Selasa, 05 Mei 2009

Hari Ibu

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.


ibu mithali ibu yang sejati
kasih sayangmu disanjung tinggi
pengorbananmu ...

10 Mei 2009 merupakan hari yang istimewa buat semua yang bergelar ibu di seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa. Hari Ibu menjadi hari yang sangat bermakna buat anak-anak dan ibu-ibu yang saling mengasihi. Namun begitu, Hari Ibu bukan hanya jatuh pada tarikh dan masa tertentu yang telah ditetapkan. Sebaliknya, setiap hari ialah Hari Ibu. Setiap hari merupakan hari yang wajar untuk para anak memperlihatkan kasih sayang yang melimpah ruah kepada ibu. Bukan semata-mata pada Hari Ibu yang diiktiraf dunia itu.

Seorang ibu yang telah bersusah payah membesarkan anak-anaknya dari sekecil tapak tangan sehinggalah membesar sebagai insan yang cemerlang tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk dirinya diraikan pada Hari Ibu tersebut. Lebih istimewa bagi ibu sekiranya anak-anak sentiasa mengingatinya setiap masa, terutamanya dalam bilah-bilah doa melalui solat ikhlas yang didirikan.

Sesungguhnya, pengorbanan ibu tidak mampu dibalas hanya dengan mengingati Hari Ibu yang berlangsung tahun demi tahun, sekali dalam setahun. Anak-anak wajar memperlihatkan kasih sayang dan rasa prihatin mereka terhadap ibu pada setiap masa tanpa mengira tarikhnya. Luangkan sedikit masa berkualiti daripada 24 jam anugerah Ilahi untuk dimanfaatkan bersama ibu.
Hambatan kehidupan kini memang tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak menjarakkan ruang fizikal anak dengan ibu. Namun, kemudahan teknologi yang sedia ada mampu merapatkannya. Bagi para ibu yang agak kehadapan dengan teknologi canggih seperti MMS, Video Call atau e-mel; anak-anak tidak mempunyai alasan untuk gagal memanfaatkan ruang-ruang itu bagi menceriakan hari-hari seorang ibu.

Sebelum melanjutkan pengajian, penulis telah bersusah-payah mengajar Bonda agar faham dan tahu untuk menggunakan khidmat pesanan ringkas atau sms. Sebagai seorang pelajar, memanglah agak berat untuk menghubungi Bonda setiap hari. Kos wang agak membebankan. Namun, dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas, persoalan itu mampu dirungkaikan.

Lebih mudah untuk berhubungan dengan Bonda menggunakan sms. Tidak perlu berfikir panjang tentang kosnya dan Bonda dapat dihubungi pada bila-bila masa. Begitu juga sebaliknya. Pada awalnya, memang sukar untuk mengajar Bonda menggunakan sms. Kadangkala mencabar kesabaran diri. Namun alhamdulillah, Bonda berjaya juga menggunakan khidmat pesanan ringkas itu. Comelnya. Bonda yang sering terkial-kial menekan punat-punat huruf di papan kekunci telefon bimbit dahulu sudah mampu melakukannya dengan lebih pantas sekarang.

Bagi yang berkemampuan tetapi berjauhan, lakukanlah segala yang anda mampu untuk membahagiakan ibu anda. Sematkan dalam diri bahawa kekangan masa untuk sering berhubungan dengan Bonda mampu diatasi sekiranya keikhlasan dan daya usaha yang jitu ada di situ.

Bersempena dengan Hari Ibu yang menghiasi kalendar tahunan, ayuh muhasabah diri. Adakah kita sudah betah dipanggil anak mithali yang sentiasa menyenangkan hati ibu? Adakah benar kita terlalu baik sehingga tidak pernah melukakan hati ibu walau sehiris Cuma lantas membuatkan kita sentiasa berasa selesa? Apakah kita tidak pernah mengingati santun kasih ibu yang sangat jarang meninggalkan kita sendirian di kala kecil dahulu? Luangkanlah setiap masa yang Allah kurniakan untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan ibu lantas menyedarkan kita untuk tekad menjadi anak yang terbaik untuk ibu.

Untuk anak-anak yang tidak punya ibu lantaran pemergian abadi, jangan lupa untuk selalu mendoakan kesejahteraan ibu di sana. Jangan lupa untuk sentiasa merapatkan hubungan silaturrahim dengan kenalan ibu. Jangan lupa untuk berbuat baik untuk ibu. Semoga anak-anak akan menjadi anak-anak terbilang yang mampu membantu ibu di hari akhirat kelak.
Buat Bonda tercinta, terima kasih atas pengorbanan yang tidak terhingga. Semoga segala kebaikan Bonda akan dibalasi dengan kemudahan di Mahsyar kelak. Buat Ustazah Hasma yang baik budinya, terima kasih atas keprihatinan yang dititipkan. SELAMAT HARI IBU hari-hari.
Menatap Bonda




Bonda,
tika malam mengundang tiba
kucupan tulus menjelma di dahi
sentuhan mesra di pertemuan rautmata
dalam doa
: kaudodoi lagu cinta Ilahi :
membawa mimpiku ke alam indah
menuntun kembara daerah cinta.

Bonda,
saat tangis kudendangkan
kala unggas riang menyerikan malam
kautegar membuang lena
menyisih dukaku berselimut ria
dengan sahaja
: kaupalingkan resah :

Bonda,
kini kau mengejar tua
waktu yang pantas memamah wajah
sedetik hatiku mengenal hatimu
: kutemui pelangikasihabadi :
istana indah, daerah sunyi tanpa usik
: bergema suluh cintamu :
kasih ‘tak pernah padam.

Bonda,
saban sujud menyembah doa
diseri segar mawar kirana.
kukalungkan lagu cinta
bersama rasa berharga
tanpamu - kusepi -
tanpamu - tiada erti-
: Bonda :

Tidak ada komentar:

Posting Komentar