Selasa, 31 Maret 2009

Halusinasi seorang kanak-kanak


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati


Kanak-kanak yang membesar tanpa perhatian ibu bapa mempunyai kebarangkalian yang besar untuk berhadapan dengan masalah emosi. Mungkin kebanyakan ibu bapa tidak mengambil serius perkara ini. Hambatan hidup yang memerlukan individu mengejar masa semaksimum mungkin membuatkan sesetengah ibu bapa gagal menyelami perasaan anak kecil mereka. Tanpa disedari, anak-anak ini dibiarkan tandus emosinya daripada mendapat belaian prihatin dan kasih sayang yang sepatutnya.


Kadang kala, ibu bapa beranggapan bahawa mereka bukan berniat sengaja menjarakkan masa bersama anak-anak. Bagi ibu bapa, mereka perlu fokus kepada kerjaya demi masa depan anak-anak. Hal ini sangat ketara terutamanya dalam masyarakat moden yang begitu terpengaruh dengan alasan seperti itu bagi menyokong tindakan mereka.

Hakikatnya, anak-anak itu masih terlalu muda untuk memahami pernyataan itu. Kebiasaannya, apabila seorang anak itu mula memasuki alam persekolahan, mereka akan turut dihambat dengan jadual-jadual persekolahan yang tidak kurang ketatnya. Seawal jam enam, anak-anak perlu bersiap untuk ke sekolah kebangsaan. Petangnya pula perlu menghadirkan diri di sekolah agama.

Hal ini sedikit sebanyak akan menjarakkan hubungan emosi antara anak dan ibu bapa sekiranya ibu bapa kurang prihatin untuk mewujudkan masa berkualiti dengan anak-anak. Bagi ibu bapa berada, mereka lebih selesa menyerahkan tugas menjaga anak kepada pembantu rumah. Pada ketika ini, pembantu rumah berperanan sebagai ibu dan bapa kepada ana-anak. Namun begitu, anak-anak tetap akan merasai perbezaannya. Anak-anak tetap akan mengharapkan perhatian daripada ibu bapanya.


Sekiranya anak-anak seperti ini tidak dijaga emosinya, kebarangkalian untuk anak-anak untuk mempunyai 'teman' tidak mustahil. Tanpa sedar, anak-anak ini akan mula mencipta teman atau sahabat yang dicipta melalui proses halusinasinya. Sekiranya hal ini tidak diambil seirus oleh para ibu bapa, masalah halusinasi anak-anak ini mungkin akan melarat menjadi masalah psikologi yang lebih besar sejajar dengan perkembangan usia mereka.


Berdasarkan penelitian terhadap beberapa kajian psikologi, penulis sedang berada dalam proses menghasilkan sebuah karya cerpen yang berjudul "Di Tabir Jendela Pandangnya". Kisah berkisar tentang seorang anak bernama Anis yang ditemani sahabat ciptaannya Sofia lantaran kesibukan ibu dan bapa menguruskan perniagaan.


Saban masa, Anis lebih gemar menghabiskan masa bersama Sofia. bagi Anis, Sofia merupakan sahabat sejati yang sentiasa ada untuk mendengar permasalahan dan kesunyiannya. Anak tunggal yang berusia tujuh tahun itu mula menyendiri dan lebih selesa menghabiskan masanya bersama Sofia. Anis menjadi sangat emosional apabila ibu dan ayahnya memarahi Anis yang asyik bermain dengan sekaki payung berwarna hitam yang ditemuinya lewat di kaki lima jalan.


Bagi Anis, payung itu merupakan hadiah istimewa daripada Sofia. Bagi Anis juga, payung hitam yang lusuh itu sangat cantik berwarna merah jambu. Anis memberontak apabial ibunya ingin membuang payung itu. Kedua-dua ibu dan ayah Anis enggan mempercayai cerita karut Anis tentang Sofia yang bersahabat dan tinggal sebilik dengannya.

...


Semoga anak-anak muslim terlindung daripada gejala psikologi seperti ini. Yang penting, setiap ibu bapa perlu memahami daya emosi anak-anak sejak lahir dan lebih prihatin dengan setiap perkembangan perasaan mereka. Sesungguhnya, anak-anak merupakan harta yang tidak ternilai harganya.


Wassalam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar