Minggu, 23 Juni 2013

KERANA SAYANG

SEJAK beberapa minggu lalu, kucing-kucing saya menghidap sakit mata. Seperti manusia, sakit mata pada haiwan juga mudah menjangkiti sesama mereka. Bermula dengan Mama Kancil, budak-budak ayam pula dijangkiti sakit mata selepas Omi dan Awang sembuh daripada jangkitan yang sama. Setakat ini, Jati tidak lagi dijangkiti virus itu. Budak-budak lain memperlihatkan perkembangan yang baik setelah saya berikan mereka ubat mata Nicol Eye Drop. Ubat titis ini dibeli di klinik-klinik biasa saja. Ubat mata manusia boleh diguna pakai untuk haiwan. Tiada masalah cuma kena berhati-hati dengan jumlah dos.

Namun, sakit mata Jebat menjadi semakin serius. Bahagian matanya bengkak teruk. Sekali pandang, saya tahu sakitnya tidak seperti budak-budak lain yang sembuh setelah diberi ubat titis. Selain Jebat, Sofi juga menunjukkan simptom untuk menjadi teruk seperti Jebat. Khuatir sakit mereka akan melarat, Jebat dan Sofi dibawa ke Gasing Veterinary Hospital pada petang Sabtu lalu. Kali ini, Dr. Tan yang merawat mereka. Ketika melihat Sofi, Dr. Tan terus memberitahu yang Sofi menghidap classical flu. Saya tidak faham. Sepanjang pengamatan saya, Sofi tidak bersin atau selesema. Matanya saja yang bengkak dan berair. Dr. Tan menjelaskan tidak seperti manusia, jangkitan selesema pada kucing boleh berlaku pada tiga bahagian. Pertama ialah hidung iaitu hingus akan mengalir. Kedua pada bahagian kaki. Dalam hal ini, kucing yang menghidap selesema akan berjalan seperti kucing tempang manakala yang ketiga adalah seperti yang dihidapi Sofi, Jebat dan budak-budak lain di rumah iaitu virus selesema menyerang mata, membuatkan mata berair dan bertahi mata warna hijau. Bengkak pada bahagian mata Jebat berlaku apabila antibodi Jebat berusaha menahan serangan virus.

Mata Jebat yang bengkak
Sofi diberi satu suntikan antibiotik. Akan tetapi, Jebat diberi dua jenis suntikan, ditambah lagi suhu badan Jebat yang amat tinggi.  Oleh sebab itulah bengkak pada mata Jebat luar biasa besar. Jika Jebat tercakar bahagian matanya, kebarangkalian untuk dia hilang penglihatan agak besar. Oleh itu, Dr. Tan menasihatkan saya agar memberi mereka berdua memakai kolar. Kedua-dua mereka juga perlu dipisahkan daripada kucing-kucing lain agar jangkitan dapat dikawal. Sofi dan Jebat diberi pil antibiotik yang perlu dimakan sehingga habis untuk tempoh tujuh hari. Dr. Tan juga memberi antibiotik lain untuk budak-budak lain dan perlu dimakan sehingga habis. 

Jebat dan Sofi dalam pengasingan
Sebelum ini, saya memberitahu Dr. Tan bahawa saya ada berikan Jebat pil demam. Saya beri apabila saya dapati suhu badannya tidak normal. Menurut Dr. Tan, pil demam bagi kucing merangkumi juga antibiotik. Jadi, pil itu perlu diberi sehingga habis dan bukan ketika suhunya tinggi sahaja. Saya baru tahu tentang hal ini.

Petang semalam, saya membawa Jebat, Jati dan Mama Jie Jie ke hospital lagi. Saya tiba di hospital pada jam 6:30 petang. Akan tetapi, hospital sudah ditutup. Saya benar terlupa bahawa Gasing Veterinary Hospital beroperasi dari jam 10 pagi hingga 8 malam pada Isnin-Sabtu manakala 10 pagi hingga 6 petang pada hari Ahad. Jebat dibawa atas permintaan Dr. Tan pada Sabtu lepas yang ingin melihat keadaan bengkak mata Jebat. Manakala Mama Jie Jie dan Jati dibawa untuk diberi suntikan vaksin. Semalam ialah kali kedua Jati berhalangan untuk divaksin. Kali pertama ketika dibawa ke SPCA, doktor tidak mahu menyuntik Jati kerana tubuhnya yang masih kecil.
----
Lanang Jati saya semakin membesar. Setelah lima ekor anak kucing yang saya kutip sepanjang tahun ini, Jati satu-satunya yang sihat. Hari ini, genap sebulan Jati dalam jagaan saya. Saya masih terbayangkan wajahnya yang bulat dan tubuhnya yang kecil ketika kali pertama saya melihat dia. Kini, wajahnya tidak bulat lagi. Namun tubuhnya semakin besar dan mantap. Lanang Jati juga semakin menyerlahkan sifatnya yang tidak mahu mengaku kalah, kental tetapi kadang-kadang kurang sabar. Satu perkara yang kekal malah bertambah ialah kenakalannya yang tidak dapat mengatasi mana-mana kucing yang pernah saya jaga. Kenakalannya itu menjadikan dia begitu comel dan istimewa. Malam tadi, ketika saya membuat kerja penulisan - Jati saya biarkan bermain. Kebiasaannya, Jati akan masuk ke dalam rumahnya untuk membuang air seni.

Jati jalan-jalan petang semalam

Akan tetapi, setelah saya berhenti menulis - saya menoleh ke sisi saya yang menempatkan fail berisi data-data tertentu. Ketika itu, saya melihat Jati berdiri dalam posisi yang agak pelik di dalam fail, di atas bahan-bahan bercetak. Rupa-rupanya, Jati sedang membuat 'lakaran' di atas kertas-kertas itu. Saya terus memegang tubuhnya, membiarkan dia menyelesaikan lakarannya itu supaya tiada yang tercicir. Marah? Tidak sama sekali sebaliknya saya berasa lucu apabila dia menoleh dan memandang saya yang memegang tubuhnya. Pandangannya seolah-olah mengatakan "Cantik tak Jati lukis ni?" Dengan lakaran Jati itu, bahan-bahan itu terpaksa saya cuci dan keringkan kerana amat perlu untuk kerja saya.


Kerja seni Jati
Cuai? Saya tidak fikir tindakan Jati itu atas kecuaian saya. Jati itu yang fikirannya terlalu 'di luar kotak'. Ini kali pertama. Selepas ini saya perlu berhati-hati. Jika kejadian ini berlaku lagi barulah boleh saya dikatakan cuai. Sebagai pencinta haiwan, saya tidak akan marah dengan kenakalan mereka itu kerana saya sedar mereka melakukannya dengan ketiadaan akal. Sebaliknya, kenakalannya itu mengajar saya untuk berfikir dan bersabar. Sekiranya saya memarahi dan memukul Jati, samalah saya dengan penjual Bak Kut Teh yang memukul anak anjingnya semata-mata marah apabila mangkuknya dipecahkan anak anjing tidak berakal itu.
Jati memang suka berada dekat dengan kerja saya
Gara-gara Jati


Di Gasing Veterinary Hospital, Petaling Jaya - saya sering bertemu dengan rakan-rakan yang sealiran jiwa. Pertemuan yang sekejap tetapi kami selesa berkongsi cerita tentang 'anak-anak bulus' kami. Yang anjing katek milik wanita baju merah itu sudah tua. Matanya ada katarak. Pasangan yang di hujung itu sedang membelai anjing jalanan yang diambil sejak empat bulan lalu. Anjing itu ada masalah usus dan akan menjalani pembedahan. Mereka membelai anjing itu seolah-olah itulah anak mereka. Dr. Goh pula sedang memberi penerangan tentang sepasang anjing yang sudah dua bulan diuji darah bagi memastikan mereka sihat daripada jangkitan kuman. Wanita Inggeris dan pasangannya lelaki berbangsa Cina sedang membelai kucingnya yang sakit buah pinggang. Ketika hendak pulang, seorang wanita India masuk. Dia wanita yang sama menjadi teman bual saya ketika saya membawa Jati yang pengsan beberapa minggu lalu. Ketika itu, dia datang membawa anak kucing jalanan yang ditemui. Sabtu lalu juga, dia datang membawa anak kucing berusia satu bulan yang dikatakan dibuang di halaman rumahnya. Sebelum meninggalkan hospital itu, saya katakan kepada dia "Terima kasih kerana tolong jaga kucing itu."

Meow meow.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar