu dan diarah untuk digunakan dengan betul dan sistematik, tidak mustahil mereka akan menjadi manusia cemerlang yang bertanggungjawab.

Kanak-kanak ialah manusia kecil yang memang suka memerhati setiap perkara yang berlaku di hadapan mereka. Mereka akan bercerita dan melontarkan setiap yang mereka lihat dan dengar tanpa tokok tambah. Rumusan yang mereka buat menerusi pemerhatian mereka ialah rumusan daripada makna selapis yang mereka faham.


Cerita ini cerita anak-anak yang seharusnya kita dengar dan jadikan panduan untuk menjadi manusia dewasa yang lebih peka terhadap emosi dan peribadi anak-anak. Apakah kita di mata mereka? Bagaimana kita di mata mereka? Buruk baiknya, kita yang menjadi teladan kepada mereka.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar