Minggu, 21 Juli 2013

HACHIKO

KUCING ialah haiwan yang sangat comel, pada pandangan saya. Betapapun keadaan zahirnya comot, mereka tetap comel dan menenangkan saya. Jika saya marah atau sedih, sekuntum senyum tetap terukir apabila saya melihat wajah mereka. Saya teringat pengalaman pada satu pagi ketika mengikuti pengajian ijazah pertama dahulu. Ketika menaiki bas, seekor kucing yang dari mana datangnya ikut sama menaiki bas. Pemandu bas tidak menyedari hal itu. Saya masih terkesima melihat kucing itu. Apabila saya sedar, segeralah saya menekan loceng. Jarak dari asal ke kawasan bas berhenti itu ialah 10 minit berjalan kaki. Saya turunkan kucing itu di situ. Saya tidak pasti, bagaimana keadaan dia yang tiba-tiba diturunkan di kawasan perumahan itu. Itu saja yang mampu saya buat. Lebih teruk saya fikir jika dia terus berada di dalam bas, dan keluar di tengah Kuala Lumpur. 

Ingatan saya tentang kegembiraan setiap kali melihat wajah kucing ini datang ketika saya mengunjungi guru yang kehilangan kucingnya selama 16 hari. Guru saya ini cukup pilu sepanjang 16 hari itu. Emosinya terganggu. Apatah lagi mengenangkan kucingnya itu yang mempunyai sakit jantung dan perlu memakan ubat sebanyak tiga kali sehari. Nama kucing itu Hachiko. Saya yang beri nama itu ketika Hachiko baru lahir, hampir dua tahun lalu. Ketika itu, saya baru berkenalan dengan kisah Hachiko, anjing setia yang kisahnya diabadikan di sebuah kawasan di Jepun. Rupa-rupanya, Hachiko kucing guru saya ini juga tidak kurang setianya. Setelah 16 hari hilang, Hachiko pulang pada jam 1 pagi Sabtu minggu lalu. 

Kami mengesyaki Hachiko diambil orang. Kenapa? Kerana tubuh Hachiko sangat bersih. Bulunya sangat lembut memberitahu kami yang Hachiko sudah dimandikan. Kami sangat bersyukur dengan kepulangan Hachiko. Surutlah rindu dan risau kami mengenangkan keadaan Hachiko yang berpenyakit. Akan tetapi, saya menyedari perubahan pada Hachiko. Sebelum ini Hachiko bukan kucing yang suka 'bercakap'. Hachiko lebih banyak berdiam dan tidak begitu manja. Kini, Hachiko sangat suka mengiau, jelas suaranya yang 'garau', juga sangat manja. Barangkali Hachiko asyik menjerit dan mengiau sewaktu dikurung oleh sesiapa yang mengambilnya. Entah bagaimana hidup Hachiko selama 16 hari itu, sehingga Hachiko berusaha untuk kembali semula ke rumah tuannya.

Saya belajar satu perkara daripada kasih sayang guru saya ini kepada Hachiko. Harapannya yang tidak pernah padam bahawa Hachiko akan pulang. Saban hari, dia tawakal membuka tingkap kamarnya dengan harapan Hachiko akan masuk ke dalam kamar seperti biasa menerusi tingkap itu. Pada jam 1 pagi itu, guru saya terasa ada kucing di sebelahnya. Apabila dia membuka mata, memang jelas Hachiko yang berada dan terus meleseh di kaki guru. Guru saya mencubit tangannya, memastikan bahawa dia bukan bermimpi tentang kepulangan Hachiko. Begitu cerita guru kepada saya.


Sebelum Hachiko pulang, guru saya telah meminta foto-foto Hachiko daripada saya. Berbanding dia, memang saya sangat suka mengambil foto kucing. Dalam simpanan komputer saya sudah ada beribu foto kucing. Dengan foto Hachiko itu, guru saya membuat poster tentang kehilangan Hachiko, itulah tindakannya yang memancarkan usaha dan harapannya yang tidak padam untuk kembali bertemu Hachiko. Jelas, dia percaya untuk tidak berputus harap. Sama seperti yang dikatakan seorang guru saya, orang Islam yang faham Islam tidak akan berputus harap kerana Islam sentiasa memberi harapan kepada manusia.

Kehilangan
Hari ini, saya gembira. Saya tersenyum melihat dan membelai Hachiko. Saya tidak akan lupa gelagat haiwan comel ini yang sentiasa berjaya menambat senyum saya. Wajah yang selalu berjaya menggantikan duka menjadi tawa, wajah kesayangan saya.

Hachiko, Boboy, Anja dan Junior

Sayang Hachiko

Tidak ada komentar:

Posting Komentar