CUTI SEMESTER yang panjang bermula. Bagi sesetengah pelajar yang jauh meninggalkan kampung halaman maka peluang cuti panjang sering dimanfaatkan untuk pulang ke kampung masing-masing. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Nakhoda. Oleh itu, makna kampung bagi saya ialah tempat seseorang itu dilahirkan dan dibesarkan. Kampung Nakhoda, satu petempatan orang Melayu yang tidak jauh lokasinya dengan Kuala Lumpur, iaitu hanya dengan 15 minit perjalanan. Dengan jarak perumahan yang kini hanya lima minit dari Kampung Nakhoda, boleh dikatakan saya pulang ke kampung pada setiap hari. Dengan itu, saya tidak mampu menyelami perasaan rakan-rakan yang sentiasa menunggu hari cuti untuk pulang ke kampung yang jauh dari pandangan.
Kenapa saya menyebut tentang "kampung"? Antaranya kerana sejak beberapa hari yang lalu, ayat-ayat basahan antara saya dan rakan pelajar yang lain adalah "Tak balik kampung?". Apa itu kampung? Seperti yang dijelaskan pada awal tulisan ini, kampung adalah satu tempat kita dilahirkan dan dibesarkan. Di kampung, ada yang menanti kepulangan kita. Di kampung ada yang merindui pemergian kita.
Sejak emak saya meninggal dunia, saya sentiasa berasakan bahawa Perkuburan Sungai Tua yang saya lalui saban hari itulah kampung yang amat saya senangi. Pada masa dahulu khususnya ketika masih kecil, perkuburan itu sering menjadi kawasan yang takut untuk dilalui, apatah lagi pada waktu malam. Namun, itu semua dahulu. Kini, selalu menyedari betapa tenang saya rasa setiap kali mengunjungi perkuburan itu yang di dalamnya bersemadi jasad ibu saya. Perkampungan abadi itu ialah kampung yang akan kita kembali kepadanya, setelah kita tiba di akhir jalur hidup kita di dunia ini nanti. Kak Ena, mantan Editor Dewan Sastera yang turut hadir mengiringi jenazah emak berkata, "Sekarang, kubur bukan tempat yang menakutkan buat Tiha. Percayalah."
Dalam kitab Roh, Ibn Qayyum mengupas beberapa hadis dan ayat al-Quran tentang alam roh dan alam kubur. Menurut kitab itu, penghuni alam barzakh sentiasa tertunggu-tunggu kunjungan dan salam daripada orang yang masih hidup. Bagi setiap salam yang diberikan, azab kubur dihentikan untuk memberi ruang kepada roh menjawab salam daripada manusia yang masih hidup. Dengan itu, persepsi saya terhadap tanah perkuburan yang sering menjadi ketakutan saya semasa kecil itu hilang sama sekali. Malah, saya sentiasa ternanti-nanti masa untuk mengunjungi "kampung abadi" itu yanng bererti mengunjungi emak saya di perkampungannya kini. Di situ, ada ketenangan dan di situ selalu mengingatkan saya betapa saya juga akan mengikuti jalan mereka yang sudah berada di perkampungan itu. Semoga, jalan saya nanti akan dipermudahkan Allah SWT. Oh, ketiga mengunjungi perkuburan emak pada petang Jumaat yang lalu, ada tiga orang kanak-kanak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Mereka bermain layang-layang di perkampungan abadi itu. Pemandangan itu sangat cantik bagi saya.
Perkampungan abadi |
---
Barangkali, kerana masih segar dengan ayat basahan "Tak balik kampung?" itu, saya tergerak untuk mengitari desa kelahiran saya. Kampung Nakhoda itu hanya berjarak lima minit perjalanan dengan motorsikal dari kediaman saya kini. Malah, kampung itu juga yang perlu saya lalui untuk pergi dan pulang ke mana-mana. Petang tadi, saya melawati kawasan-kawasan di Kampung Nakhoda. Saya melalui rumah arwah Bidan Hawa, yang membantu emak ketika hendak melahirkan saya. Saya juga mengunjungi rumah yang pernah saya duduki dari usia 3-9 tahun. Pengalaman yang saya tidak lupa di rumah kecil itu ialah emak yang dengan berat hati terpaksa memberi empat ekor kucing kami kepada SPCA kerana keluasan rumah yang tidak mengizinkan. Sehari selepas dihantar ke SPCA, emak menghubungi jabatan itu untuk bertanya sama ada kucing-kucing saya itu (Tompok, Ninja dan Cicak iaitu saudara kepada Boboy) boleh diambil semula. Kata pegawai, bayaran sebanyak RM50 untuk setiap ekor diperlukan jika mereka mahu diambil. Maka, emak terpaksa membiarkan saja mereka. Entah bagaimana nasib mereka. Saya tidak pernah melupakan mereka. Setiap kali sebelum ke sekolah, saya akan berkata kepada mereka terutamanya Tompok yang sangat nakal agar "Jangan nakal-nakal tau. Nanti kakak balik, kita main" sambil tangan saya mengusap kepala Tompok. Ketika itu saya berusia sembilan tahun (1997). Kemudian, kami berpindah ke sebuah rumah yang lebih selesa, tidak jauh dari rumah sebelumnya. Di rumah itu, saya melewati usia kanak-kanak hingga remaja iaitu 9-16 tahun. Boleh dikatakan, 2/3 daripada usia saya kini dihabiskan di Kampung Nakhoda.Namanya saja Kampung Nakhoda, akan tetapi fizikal termasuklah rumah-rumah di kampung itu tidak langsung mencirikan makna 'kampung' seperti yang difahami umum. Hendak melihat ayam pun tidak mudah. Oleh itu, tidak hairanlah jika generasi terkini Kampung Nakhoda tidak kenal buah getah mahupun pokok getah dan yang sering dikaitkan dengan "kampung". Sepengetahuan saya, Kampung Nakhoda dibuka sekitar tahun 1970-an. Sebelum itu, kawasan tersebut adalah kawasan hutan dengan pokok getah.
Di sebalik pokok yang lebat itu ialah rumah yang saya duduki dari usia 3-9 tahun |
Mengunjungi Kampung Nakhoda petang ini (Sabtu) memang menggamit kenangan saya ketika bersama emak. Ketika melalui jalan Nakhoda Kiri, saya bagai melihat diri saya yang masih kecil (sekitar usia 7 tahun) berjalan sambil tangan dipimpin emak pada malam Ramadan (1994). Emak membantu kawan baiknya membuat kuih. Kami pulang dari rumah mak cik itu dalam jam 10 malam. Ketika itu, kecoh tentang hantu "kum kum". Saya sangat takut untuk berjalan kaki dari rumah mak cik itu ke rumah. Saya meronta-ronta untuk tidak mahu pulang. Akan tetapi, emak tetap bertegas untuk tidak melayan ketakutan saya. Kami berjalan pulang, pada malam yang kelam. Di langit, bulan mengekori kami. Saya bertanya kepada emak, "Kenapa bulan tu ikut kita?". Jawab emak, "Bulan tak ikut kita. Kita yang perasan macam bulan ikut kita. Bila adik dah besar, adik akan tahu."
Saya juga melewati Masjid Kampung Nakhoda. Di masjid ini, emak dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan selepas Asar pada Sabtu 19 Mei 2012. Jarak di antara masjid ini dengan rumah saya dulu ialah 10 minit berjalan kaki. Kini, masjid yang dahulunya kecil sudah menerima banyak penambahbaikan. Saya suka suasana di masjid ini.
Masjid Kampung Nakhoda |
Apa lagi tentang Kampung Nakhoda? Tempat kelahiran saya secara tradisional ialah berdirinya dengan megah sebuah bangunan Jemaah Qadiani yang diberi nama Baitussalam. Saya masih ingat, ketika di sekolah rendah, ada beberapa kali saya berjalan kaki dari rumah menuju sekolah. Setiap kali melalui Baitussalam yang diluarnya terdapat perpustakaan kecil bercermin yang mempamerkan buku-buku mereka, ada soalan bergema dalam fikir saya "Apa itu baitussalam?" "Apa itu Qadiani?" Ketika itu, saya belum tahu banyak. Yang menghairankan saya, pihak majlis agama mendirikan papan kenyataan seperti di bawah ini di depan bangunan tersebut, dan di beberapa lagi kawasan berhampiran - namun operasi pihak dalam bangunan itu tidak pernah diganggu?
Baitussalam |
Ini cerita tentang kampung saya dan "kampung" saya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar