"Tidakkah kau lihat api yang menyala mengapa kau tega menyiramkan minyaknya?"
“Cikgu Dayang, pengetua hendak berjumpa dibiliknya.”
Ketua kerani, Kak Musalmah memberitahunya. Hajat di hatinya ingin minum pagi di kantin dengan Nazirah dan Charlotta tapi terpaksa pula berjumpa pengetua. Apa pulak kali ini? Hatinya bagaikan merungut…namun dengan pantas kakinya dihalakan ke bilik pengetua yang berdekatan pejabat. Dia sedia maklum bahawa pengetua tidak sukakan kelewatan. Sama juga sepertinya.
“Assalamualaikum pengetua. Ada apa hal pengetua nak berjumpa dengan saya?”
“Waalaikumussalam. Ha, Dayang. Silakan duduk dulu. Kita menunggu Amjad. Ada hal yang nak saya bincangkan dengan kamu berdua. Saya ada perkara yang perlu diselesaikan dulu. Awak tunggu sekejap ya.”
Dayang Atikah terkejut bila mendengarkan nama Amjad turut disebut. Tambah lagi bila pengetua menyebutkan ada perkara yang hendak dibincangkan. Adakah pengetua juga sudah tahu khabar angin tentangnya dan Amjad? Ada sedikit debar dalam jiwa Dayang Atikah. Dia cuba mengawalnya.
Lima minit kemudian barulah Amjad menunjukkan diri. Mukanya kemerah-merahan. Barangkali kerana dia bergegas ke sini…
“Maafkan saya pengetua. Saya ada kelas di 4 Jujur tadi.”
“Saya tahu. Sila duduk Amjad.”
Dayang Atikah memandang Amjad dengan ekor matanya. Entah betul entah tidak. Agaknya dia dari kantin. Bukannya dia tidak kenal si Amjad tu. Agaknya pengetua sengaja dikelentongnya.
Astaghfirullah…tak baik buruk sangka pada orang!
“Sebenarnya Dayang, Amjad, saya ada dua perkara yang hendak dibincangkan dengan awak berdua.”
“Apa halnya pengetua?”
Amjad bersuara.
“Pertama sekali, kamu berdua akan menghadiri kursus di Desaru Beach Resort. Ianya akan di adakan pada minggu depan.”
“Kursus apa tu pengetua?”
“Kursus kahwin…”
Dengan selamba pengetua menjawab. Dayang Atikah dan Amjad tersentak seketika dengan jawapan yang tidak disangka-sangka itu. Pengetua tersenyum dapat mengenakan guru baru yang telah mencetuskan khabar angin kencang di SMK Pulau Indah. Sepanjangnya menjadi pengetua di situ, inilah khabar angin yang benar-benar hangat pernah didengarnya. Orang muda…
Dia kemudiannya menyambung.
“Kursus Kecemerlangan Bahasa. Ianya mengambil masa selama empat hari.”
“Kenapa pengetua tidak memilih Cikgu Fatimah dan Cikgu Azhar menghadiri kursus tu? Kami ni kan baru aje mengajar.” Amjad bersuara lagi.
“Amjad, sepatutnya kamu bersyukur kerana terpilih mengikuti kursus ni. Sebagai guru baru, kamu sepatutnya mendalami seberapa banyak ilmu pengetahuan untuk memantapkan diri kamu sebagai pendidik. Dayang, bagaimana pula dengan awak?”
“Saya tiada apa-apa masalah.”
“Baguslah kalau macam tu. Nanti ambilkan dokumennya dengan Musalmah.”
“Perkara kedua apa pula pengetua?” Dayang mengajukan pertanyaan.
“Selepas kursus tu, saya nak awak berdua wujudkan Kelab Bahasa di sekolah kita ini. Saya mendapat makluman bahawa ramai pelajar sekolah kita yang berbakat dalam bidang bahasa. Kalau boleh awak berdua rancangkan aktiviti yang boleh mengembangkan bakat mereka itu sekaligus boleh digunakan untuk menaikkan nama sekolah. Boleh?”
Dayang Atikah memandang pengetua, kemudian mengalihkannya ke wajah Amjad. Nampaknya itu tugas berat yang diberikan kepadanya. Berat kerana terpaksa bekerjasama dengan Amjad sekali lagi. Kalau minggu lepas dia diberi tugas sebagai guru rumah Zamrud bersama Amjad, selepas itu ditugaskan sebagai guru pusat sumber, juga bersama Amjad, kini ditambah pula dengan kursus dan penubuhan Kelab Bahasa, juga dirinya bersama Amjad. Apakah pihak sekolah telah merancang sesuatu tanpa pengetahuannya? Hajat dihatinya ingin memprotes tapi apakah daya Amjad juga sealiran dengannya, cuma Amjad di bidang yang lebih klasik iaitu Sastera.
Dalam hati Amjad melonjak-lonjak kegembiraan kerana ini menambahkan lagi peluangnya untuk mendekati gadis idaman. Kali ini dia akan menjadi dirinya sendiri untuk memastikan Dayang Atikah menjadi miliknya. Masa seminggu rasanya sudah mencukupi untuk dia mendampingi Dayang Atikah. Kalau tidak cukup, masa-masa akan datang pasti ada untuknya kerana kini tugasnya banyak bersama dengan gadis itu.
“Awak berdua ada masalah ke?”
Dayang Atikah dan Amjad tersentak. Memutuskan khayalan dalam diri masing-masing.
“No problem pengetua.”
Amjad menjawab dengan nada yang riang dan gembira, mungkin juga bagi pihak Dayang Atikah. Jelek betul Dayang mendengar kata-kata yang bunyinya tidak berapa ikhlas itu. Mereka berdua akhirnya meminta diri setelah pengetua menghabiskan ayat terakhirnya.
“Sudah bersedia nak berkursus kahwin dengan saya Dayang?” Amjad mengambil peluang untuk mengusik Dayang Atikah.
“Eh tolong sikit la. Siapa yang nak kahwin dengan awak? Perasan!”
Sakit hati Dayang Atikah mengenangkan Amjad yang tidak habis-habis menyakatnya. Makin dia marah makin galak pula lelaki yang tak tahu malu itu mengusiknya… Dayang Atikah berlalu ke bilik guru dengan perasaan yang tidak tenteram.
Perkenalannya dengan Amjad berlaku ditanamkan dengan benih-benih kebencian kini mula bercambah dengan dedaun benci menyukarkan dia untuk menghapuskannya. Mungkin itu akan menumbuhkan pepohon kebencian yang subur dalam hati sehingga sukar diubah dan dihilangkan lagi…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar