Rabu, 12 Juni 2013

TENTANG JATI

HARI INI sudah 19 hari Jati dalam jagaan saya. Alhamdulillah, Jati bertambah sihat berbanding hari pertama saya mengambilnya. Kini, badannya sudah sangat mantap. Perwatakannya? Sesuai dengan nama yang diberi kepadanya. Kadang-kadang tidak larat untuk saya melayan kerenahnya yang nakal, lasak dan suka bermain. Setakat ini, Jati tidak pengsan lagi selain pada Isnin minggu lalu. Ketika Dr. Tan memeriksa Jati, tiada sebarang simptom Jati sakit. Oleh itu, Dr. Tan meminta saya membawa Jati terus ke hospital sekiranya Jati pengsan lagi. Ujian darah untuk Jati tidak boleh dilakukan lagi kerana saiz Jati yang masih kecil. Doktor memerlukan tiga ml darah untuk ujian dilakukan bagi mengesan penyakit Jati. Dengan jumlah itu, dikhuatiri Jati akan kekurangan darah dan menjejaskan kesihatannya. Berdasarkan simptom dan keadan semasa Jati pengsan yang saya ceritakan kepada Dr. Tan, ada kemungkinan masalah dengan otak. Lima jam pengsan itu jangka masa yang terlalu lama untuk sawan kerana menurut doktor sawan tidak menyebabkan kucing pengsan selama itu. Selain ujian darah, doktor mengatakan ujian dengan MRI juga boleh dilakukan. Akan tetapi, kos untuk ujian MRI agak mahal. Doktor juga tidak mengesyorkan ujian itu dilakukan lagi. Jika Jati pengsan lagi, barulah tindakan susulan difikirkan.

Ingat, saya katakan Jati sangat lasak? Yup, Jati suka mengejar saya. Aktiviti kesukaannya adalah melatih gigi-giginya yang sangat tajam itu dengna menggigit tangan dan jari saya. Asyik-masyuk dia dengan aktiviti itu. Jati sangat jelas selesa bermain dengan manusia. Apabila saya libatkan Jati dengan saudara sebulunya yang lain seperti Oren, Jebat, Aduka dan Sofi yang juga lasak - Jati hilang punca dan akan memencilkan diri. Akan tetapi, saya perhatikan Jati lebih selesa dengan Omi. Lucu juga melihat Jati yang marah jika Mama Kancil mahu bermain dengannya, namun jika dia yang menganggu Mama Kancil, itu tidak mengapa!
Satu perkara yang saya tidak gemar dengan Jati ini ialah sikapnya yang tidak gemar minum air. Hal in menyebabkan Jati sering sembelit. Jika diberi makanan vitamin dalam bentuk cecair, Jati bukan main suka pula!

Seronok sangat melihat perkembangan Jati. Saya harap Jati tidak akan pengsan dan terus sihat. Saya boleh leka memerhati Jati bermain dan melayan kenakalannya. Itu yang pelik bagi pencinta kucing. Kadang-kadang rasa rimas dengan kenalan anak-anak bulus yang melampau, namun melihat wajah dan gelagat mereka tetap menyenangkan hati.

Antara pengalaman tidak berapa menarik tetapi manis ialah kenakalan Jati menganggu kerja penulisan saya. Apabila saya marahkan dia, Jati beralih tumpu kepada fon telinga yang selalu saya guna untuk mendengar rakaman suara. Dengan giginya yang tajam, dia merosakkan wayar halus pada fon telinga sehingga menyebabkan fon telinga saya gagal berfungsi! Tidak mengapa, Jati tetap comel dengan kenakalan itu.

Jati main fon telinga saya sampai rosak!
Jati main koala saya, Mama Kancil main ekor Jati
Jati tolong Profesor Tam selongkar rak buku saya sambil diperhatikan Aduka
Jati  senang hati 'membantu' kerja-kerja saya
Jati berjaya menakluk angry bird

Lokasi Jati untuk berehat selepas penat bermain

Tidak ada komentar:

Posting Komentar