Rabu, 26 September 2012

TEROMBA WADAH MANIFESTASI FALSAFAH MELAYU

MANUSIA dan alam merupakan dua unsur yang saling berkait dengan hubungan timbal balik yang sedia ada. Selain memperlihatkan nilai saintifik, alam sebenarnya menjadi cermin dan panduan untuk manusia meneliti dan memahami kehidupan. Kebanyakan falsafah yang berperanan mengungkap nilai pemikiran dan kebudayaan sesebuah bangsa dan tamadun mempunyai keterikatan yang tinggi dengan unsur dan pengamatan manusia terhadap alam. Dalam tamadun Barat, Ralph Waldo Emerson yang terkenal dengan nilai kecintaan tinggi terhadap alam memperlihatkan kepentingan unsur alam dalam menambah ilmu pengetahuan manusia sama ada yang berbentuk metafizik mahupun duniawi. Bagi Emerson, alam menjadi sumber untuk manusia berfikir mengenai pencipta selain sebagai sumber inspirasi kepada manusia.

Dalam perkembangan ilmu falsafah, ketinggian falsafah Melayu dilihat kurang menonjol melalui buku mahupun naskhah bertulis seperti yang dimiliki oleh tamadun Barat melalui tulisan-tulisan Socrates, Plato dan Aristotle yang dibukukan. Karya seperti Republic menjadi aset kepada tamadun Barat dalam mengangkat nilai falsafah mereka. Walau bagaimanapun, hal ini berbeza dengan tamadun Melayu yang penuh dengan kehalusan dan ketatasusilaan. Dalam tamadun Melayu, falsafah dan unsur pemikiran yang telah wujud sejak zaman kesultanan Melayu tercitra dalam bentuk puisi yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu itu sendiri. Nilai sensitiviti yang tinggi dalam diri masyarakat Melayu menjadikan mereka sering merenung kejadian alam dan dimanifestasikan melalui puisi-puisi tradisional seperti pantun, nazam, syair, talibun dan teromba. Masyarakat melahirkan perasaan dan pandangan kolektif mereka terhadap kehidupan melalui medium kreatif tradisional tersebut.

Namun demikian, nilai kekayaan yang ada dalam puisi-puisi tradisional tersebut semakin kurang diberi perhatian lantaran daripada peredaran zaman yang seolah-olah meminggirkan warisan kebudayaan Melayu yang sarat dengan falsafah tersembunyi. Dalam hal ini, teromba yang merupakan salah satu puisi tradisional kelihatan lebih terpinggir jika dibandingkan dengan pantun, gurindam dan syair. Hal ini dapat dilihat apabila jarang sekali teromba dimasukkan ke dalam antologi Komponen Sastera (KOMSAS) yang menjadi subjek wajib bagi semua murid di peringkat sekolah menengah.

Teromba merupakan salah satu genre puisi tradisional yang lahir dalam komuniti masyarakat Melayu keturunan Minang dan mengamalkan budaya hidup yang berteraskan Adat Pepatih. Selain teromba, puisi tradisional ini turut dikenali sebagai terasul, tambo dan salasilah. Bagi masyarakat Minang, teromba dimaksudkan sebagai peraturan memperlihatkan peri penting peraturan dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, masyarakat Minang melihat kehidupan yang dijalani tanpa peraturan sama seperti menjalani kehidupan yang tidak beradat. Sebagai genre puisi, teromba yang masih diikuti dan diamalkan di Minangkabau, Sumatera dan di Negeri Sembilan, Malaysia, tergolong dalam puisi yang tidak terikat; iaitu tidak mempunyai bentuk dan struktur tertentu, berangkap atau tidak. Dalam adat Minangkabau, teromba digunakan dalam istiadat perkahwinan dan sebagai sumber utama masyarakat Minang untuk berbicara mengenai adat. Teromba wujud dan dihasilkan oleh masyarakat dahulu secara kolektif yang diwarisi secara  lisan dan hafalan.

Sebagai sebuah masyarakat yang hidup bersendikan pepatah “alam takambang menjadi guru”, masyarakat Minang yang terbiasa dengan kehijauan alam telah mencetuskan falsafah, pemikiran, peraturan dan hukum kehidupan melalui susunan ayat yang mengandungi inti makna mendalam melalui teromba. Teromba yang disusun dan disampaikan dalam bentuk puisi memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada khalayak masyarakatnya. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu yang kukuh akar budi berupaya membentuk masyarakat yang halus jiwa dan pemikirannya melalui penciptaan teromba.

Selain sebagai medium penyampaian fikiran dan perasaan, teromba juga menjadi wadah komunikasi dalam kalangan masyarakat. Proses enkod dan dekod khalayak yang menggunakan teromba dapat disalurkan dengan baik sehingga memberi kesan kepada pemikiran dan renungan mereka terhadap kehidupan. Komunikasi secara perbilangan, terasul, pepatah, gurindam, syair dan teromba membolehkan khalayak mencerna mesej yang ingin disampaikan melalui ragam penyampaian yang menarik. Hal ini merupakan kejayaan masyarakat pengamal puisi yang menemui jati diri dan rohani melalui renungan terhadap fenomena alam yang diterjemahkan dalam bentuk kreatif tersebut.

Dalam mendepani arus modenisasi yang memperlihatkan kelonggaran struktur jati diri manusia, adalah wajar untuk masyarakat kembali mengenang semula akan keunggulan puisi seperti teromba yang mampu memberi keutuhan terhadap jati diri seseorang individu.  Masyarakat moden yang sudah terbiasa dengan tulisan-tulisan popular bersifat harfiah seharusnya diperkenalkan semula dengan bentuk teromba yang mampu mendidik jiwa manusia untuk lebih kenal diri dan pencipta, sekali gus melahirkan insan kamil yang menjadi modal insan berguna kepada pembangunan negara bangsa. Hal ini boleh dilakukan dengan melakukan pemupukan awal dengan konsep peribahasa melentur buluh biar dari rebungnya.

Kepesatan pembangunan teknologi moden dalam membantu manusia memahami dunia boleh diseimbangkan dengan melihat unsur alam dalam teromba yang kaya dengan nilai falsafah. Renungan masyarakat terutamanya generasi muda terhadap nilai dalam teromba berupaya membentuk masyarakat yang tinggi akal budi dengan bersandarkan renungan terhadap alam tanpa meminggirkan modenisasi. Hal ini kerana, teromba yang semakin terpinggir dalam arus sastera perdana mampu membantu manusia untuk melahirkan satu kehidupan yang lebih sejahtera. Nilai yang wujud dalam teromba melangkaui ruang masa dan zaman.

Sebagai contohnya, teromba yang telah lahir sejak zaman dahulu telah pun membicarakan persoalan ekonomi secara telus dan dibincangkan dalam khalayak masyarakatnya. Perkara ini dapat dihubung kait dengan struktur adat Minang itu sendiri yang memperlihatkan tanggungjawab Buapak dalam merangsang kegigihan anak buahnya untuk berusaha membaiki ekonomi diri dan keluarga. Sawah padi yang dimiliki perlu diusahakan dengan baik bagi menjamin masa depan diri dan keluarga. Secara halus, hal ini mencitrakan kepentingan masyarakat Minang untuk mengeksploitasi sawah padi dan unsur alam secara optimum agar kehidupan menjadi lebih stabil serta harmoni. Dalam masa yang sama, saranan agar berusaha gigih ini juga merupakan satu pesanan melalui teromba yang mempunyai keterikatan kuat dengan saranan agama Islam yang dipegang oleh Adat Pepatih iaitu saranan agar manusia berusaha untuk berjaya dan mengubah nasib manusia itu sendiri agar menjadi lebih baik. Hal ini dapat diperhalusi melalui teromba berikut:
Hendak seribu daya
Tak hendak seribu bicara
Biar berputih tulang
Jangan berputih mata
Bulat tak datang menggolek
Pipih tak datang melayang
Kalau tak pecahkan ruyung
Di manakah dapat sagunya 
          (Kia Wahab, Kampung Peraku, Negeri Sembilan, 11 April 2001)

Secara tidak langsung, teromba yang dihasilkan memberi makna tersembunyi untuk difikirkan oleh khalayak yang bijak menilai bahawa kesenangan hidup tidak datang tanpa usaha dan kegigihan. Hal ini nyata menyentuh perihal ekonomi masyarakat bahawa satu sistem ekonomi yang teratur dan jelas perlu dijana dalam usaha mendapatkan hasilnya. Melalui teromba, pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kesedaran kepada anak buahnya.

Keutuhan falsafah Melayu yang tersembunyi dalam teromba tetap tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Lapisan makna yang terdapat di dalam sesebuah teromba merupakan satu pandangan terhadap masa kemudian. Sekiranya gagasan 1Malaysia muncul atas dasar pemikiran Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada tahun 2009, teromba yang dipetik daripada Alif Mokhtar pada tahun 2001 telah mencerminkan kepentingan perpaduan dan muafakat bagi memupuk sebuah negara harmonis yang berbilang kaum dan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang baru dilahirkan. Malahan, teromba-teromba dengan landasan idea seperti yang diketengahkan Alif Mokhtar tidak mustahil telah wujud sejak berabad lama. Melalui teromba, perpaduan dijelmakan sebagai satu perkara asas yang perlu dipelihara sebaik mungkin. Nasihat di dalam teromba Alif Mokhtar mengajar manusia agar menepati janji, berkerjasama dan saling bertoleransi antara satu sama lain. Hal ini jelas dapat dikaitkan dengan situasi sosial masyarakat kini yang berusaha mencapai kedamaian negara melalui gagasan 1Malaysia yang mementingkan kesatuan dan perpaduan.

Dalam hal ini, teromba yang dihasilkan tersebut menggunakan kiasan, alegori dan perbandingan terhadap alam sama ada flora mahupun fauna dalam menyampaikan fikirannya. Atas dasar keupayaan akal manusia untuk berfikir lanjut, teromba berselindung di sebalik bahasa-bahasa figuratif yang menjelma secara semula jadi melalui fikiran pengarang untuk ditelaah dan direnung oleh khalayak masyarakat penerima. Penelitian masyarakat penerima terhadap unsur alam dengan bahasa figuratif tersebut bukan hanya membuka minda khalayak sebaliknya memperkaya pengalaman manusia terhadap alam di persekitaran. Sekiranya khalayak menghayati dan memanfaatkan idea dan falsafah yang ada di dalam teromba ini, maka satu kehidupan masyarakat yang saling menghormati dan taat setia kepada negara mampu direalisasikan :
Sekata tak berdalih
Janji dibuat dimuliakan
Buruk jangan dicari
Musuh sama dihadang
Berlunak sama berlumpur
Bak kerbau sekandang
Tanduk sama diasah
Bak burung sesangkar
Mengepal sekirai
Bak ayam sereban
Kecil besar sama sedayung
Sakit sayu semua berduka
Bak labu nan menjalar
Pucuk sama digetus
Wakaf sama dipetik
Ada sama mendapat
Cicir sama dicari
Untung laba sama dirasa

Dalam masyarakat Minang di Negeri Sembilan, teromba menjadi alat untuk memupuk perpaduan, keselesaan dan jalinan kasih sayang yang berpanjangan. Melalui teromba, komunikasi antara masyarakat Melayu yang mengamalkan Adat Pepatih disalurkan dengan bentuk yang begitu halus. Kehalusan susunan, pemilihan dan unsur alam digunakan untuk menyemarakkan sifat berbudi dalam kalangan masyarakatnya. Aspek budi ditekankan agar masyarakat Melayu mampu hidup secara aman dengan rasa saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Masyarakat Melayu yang dikenali dengan kesantunan dan keperibadian yang tinggi begitu mementingkan nilai budi dalam aspek hidup seharian.

Keanjalan struktur teromba menjadikan puisi ini berupaya memanfaatkan variasi peribahasa yang disatukan bagi memberi satu pengukuhan terhadap nilai yang ingin disampaikan. Melalui teromba berikut, aspek ini ditekankan dengan unsur nasihat serta pengajaran sebagai panduan untuk masyarakat menjalani kehidupan dengan sejahtera bersandarkan budi yang dijunjung semulia adat:
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tua dimuliakan
Yang muda dikasihi
Sama besar hormat-menghormati
Yang merah itu saga
Yang kurik itu kundi
Yang indah itu bahasa
Yang baik itu budi    
                                    (Mansor Gampam, Gunung Pasir, Negeri Sembilan, 5 Jun 2001)   

Sejajar dengan pegangan Islam bermazhab Shafie yang diamalkan masyarakat Minang, Adat Pepatih, nilai syumul falsafah dalam teromba tidak ketinggalan mengangkat martabat kaum wanita seperti yang pernah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W pada awal penurunan al-Quran. Dalam hal ini, teromba yang menjadi medium penyampaian fikiran dan perasaan telah dimanfaatkan oleh masyarakat Minang dengan peluahan penghargaan dan keutamaan untuk menghormati kaum wanita.  Secara tidak langsung, mesej yang disampaikan melalui teromba mampu menimbulkan rasa kagum dan hormat akan wanita daripada kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Kesedaran yang dipupuk melalui alternatif kreatif tradisional ini berupaya membuang rasa klise masyarakat yang memandang enteng tentang isu hak dan keutamaan kaum wanita.
   
Dalam masyarakat ini, kaum wanita yang mampu memberikan pandangan secara bebas haruslah mempunyai sifat kewanitaan yang ideal dan anggun. Menariknya, keanggunan yang dimaksudkan bukan  tertakluk kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya merangkumi kebijaksanaan, kecerdasan dan berpengalaman yang luas. Walau bagaimanapun, segala dasar keanggunan tersebut tetap dibatasi hukum adat dan kebijaksanaan wanita berfikir dalam banyak segi kehidupan. Perincian tersebut disalurkan melalui pemanfaatan unsur alam seperti di bawah :
Tahu mudarah jaga manfaat
Mengenal laba juga rugi
Tahu di onak yang menyangkut
Tahu di ranting yang mencucuk
Ingat di dahan yang menghempap
Tahu di angin yang berseru
Tahu di arus ombak yang bersabung
Tahu di alamat kata sampai
          (Mohd Shah Mazlan, Kampung Dioh, Negeri Sembilan,  22 Mac 2001)

Keupayaan teromba dalam mengungkap nilai kehidupan dan falsafah hidup manusia merupakan satu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Sekiranya masyarakat Barat berbangga dengan inti falsafah mereka yang dibukukan, maka masyarakat Melayu sewajarnya memberi penekanan dan berbangga dengan kewujudan puisi tradisional seperti teromba yang menyembunyi falsafah kehidupan di sebalik susunan kata bersumberkan nilai alam dan kemanusiaan. Falsafah bangsa Melayu yang lahir secara semula jadi terakam dalam puisi tradisional seperti ini. Ketohoran pengetahuan masyarakat dan generasi kini terhadap teromba seharusnya diperdalamkan agar keunggulan memanifestasikan falsafah Melayu dapat terus disuburkan.

Generasi kini mempunyai keterbukaan minda yang lebih mudah untuk dilentur melalui pengaplikasian medium teromba yang sarat dengan bahasa figuratif dan renungan pengarang terhadap alam. Sekiranya masyarakat dahulu mewujudkan teromba secara kolektif, penulis atau pemikir kini mampu menjadikan teromba sebagai satu saluran pemikiran yang berkesan dalam memantapkan sesebuah institusi baik dari yang kecil sehingga menjangkau lapisan institusi yang lebih besar seperti negara.

Pendedahan serius mengenai teromba terhadap generasi kini merupakan satu tindakan yang wajar bagi memastikan pelestarian teromba dalam sejarah sastera Melayu tidak terpadam. Fungsi teromba dalam mendidik masyarakat, memberi panduan serta pengajaran mengenai kehidupan dan falsafah bangsa Melayu yang halus budi pekerti mampu dikembangkan melalui warisan terhadap generasi kini yang semakin tandus pengetahuan mengenai seni puisi teromba. Dalam mendepani arus kemodenan, nilai seni teromba sentiasa relevan untuk segenap lapisan masyarakat. Kepadatan nilai moral, akhlak, agama, kekeluargaan dan mencakupi keseluruhan isu dalam aspek kehidupan manusia membolehkan nilai seni dan tradisi Melayu dalam teromba terus terpelihara meskipun berhadapan dengan unsur globalisasi.

Keupayaan teromba dalam mengungkapkan falsafah Melayu secara halus merupakan satu kebanggaan yang wajar dilestarikan untuk warisan generasi akan datang. Pelestarian dan kerelevanan teromba dalam kehidupan masyarakat Melayu juga wajar diberi perhatian serius agar genre puisi tradisional yang menyimpan khazanah ilmu alam, budaya dan pemikiran manusia ini mampu diteliti generasi akan datang untuk mengenali susur galur adat dan budaya Melayu yang kaya dengan kiasan dan perlambangan kata dalam mencerminkan pemikiran, jati diri dan keperibadian bangsa.

Esei ini tersiar dalam Dewan Sastera, Ogos 2010


Tidak ada komentar:

Posting Komentar