SUDAH dua Khamis Qaseh dalam jagaan saya. Dalam entri terdahulu mengenai Qaseh, saya ada menyatakan bahawa Qaseh agak lemah pada hari kedua. Tubuhnya terkulai, matanya berkaca dan dia seolah-olah tidak sedarkan diri. Itu kali pertama saya lihat keadaan Qaseh begitu.
Lima hari selepas kejadian itu, keadaan yang sama berulang lagi. Kali ini, saya melihat sendiri Qaseh yang sedang bermain, tiba-tiba berubah menjadi lemah sebelum rebah. Qaseh berada dalam keadaan lemah bukan seketika, tetapi dalam tempoh lebih dua jam. Sepanjang tempoh itu, tubuhnya tidak boleh disentuh. Hal ini kerana sepanjang perhatian saya, setiap kali saya mengusap tubuhnya yang dalam keadaan begitu, Qaseh akan merengek dan tubuhnya semakin tegang.
Saya tidak tahu masalah yang Qaseh hadapi. Perkara yang sama berulang lebih kerap sejak dua hari lepas. Malah, setiap kali keadaan itu berulang, tempoh masanya semakin panjang. Hati saya amat sedih melihat keadaan Qaseh yang begitu. Semalam, ketika dalam keadaan lemah - Qaseh muntahkan semua susu yang diberi kepadanya.
Ketika keadaan itu berlaku, lidah Qaseh akan sedikit terkeluar. Air liur akan meleleh dan degupan jantungnya amat kencang. Apabila saya menghubungi doktor veterinar dan menceritakan perihal Qaseh, berdasarkan simptom yang saya ajukan kepadanya, doktor mengatakan ada beberapa kemungkinan Qaseh diserang sawan seperti itu. Pertama, berkemungkinan otak Qaseh tidak berkembang dengan baik disebabkan komplikasi yang berlaku ketika Qaseh masih dalam kandungan. Kedua, kemungkinan Qaseh dijangkiti 'power virus'. Ketiga, Qaseh mungkin menghidap anemia disebabkan cacing yang merosakkan sel darah. Kemungkinan ini juga berpunca daripada faktor kesihatan ibunya ketika mengandungkan Qaseh. Sekiranya kemungkinan kedua ini yang berlaku, tiada penawar untuknya. Lebih menyedihkan, dengan usia Qaseh yang baru enam minggu, tiada rawatan dapat diberikan buat masa ini. Kucing sekecil itu tidak sesuai untuk menjalani rawatan sehinggalah dia berusia dua bulan.
Malam tadi, selepas hampir empat jam diserang sawan, Qaseh bangun dengan begitu lemah. Setelah hampir sejam, barulah Qaseh mahu bermain dan minum. Saya riang melihat Qaseh bermain dengan ibu angkatnya, seolah-olah Qaseh tidak sakit. Sedangkan, sakit yang dia rasa tidak tertanggung pada penglihatan saya. Betapa kuatnya Qaseh, hikmah itu yang Allah perlihatkan kepada saya.
Ketika pengsan, petang semalam |
Melihat keadaan Qaseh cukup memilukan saya, apatah lagi dalam keadaan saya tidak mampu membantu Qaseh meringakan sakit yang dihidapinya. Yang mampu saya lakukan hanya berdoa agar Allah berikan segala yang terbaik buat Qaseh. Setakat ini, Qaseh hanya bergantung kepada antibodinya sendiri. Saya amat berharap agar Qaseh akan sihat dan membesar dengan baik.
Sesungguhnya, cabaran paling besar untuk saya dalam hal ini - apabila saya perlu meninggalkan Qaseh dalam keadaan Qaseh sedang didatangi sakitnya, seperti pagi ini. Namun, situasi ini sedikit-sebanyak mengajar saya erti tawakal. Saya yakin, Allah yang Maha Pengasih akan menjaga dan memberikan yang terbaik buat Qaseh.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar