KHAMIS yang lalu merupakan satu hari yang lucu bagi saya dan sahabat saya Roziah Adama. Sungguhpun hujan turun mencurah-curah dan menyebabkan tubuh kami bagaikan ingin membeku sewaktu menghadiri bilik kuliah yang berpendingin hawa, kami tetap gembira dan menikmati hari tersebut dengan ceria. Apatah lagi ditambah dengan adegan-adegan lucu yang tidak dirancang.
KISAH LUCU 1
Pagi itu, kami mempunyai kuliah Penulisan Skrip Bangsawan dengan pensyarah yang popular dalam kalangan kami sebagai Papa Z iaitu En. Zakaria Ariffin. Kuliah berlangsung seperti biasa, padat dengan ilmu dan pesan bermakna daripada beliau. Pada hari itu, saya, Kak Rozi dan Asrul Sany telah membentangkan idea bagi skrip bangsaawan yang perlu kami hasilkan untuk semester ini. En. Z yang kelihatan pendiam dan serius di luar kuliah tiba-tiba tampak begitu teruja dengan pembentangan kami sehingga begitu banyak idea-idea yang beliau berikan bagi memantapkan sesi sumbang saran atau percambahan minda itu.
Lucunya, En. Z siap berpantun dan menggayakan dialog-dialog klasik dengan penuh asyik sehingga melenyapkan sisi-sisi serius yang sering kelihatan pada dirinya di luar kuliah. Hehe, memang lucu apabila En. Z menggayakan dialog-dialog klasik secara spontan. Tambahan pula sewaktu Kak Rozi membentangkan ideanya yang bertajuk Puteri Rambu Rambunat iaitu kisah lagenda negeri Sabah dan Asrul Sany dengan idea Putera Beradu iaitu keterbalikkan daripada kisah Snow White. Saya pula telah membentangkan idea sendiri yang saya beri tajuk Bangsawan Malim Sulaiman. Pagi itu, kuliah Penulisan Skrip Bangsawan tidak henti-henti dibanjiri hilai tawa kami.
En. Z dan En. Marsli N.O di Bengkel Deklamasi Puisi, Kuantan
KISAH LUCU 2
Kuliah Desktop Publishing kami tamat pada jam 5.00 petang dan ketika itu hujan sedang turun dengan lebatnya. Saya dan Kak Rozi tidak dapat meninggalkan kampus lalu kami berteduh di surau buat menunaikan solat Asar dan menunggu hujan reda untuk bergerak ke Sogo. Sewaktu hendak menuju ke hamparan sejadah masing-masing, saya telah terlanggar Kak Rozi tanpa sedar. Lucunya, sewaktu saya menoleh ke belakang, saya melihat Kak Rozi telah terjatuh dalam pakaian telekungnya. Kak Rozi terjatuh gara-gara saya yang terlanggarnya dan menyebabkan pergerakan Kak Rozi tersekat dek kain telekungnya. Scene itu sangat lucu dan menarik serta tidak dapat saya lupakan. AMPUNKAN SAYA YA KAK ROZI.
KISAH LUCU 3
Setelah hujan boleh dikatakan agak reda, saya dan Kak Rozi merentasi Padang Merbok untuk ke Sogo. Tiba-tiba, hujan semakin hilang redanya. Kami yang berkongsi satu payung bersaiz sederhana tidak dapat menyelamatkan sepenuhnya tubuh kami daripada dititik hujan. Kesannya, bahagian kanan badan saya kebasahan begitu juga bahagian kiri tubuh Kak Rozi. Paling lucu bagi saya, sewaktu ingin melintas jalan dari Bank Negara ke DBKL, Kak Rozi telah menjerit apabila saya menarik tangannya untuk melintas jalan. Begitu juga ketika ingin melintas jalan antara Maybank DBKL dengan bangunan KWSP, jeritan takut Kak Rozi seolah-olah menidakkan orang ramai yang berada di sekitar kami. Mujur saya memakai mask, tidaklah nampak ketawa saya yang terbahak-bahak mengenangkan ketakutan Kak Rozi itu. Sekiranya mengikut rentak Kak Rozi, mungkin kami tidak selesai-selesai melintas jalan sehingga hari ini.
KISAH LUCU 4
Ketika memasuki kompleks beli-belah Sogo, saya dan Kak Rozi bergegas memasuki lif untuk ke ruang makan di tingkat enam bagi memenuhi tuntuan berbuka puasa. Ketika itu, hanya saya dan Kak Rozi sahaja di dalam lif itu. Sedang kami sibuk mentertawakana apa-apa yang berlaku sepanjang hari itu, kami terus sahaja melangkah keluar apabila pintu lif terbuka dan kami masing-masing terkejut apabila mendapati kami berada di bahagian pakaian kanak-kanak. Kami segera berlari masuk ke dalam lif yang hampir tertutup dan terus mentertawakan kekhilafan kami itu.
KISAH LUCU 5
Kak Rozi begitu teringin menikmati cucur udang yang dijual di salah satu kedai makan. Walau bagaimanapun, keinginan Kak Rozi itu tersekat melihatkan pelanggan yang beratur panjang. Saya yang sentiasa aktif ini segera menghulur kerelaan untuk beratur dan membeli cucur udang di gerai yang disebutkan Kak Rozi. Jam pada ketika itu sudah menjangkau pukul 7:10 petang. Kira-kira 25 pelanggan sedang beratur dan saya di giliran yang ke-25 itu. Dengan penglihatan yang semakin berkabur, saya cuba mencari-cari nama hidangan cucur udang itu tetapi tidak saya jumpa. Barangkali namanya lain, pujuk hati saya. Dan sesampainya saya di hadapan penjual itu, saya pun bertanya:
"Kak, cucur udang ada?"
"Cucur udang di sebelah sana, dik. Yang tak ramai orang tu." Jawab kakak itu.
Saya pun menoleh ke arah yang ditunjukkan dan memang tidak ramai pelanggan yang beratur. Ingin saja saya cubit-cubit pipi Kak Rozi ketika itu.
KISAH LUCU 6
Kisah ini berkaitan Kak Rozi dan perkiraan salah saya dalam memberi pemetaan jalan. Terlalu lucu dan tidak sanggup diceritakan.
Walau bagaimanapun, itulah kisah-kisah lucu seharian saya bersama Kak Rozi. Ketawa menjadi teman ketiga dalam persahabatan kami. Tawa dan ria itulah yang mengubat kekusutan kami dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di ASWARA.
Roziah dan Wardah