Rabu, 19 Agustus 2009

GUSAR YANG KALAH

SEMALAM, bertempat di Dewan Seminar tingkat 2 DBP saya dan dua wakil daripada ASWARA iaitu Roziah Adama dan Asrul Sany telah berjaya mengalahkan kegusaran kami untuk melewati hari semalam itu. Sebelum ini saya ada meluahkan berkenaan kegentaran saya untuk berhadapan dengan hari itu bagi membentangkan kertas kerja saya yang berjudul Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq Dari Sudut Psikoanalisis Lacan.

Malam sebelum pertandingan berlangsung, saya diburu rasa gusar dan gundah. Pelbagai keserabutan mendatangi diri saya. Akhirnya, sewaktu tiba ketika saya dipanggil untuk membentangkan kertas kerja saya, saya mengukuhkan rasa tawakkal saya kepada Allah dan saya cuba menyakinkan diri bahawa saya boleh. Yang paling penting, saya perlu menjaga maruah dan nama para pensyarah Fakulti Penulisan ASWARA dan juga nama saya sendiri.



Alhamdulillah, saya yakin saya telah berusaha bersungguh-sungguh dalam menyiapkan kertas kerja dan saya telah cuba berlatih menyampaikan pembentangan saya walaupun dilingkungi rasa takut, debar dan gemuruh. Namun seperti yang saya katakan, saya perlu menjaga nama pensyarah-pensyarah saya dan itulah yang menjadi kekuatan untuk saya menyampaikan pembentangan saya dengan yang dikatakan oleh para juri sebagai baik.

Insya-Allah, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik untuk peringkat akhir nanti. Selain saya dan Roziah Adama yang berjaya mara ke peringkat akhir pada Oktober nanti, peserta Hasni dari UKM, Nur Hafizah dari UM, Zulfazlan dari UPM dan Mohd Azrein dari UPSI turut sama berjaya. Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada mentor saya iaitu En. Azman Ismail dan para pensyarah yang banyak memberi kritikan bagi memperhalusi pembentangan saya iaitu En. Zakaria Ariffin, En. Ridzuan Harun dan Dato' Dr. Anwar Ridhwan serta Kak Siti Jasmina yang sudi mendengar krtikan saya terhadap karya beliau itu. Sesungguhnya semangat kalianlah yang saya pinjam untuk menyemarakkan arus pembentangan saya.

Juga terima kasih kepada emak dan cikgu yang sentiasa mendoakan serta Kak Rozi yang banyak memberikan kerjasama.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar