BEBERAPA hari lalu ketika menyelak sebuah kajian, saya sampai kepada petua ketujuh yang mencatatkan "Gunakan pembacaanmu untuk mendidik perasaan hatimu" iaitu sepotong ayat daripada pengarang bernama Muhammad Salehuddin yang menjadi teladan kepada seorang pujangga. Saya sungguh terkesan dengan ayat tersebut. Bagaimana pembacaan kita selama ini? Adakah memberi kesan yang baik kepada diri dan jiwa? Adakah menjadikan jiwa semakin kuat atau sebaliknya? Adakah pembacaan kita menjadikan kita lebih kenal tentang diri sendiri? Dalam kajian itu juga tercatat minat pujangga untuk mencatat sekian petikan yang baginya bermanfaat. Minat pujangga itu lantas mengingatkan saya kepada hobi saya mengumpul mutiara kata sejak berusia 15 tahun. Walau bagaimanapun, hobi itu saya abaikan sejak tahun 2008. Petang ini, saya berusaha keras mencari dua buah buku yang menghimpunkan catatan tersebut. Bermula hari ini, saya akan kembali mencatat petikan-petikan yang bermanfaat seperti yang saya lakukan dulu.
Buku berwarna biru mengandungi himpunan mutiara kata yang saya kumpul dari usia 15 tahun hingga 17 tahun. Manakala buku berwarna coklat menghimpunkan ayat-ayat terpilih dari tahun 2006 - 2008. Buku coklat itu masih ada banyak kekosongan yang akan mula saya kembali, kini.
Saya juga berjumpa semula dua buku catatan mengandungi isi kuliah-kuliah agama yang saya ikuti sekitar usia saya 15-17 tahun dan beberapa lagi buku lain.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar