"Mata bertentang mata, hati terdetik bermula rasa, jinak bagai merpati didekat terbang ditangkap lari…"
Dayang Atikah kini menyewa bersama-sama Charlotta di sebuah rumah kampung yang terletak berdekatan pantai. Tidak jauh dari sekolah, dalam 10 minit berjalan kaki sahaja. Namun itu bukanlah soalnya kerana Charlotta membawa kereta. Tetapi bagi Dayang Atikah, dia menyewa bersama-sama Charlotta bukanlah semata-mata ingin menumpang kesenangan gadis Sarawak itu tetapi lebih kepada keserasian dan perhubungan persahabatan mereka. Walaupun dia dan Charlotta berlainan bangsa dan agama, dia tidak menjadikan itu semua untuk menjarakkan hubungannya sesama manusia. Takkanlah dia hendak tinggal bersama-sama Nazirah selamanya. Nazirah mempunyai abang yang tinggal bersama-samanya.Tak elok juga dipandang orang.
Baginya dan Charlotta, mereka berdua amat menggemari laut. Suasana yang damai dan tenang menemani mereka di saat kesunyian. Selepas dibahagikan tugas oleh Puan Jannatun Naimah minggu lalu, kini bermulalah tugasnya sebagai pendidik anak bangsa di Pulau Indah ini. Dia mengajar opsyennya Bahasa Melayu dan minornya Sejarah. Charlotta pula mengajar Matematik dan Kimia.
Walau apapun mata pelajaran yang diajar dan di tingkatan berapapun, itu bukanlah satu hal besar yang perlu diheboh-hebohkan. Apa yang diberikan diterima dengan senang hati. Segala cabaran dan dugaan akan diharunginya dengan tabah. Ilmu pendidikan yang di ikuti semasa di maktab dulu akan dirujuknya. Restu dan doa ibunya sentiasa mengiringi perjuangannya. Dan yang utama, Tuhan sentiasa bersama-samanya.
Dayang Atikah memandang para pelajar di hadapannya. Seramai 25 orang murid tingkatan 4 Amanah sedang menyiapkan tugasan yang diberikannya sebentar tadi. Masa masih ada selama setengah jam sebelum pengajarannya tamat. Itulah kelasnya yang terakhir pada hari ini setelah bermula seawal pukul 7.45 pagi tadi. Perutnya berkeroncong minta diisikan. Memang sejak tadi dia tidak sempat menjamah apa-apa makanan. Kak Maisarah mengajaknya ke kantin. Begitu juga dengan Charlotta. Tetapi banyak perkara yang perlu dia dahulukan. Sebagai guru baru, dia perlu membereskan itu dan ini.
Berbunyi sahaja loceng tanda tamatnya kelas pada hari itu, Dayang Atikah mengemaskan meja guru yang bersepah dan keluar dari kelas setelah pelajar mengucapkan terima kasih. Langkahnya di atur ke bilik guru. Masih ada 1 jam lagi sebelum pulang. Dapatlah dia menyemak kerja-kerja pelajar. Dalam perjalanan, dia berselisih dengan Amjad.
“Baru habis kelas?”
Dayang Atikah hanya mengangguk. Malas dia hendak melayan guru muda itu.
“Dayang dah makan? Jomlah, Am belanja.”
“Terima kasih Am. Saya tak lapar.”
Pandai saja dia menipu sedangkan kalau perutnya boleh berkata-kata, tentu setujulah jawapannya.
Ada raut kekecewaan di muka Amjad apabila Dayang Atikah menolak pelawaannya. Yang sebenarnya Dayang Atikah tidak pernah pun menerima ajakannya. Entah mengapa gadis itu terlalu sukar untuk didekati. Di pandang boleh di dekat lari. Amjad hanya memandang Dayang Atikah berlalu meneruskan langkah. Dia kemudiannya menuju ke kantin.
“Kenapa Am? Burung dah terbang ke?”
Cikgu Sudin yang entah dari mana munculnya menegur. Amjad terkejut dengan usikan guru yang berasal dari Pahang itu. Dia hanya tersenyum menjawab pertanyaan itu.
Amjad menikmati minumannya dengan pelbagai persoalan di kepala. Sejak dia melihat Dayang Atikah semasa kesesakan jalan raya di Klang dahulu, hatinya sudah terpaut. Gadis itu sederhana cantik orangnya dan wajahnya tenang dipandang. Hilang masalahnya memandang wajah itu. Suaranya lembut dan perlakuannya penuh santun.
Tak mengapalah Dayang. Kali ini kau menolak diriku. Mana tahu satu hari nanti kau akan tahu betapa bermaknanya aku kepadamu…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar