Selasa, 18 September 2012

BUAT YANG KUCINTA

19 SEPTEMBER 2012, genap empat bulan allahyarhamah emak yang amat saya cinta pergi meninggalkan saya dan dunia yang sementara ini buat selama-lamanya. Sejak emak pergi pada 19 Mei 2012 yang lalu, saya tidak pernah menulis mengenai pemergian emak di blog ini. Terlalu berat untuk saya memilih aksara demi aksara lalu dicantum penuh cermat hingga terangkum sebuah kisah abadi mengenai emak yang perginya tidak akan kembali lagi.

Saya tidak akan lupa peristiwa demi peristiwa yang melibatkan emak. 14 September 2012, jam 3:00 pagi. Saya terjaga tatkala mendengar emak berbisik menyebut "Astagfirullah, astagfirullah ..." Saya segera menghidupkan suis lampu. Emak duduk di atas katil sambil terus menyebut nama Allah. Hampir sejam saya dan abang (Khairul Amri) mengurut emak. Kami sangka itu penyakit semput emak yang biasa. Namun setelah hampir sejam tidak surut, kami bawa emak ke Hospital Selayang. Sebelum itu, Kak Ros - jiran yang amat rapat dan disayangi emak sempat kami kejutkan. Kak Ros sempat mencium tangan emak sebelum emak masuk ke dalam kereta.

Saya masih ingat, ketika kami mahu melangkah keluar dari rumah, emak berpesan "Jaga kucing, dik. Bagi makan kucing." Itu amanat emak yang amat besar buat saya. Amalan emak memberi makan kucing-kucing terbiar saya pegang erat-erat. Bersyukur saya kepada Allah yang menjadi emak dengan aneka sifat pemurah dan penyayang khususnya terhadap kucing. Bersyukur saya kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk mewarisi kecintaan emak itu. Semoga bantuan saya kepada kucing-kucing terbiar itu, jika ada pahalanya untuk saya maka semoga Allah akan memberikan pahala itu kepada arwah emak yang amat saya cinta.

Semasa dalam perjalanan menuju Hospital Selayang, emak berkata "Pergi hospital ni, dah tak balik rumah dah ni ..." Memang benar kata-kata emak. Doktor memberi ubat untuk emak tidur lantaran keadaan jantung emak yang tidak stabil. Itulah kali terakhir saya mendengar suara emak. Kali terakhir memandang emak yang sedang duduk dengan wajah penuh cemas. Lima hari emak ditidurkan di Wad CCU Hopsital Selayang hinggalah Allah mengambil emak buat selama-lamanya pada Sabtu, 19 Mei 2012 jam 12:50 tengah hari.

Seperti yang emak kata, perginya emak ke hospital pada dinihari itu membuatkan emak tidak akan pulang ke rumah lagi. Segala urusan pengebumian berlangsung dengan amat lancar. Dari hospital, emak terus dibawa ke Masjid Kampung Nakhoda untuk dimandi dan dikafan. Saya memilih untuk menaiki van jenazah. Menemani jasad kaku emak dalam perjalanan menuju ke masjid. Sekelip mata, emak sudah tiada.

Rasa rindu kepada emak sentiasa membara di dalam hati saya. Saban waktu, emak sentiasa ada di pandangan. Suara emak sentiasa bergema. Mengingati wajah emak kadangnya membuatkan saya tersenyum. Mengenang wajah emak kadangnya membuat saya pilu. Saya bukanlah anak yang terbaik buat emak. Pastinya terlalu banyak kesalahan saya terhadap emak. Andai diberi peluang emak masih hidup, tentunya saya berkata yang saya akan menjadi anak yang lebih baik untuk emak. Namun, hakikatnya takdir itu Allah yang pegang. Segala sesalan tiada berguna. Saya berharap satu masa nanti, Allah akan menjadikan saya pelayan atau bidadari untuk menemani emak di syurga nanti.

Semoga Allah tidak menghidupkan saya ddalam keadaan saya lupa kepada emak. Semoga, Allah merahmati roh emak dan mengasihi roh emak. Semoga Allah menjadikan kubur emak itu sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga.

Emak, terima kasih kerana mengandungkan, melahirkan, menyusukan dan membesarkan saya. Kasih ibu, memang tiada ganti. Pemergian emak membuatkan saya kehilangan sesuatu yang amat besar. Kehilangan doa seorang ibu yang selalu makbul di sisi Ilahi.

Selamat pergi emak. Semoga kita dapat berjumpa lagi. Insya-Allah.

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam (27.6.1951 - 19.5.2012)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar