SUDAH sebulan semester empat mengunjungi diari hidup saya namun pinjaman pelajaran yang sepatutnya sudah saya dapat masih lagi tiada berita. Akhir Jun yang lalu, saya mendapat surat daripada Bahagian Kewangan SUK Selangor yang menyatakan pinjaman pelajaran saya untuk semester empat ini telah dikirimkan ke bahagian kewangan IPT saya. Walau bagaimanapun, sehingga kini wang itu belum saya dapat.
Sudah berkali-kali saya bertandang ke bahagian kewangan untuk bertanyakan tarikh pinjaman itu akan dikeluarkan tetapi yang saya dapat hanyalah kehendak pegawai itu untuk saya memahami prosedur yang belum berlangsung dengan nada sinikal seolah-olah saya tidak sabar-sabar untuk menghabiskan wang pinjaman itu. Saya bukanlah seorang yang senang untuk membelanjakan wang pinjaman itu sesuka hati. Saya menanggung diri saya sendiri dan wang itu sangat saya perlukan untuk membiayai perbelanjaan harian saya sepanjang kuliah.
Pegawai itu menyatakan walaupun SUK Selangor telah menghantar wang itu pada bulan Jun lalu, mereka perlu menunggu minggu tambah gugur selesai dan kini, sudah dua minggu minggu tambah gugur pergi namun masih tiada khabar berita. Saya bukan sengaja meletakkan prejudis kepada mereka yang melambatkan urusan ini. Kekecewaan saya terhadap tindakan mereka rentetan kekhilafan mereka menguruskan pinjaman saya pada semester lalu. SUK menghubungi saya dan mengatakan mereka telah mengirimkan cek pinjaman saya. Namun, apabila saya bertanya kepada pegawai yang sama dia mengatakan bahawa mereka tidak pun mendapat cek itu.
Berkali-kali saya menghubungi SUK untuk mendapatkan pengesahan penghantaran dan mereka menegaskan bahawa mereka benar-benar telah mengirimkannya. Untuk kali-kali seterusnya, saya berjumpa semula dan memberitahu pegawai yang sama di bahagian itu dan menyatakan hal yanng diberitahu oleh pegawai SUK itu.
Jawapan yang saya terima agak mengejutkan, setelah berkali-kali saya menemuinya dan mendapat pandangan sinikal daripadanya; alih-alih pegawai tersebut menyatakan bahawa mereka memang sudah mendapat cek itu tetapi tersimpan di bilik seseorang selama seminggu!
Saya sangat kesal dengan jawapan itu. Saya bukan menagih duit daripada mereka sebaliknya menuntut hak saya diberikan kepada saya. Tindakan pegawai-pegawai itu telah menyulitkan kehidupan orang-orang seperti saya dan hal itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya mereka melakukan kerja mereka dengan lebih sistematik. Dek kerana kekhilafan mereka menjalankan tugas, saya pula menjadi mangsa kelambatan prosedur mereka. Paling menyedihkan saya, mereka hanya tahu untuk menuntut pengertian daripada saya agar memahami prosedur mereka tetapi mereka tidak pernah cuba untuk memahami situasi saya pula.
Saya yakin, isu lambat ini tidak akan berlaku sekiranya para pegawai tahu tanggungjawab sebenar mereka dan melakukan tugasan mereka dengan penuh dedikasi dan beretika mulia. Usah menyulitkan keadaan orang lain dengan alasan yang hanya mementingkan peribadi sendiri.
Saya yakin, isu lambat ini tidak akan berlaku sekiranya para pegawai tahu tanggungjawab sebenar mereka dan melakukan tugasan mereka dengan penuh dedikasi dan beretika mulia. Usah menyulitkan keadaan orang lain dengan alasan yang hanya mementingkan peribadi sendiri.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar