Sabtu, 15 Juni 2013

SELAMAT DATANG AHMAD HADIF

SAYA mempunyai sahabat yang sejak dari darjah satu sehingga tingkatan lima berada di dalam kelas dan aliran yang sama. Kami juga jiran kampung. Jika saya di Kampung Nakhoda, dia pula di Kampung Laksamana. Tamat sekolah, kami akan pergi tuisyen bersama-sama. Dia dan saya mempunyai disiplin yang hampir sama cuma tuju kami berbeza. 54 hari yang lalu, dia selamatkan melahirkan anakandanya yang sulung. Baru petang ini saya berpeluang menziarahinya selepas bergegas pulang dari kuliah. Sesungguhnya saya memang teruja untuk melihat wajah bayi itu. Sesiapa saja  suka melihat wajah bayi yang mulus. Wajah yang paling jujur. Seperti yang dikatakan Rumi :To me nothing in the world is as precious as a genuine smile, especially from a child

Ahmad Hadif yang asyik lena. Dia tidak tahu ada mak cik menziarahinya.
Sahabat saya bertemu jodoh dengan rakan sekelas kami juga. Percintaan mereka bermula sejak di tingkatan satu kemudian berpisah dan kembali bersatu dengan ikatan yang sah. Satu perkara yang saya suka tentang sahabat saya ini, dia jelas dengan matlamatnya dalam setiap yang dia lakukan. Saya kira, ini persamaan kami yang paling kuat. Dia jelas dan bersungguh untuk bernikah, hamil dan melahirkan anak pertamanya pada usia 25 tahun dan semua itu Allah izinkan untuk dia. Ahmad Hadif, nama anakanda sulungnya yang bermaksud Matlamat itu sendiri menjadi manifestasinya. 

Memandangkan saya dan suaminya itu rakan sekelas dan rakan lama, maka sudah menjadi kebiasaan kami untuk menggunakan kata sapaan mesra yang tidak formal. Akan tetapi, apabila dalam rancak perbualan setelah agak lama kami tidak bersua, sahabat saya ini terlupa bahawa rakan sekelas itu sudah menjadi suaminya dan dia terlepas memanggil suaminya itu dengan sapaan biasa seperti yang digunakan saya, maka itu satu kelucuan. Dia terlupa bahawa dia bukan lagi rakan sekelas zaman persekolahan. Akan tetapi sudah menjadi isteri dan sahabat yang diikat dengan lafaz ijab dan kabul.

Doa saya kepada Ahmad Hadif semoga sentiasa meneguhkan diri dengan matlamat hidup yang sentiasa benar di sisi Allah SWT.


Dari kanan: Sahabat saya yang kini bergelar jururawat terlatih, saya, sahabat saya yang kini bergelar doktor perubatan dan sahabat yang sama nama dengan saya, yang kini menceburi bidang kejuruteraan mekanikal. Kami rakan sekelas yang berpisah hanya selepas masing-masing selesai dengan Kertas 2 Biologi pada 3 Disember 2004 untuk Sijil Pelajaran Malaysia. Semoga mereka terus berjaya di dunia dan di akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar