Rabu, 05 Juni 2013

CATATAN MANIS UNTUK KENANGAN MANIS

6 JUN 1987, Sabtu, 8:30 malam pada bulan Syawal, emak melahirkan saya setelah sembilan bulan saya hidup di dalam rahim emak. Berbeza dengan semua abang saya yang dilahirkan secara moden di Hospital Kuala Lumpur, saya menjadi satu-satunya anak emak yang dilahirkan secara tradisional, di Kampung Nakhoda Kiri. Saya percaya, perasaan emak ketika melihat saya selepas bertarung melahirkan saya tentu terlalu indah. Segala sakitnya melahirkan saya tentu sekali hilang dengan melihat mata saya yang masih tertutup rapat, sepasang tangan kecil dan telapak kaki saya yang masih merah, dengan kulit yang halus bagai sutera. Cerita emak juga, saya hampir lemas kerana ketika saya dilahirkan, tali pusat membelit leher saya. Barangkali bukan tali pusat itu yang membelit leher saya, mungkin kerana saya yang bermain-main dengan tali pusat itu sehingga akhirnya membelit leher saya sendiri!

Bukan mudah untuk memilih nama bagi saya. Banyak nama yang emak fikirkan. Antaranya yang masih saya ingat, Azizah. Kata saya kepada emak satu masa dulu, macam nama orang lama-lama saja. Akhirnya, emak memilih Nur Fatiha Fadila sebagai nama untuk saya. Saya sangat bersyukur dengan nama itu, nama yang amat saya suka dan indah bagi saya. Saya gembira apabila saya dipanggil dengan nama pemberian emak. Setiap kali saya dipanggil sebagai "Fatiha" atau "Nur Fatiha Fadila", panggilan itu adalah sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap emak yang memberikan saya nama ini. 

Ketika baru dilahirkan

Saya sentiasa tidak lupa, semasa kecil apabila hari lahir saya tiba - emak akan bawa saya ke kedai kek dan membelikan saya sebiji kek strawberi yang saya suka (semasa kecil). Antara hadiah hari lahir yang emak berikan kepada saya ialah tabung berbentuk rumah. Atap tabung itu berwarna merah. Pintu 'rumah' tabung itu juga berwarna merah. Pada hari-hari lahir yang lain, emak akan menghadiahkan saya buku. Ketika usia saya sembilan tahun, emak membawa saya ke pasar raya Warta dengan menaiki bas. Seperti  biasa, emak memegang tangan saya sepanjang masa. Barangkali pada emak saya harta yang begitu berharga. Perasaan yang sama ketika saya membawa emak ke mana-mana setelah saya dewasa.

Emak menyuruh saya memilih buku cerita berkulit keras. Saya memilih buku cerita bersaiz besar, berkulit keras, berwarna kuning. Kisah dongeng. Kalau tidak silap saya, buku itu berharga RM 20. Sekitar tahun 1990-an itu, jumlah berkenaan bukan sedikit. Terima kasih emak kerana sanggup berhabis duit untuk hadiah itu. Di halaman pertama buku itu, emak menulis "Selamat Hari Jadi Adik". Sayangnya, buku itu hilang entah ke mana. Namun, saya tidak pernah lupa kenangan saya dengan buku itu. Saya percaya, minat saya terhadap buku dipupuk emak antaranya dengan cara itu. Pernah saya meminta sebuah basikal memandangkan saya tidak pernah punya basikal sedangkan kawan-kawan lain punya basikal masing-masing, tetapi emak tidak pernah beri malah tidak pernah izinkan saya menunggang basikal. Emak tidak tahu bahawa anak perempuan emak ini lasak orangnya. Saya meminjam basikal rakan, baru 10 minit saya menunggang, saya jatuh di atas jalan tar dan mendapat luka sehingga menerima lima jahitan. Kejadian itu berlaku ketika hari terakhir Ramadan tahun 1997. Saya sembunyikan luka itu daripada pengetahuan emak untuk beberapa jam sehinggalah emak mendapat tahu apabila darah luka itu tidak berhenti mengalir dan tertitis di atas lantai. Keesokan hari, saya berhari raya dengan kaki berjahit, pergerakan terbatas namun masih menikmati aidilfitri seperti kanak-kanak sihat.

Ketika berusia 10 bulan
Emak sentiasa memberikan kepercayaan untuk saya lakukan apa-apa yang saya mahu. Walaupun banyak kali emak kurang setuju dengan kemahuan saya, ketidaksetujuan itu tidak lebih daripada keraguan emak terhadap kemampuan saya khususnya yang melibatkan keselamatan saya. Emak tidak setuju untuk melepaskan saya menyertai Ekspedisi Kepimpinan di Gunung Nuang. Emak takut saya hilang di dalam hutan sedangkan sudah banyak kali saya mengikuti aktiviti perkhemahan. Saya perlukan lima hari untuk memujuk emak agar membenarkan saya mendaki Gunung Nuang pada tahun 2003. Selain itu, emak sentiasa percaya pada saya. Kepercayaan yang amat saya hargai. Emak selalu berkata kepada saya dan kepada sahabat rapat emak. Emak tidak risau akan saya jika emak sudah tiada. Katanya, emak tahu saya boleh jaga diri.

Hari ini ulang tahun kelahiran saya. Namun, sejak meningkat remaja, saya sentiasa sedar bahawa hari ulang tahun kelahiran bukanlah hari untuk saya, sebaliknya hari untuk memperingati kepayahan dan pengorbanan emak berjihad melahirkan saya, menyusukan saya dan membesarkan saya. Allah juga yang akan membalas jasa baik emak atas pengorbanan yang tidak kecil itu, walau sudah 26 tahun berlalu. Dengan melahirkan saya, emak membuktikan bahawa dirinya seorang yang berani, dan saya percaya keberanian emak sentiasa ada dalam jiwa saya.

Beberapa minggu lalu, seorang guru saya memberikan tazkirah panjang sebelum kuliah dimulakan. Bagi sesetengah pelajar, tazkirah itu dianggap sebagai leteran. Namun bagi saya tazkirah atau nasihat guru itu ialah makanan jiwa yang dengannya memberi kesempatan untuk saya mengaudit diri, semakin sedar walau mungkin terlewat sampai kepada saya. Ketika berbicara tentang ibu, guru ini berkata: "Anda sentiasa remaja selagi anda mempunyai ibu. Sebab, di mata ibu, anak-anaknya sentiasa muda yang dengan pandangan itu memerlukan ibu sentiasa untuk menasihati dan menegur anak-anaknya ... anda sentiasa remaja selagi anda punya ibu kerana di mata ibu anda, anda tetap anaknya yang masih muda mentah dan selalu perlu nasihatnya ..." Maka, bersyukurlah anda yang masih punya insan untuk anda panggil ibu atau emak. Apabila mereka tiada, panggilan itu bukan lagi ungkapan yang dapat sering anda sebut seperti biasa. Seperti saya, yang selalu rindu dan teringin untuk menyebut ungkapan e.m.a.k. Saya terlepas pandang betapa 'remaja'nya saya di mata emak selama ini. Anda, jangan terlepas pandang seperti saya. Saya tidak dapat menikmati pengalaman yang lebih panjang dengan emak. Banyak yang saya rancangan untuk emak, tidak sempat saya lakukan. Namun seperti kata seorang pujangga, saya sentiasa sempat untuk mendoakan emak. Itu sahaja yang saya ada untuk 'berhubung' dengan emak. Anda, lakukanlah yang TERBAIK dan LUAR BIASA TERBAIK untuk ibu anda selagi mereka masih mampu anda dakap, kucup dan bertanggungjawab kepada mereka.

---
Terima kasih emak, kerana suka mengikat tocang rambut saya walaupun saya tidak suka ikatan seperti pokok kelapa dan tocang dua itu ketika masih kecil. Terima kasih emak kerana akan selalu melipat tangan baju kurung setiap kali sebelum saya pergi ke sekolah (sekolah rendah). Terima kasih emak kerana selalu masak makanan kegemaran saya. Terima kasih emak kerana selalu beri percaya kepada saya. Terima kasih emak kerana selalu setia menunggu kepulangan saya, sehinggalah emak sendiri yang 'pulang'. Terima kasih emak kerana mengandungkan saya, melahirkan saya dan membesarkan saya sehingga akhir usia emak. Semoga kita dapat bersatu kembali dalam keadaan yang paling indah.


Ya Allah, kasihanilah emak sebagaimana emak mengasihaniku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar