Selasa, 20 Desember 2011

SELAMAT PERGI, KUCING TANPA NAMA

AIR MATA saya bergenang saat berniat untuk menulis entri ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui perasaan yang terkepung dalam jiwa saya ini setiap kali mengenang si comel tanpa nama itu. Namun, saya gagahkan hati untuk menulis di sini. Biar pengalaman ini kekal di ruangan ini dan ingatan saya, yang boleh dijadikan pedoman kepada pembaca, maka ambillah.


Pagi Isnin, 19 Disember 2011, jam 8:30 pagi. Ketika itu saya sedang sarapan milo panas dan
biskut chipsmore. Mengikut rancangan awal, saya mahu ke Hospital Selayang selepas sarapan untuk mengambil bekalan ubat emak yang sudah habis. Namun, seorang jiran berbicara antara mereka. Telinga saya tajam mendengar perbualan mereka di luar rumah.


"Kau tahu rumah besar kat hujung jalan tu? Yang pemilik petronas depan tu?" kata Jiran 1.


"Ak aa, kenapa?"


"Ada kucing parsi cantik sangat! Kena gigit anjing kot. Dia duk je depan rumah tu," jawab Jiran 1.


Saya berdiam beberapa ketika. Entah, saya memang tidak boleh mendengar kisah-kisah sedih mengenai kucing atau mana-mana haiwan seperti tupai, anjing, kucing, arnab dan yang sewaktu dengannya ditimpa kemalangan. Hati saya mudah rawan. Tanpa dirancang, berpandukan dialog jiran berdua tadi, saya gegas mencari kucing yang dimaksudkan. Dua kali saya melalui jalan yang sama, tidak saya temui kucing itu sehinggalah mata saya tertancap pada seekor kucing duduk diam di tepi jalan, berdekatan rumah yang dimaksudkan tadi.


Saya mematikan enjin motor dan bergegas mendekati kucing itu. Dia mengiau kuat saat saya mendatangi dan menegurnya. Saya agak cemas. Satu beg kertas yang sudah saya sediakan sebelum menjejakinya saya keluarkan. Tiada cara lain, saya mengangkat perlahan-lahan kucing itu lalu dimasukkan ke dalam beg kertas itu. Tentu dia sakit kerana itu dia menjerit. Sakitnya hati saya ketika itu.


Tiba di rumah, saya segera menyapu minyak gamat pada bahagian luka. Ketika itu saya cuma melihat luka pada bahagian pinggulnya dan satu tebukan kecil di perutnya. Saya nekad untuk m membawanya ke Klinik Haiwan di Bandar Baru Selayang. Kalau ikutkan hati, saya tidak akan ke sana kerana saya hilang keyakinan pada pengamal klinik itu akan tetapi itu sajalah klinik yang paling dekat. Hospital Gasing di Petaling Jaya terlalu jauh untuk saya yang tidak berlesen memandu membawanya ke sana.


Sebelum itu, saya ke kedai mamak untuk mendapatkan kotak. Syukur, mamak itu memberikan saya kotak percuma apabila saya katakan saya mahu kotak untuk buat duduk kucing sakit yang kena gigit anjing. Dia berkata "Tak apa tak apa, saya tolong itu kucing nanti Tuhan bagi saya rahmat ...".

Sementara saya bersiap, kucing tanpa nama yang comel itu diam di dalam kotak. Sempatlah saya masukkan beberapa suntik air kosong ke dalam mulutnya. Nyata, dia kehausan.


Jam 11 pagi saya membawa si comel dengan menaiki motorsikal, dengan sangat hati-hati. Malangnya, apabila tiba di hospital itu, doktor berkata dengan wajah jijik, "Oh, ini serius punya ni. Saya tak boleh buat ni. Saya tak de kelengkapan, tak de harapan ni ..."

"Okey, tak pe. Doktor tolong cuci je luka dia. Nanti saya bawa dia ke PJ. Doktor ambil no fon saya, saya nak ke Hospital Selayang sekejap, nanti saya datang ambil dia .."


Tiba di Hospital Selayang, giliran saya untuk mengambil ubat ialah 55 lagi! Wow, itu jumlah yang besar. Saya tidak boleh tunggu. Saya minta bantuan ahli farmasi di situ agar menyimpan bekalan ubat, petang saya akan datang mengambilnya.


Setelah mengisi minyak kenderaan roda dua saya, gegas ke klinik untuk membawa si comel ke PJ. Setelah bulu di bahagian pinggulnya dicukur barulah saya nampak betapa besar lompongnya di pinggul, sehingga menampakkan kolonnya. Doktor memberikan suntikan sedatif kepadanya. Seorang wanita berambut perang memasuki klinik itu untuk meninggalkan kucingnya di klinik kerana mahu pulang bercuti. Wanita itu terkejut melihat keadaan si comel :


"Ya Allah, teruknya kenapa ni dik?"



"Entahlah kak. Tapi saya rasa dia kena gigit anjing sebab malam tadi ada kumpulan anjing berkeliaran di kawasan rumah. Entah kucing siapa ni, merayau agaknya malam tadi," sambil saya usap kepala si comel.


"Oh, bukan kucing adik?"



"Bukan, dia saya jumpa di tepi jalan macam tu. Okey, Dr berapa kos?"


"RM40."


"Eh tak apa. Biar akak bayar, adik bawalah dia pergi tempat tu. Kalau boleh, akak nak hantarkan tapi kereta akak rosak. Hati-hati bawa motor tu, perlahan-lahan."



---


Air mata saya mengalir sepanjang saya menunggang menuju Gasing Veterinary Hospital, Jalan Gasing Petaling Jaya. Si comel saya masukkan ke dalam beg sandang yang saya pakai di bahagian depan dengan bahagian atas terbuka. Pada mulanya saya agar berkira-kira mahu masukkan dia ke dalam beg itu dalam keadaan dirinya yang berdarah, namun itu saja yang mampu saya buat.


Itulah kali pertama saya menunggang jauh, salah jalan ke Hospital Pantai sebelum melalui jalan Pantai Dalam dan tiba di hospital. Di hospital, Dr. Prem memberi rawatan kecemasan kepada si comel. Sebaik-baik sahaja melihat si comel, dokto terus berkata :



"Oh, ini serius. Bila awak jumpa dia?"


"Pagi tadi dalam jam 9 tapi saya rasa dia ada di tempat dia duduk tadi dari malam tadi. Sebab sekumpulan anjing berkeliaran di kawasan perumahan sekitar jam 1:30 pagi," jelas saya.


Dr. Prem mengetuk ekor dan kaki si comel dengan alat pengetuk perubatan. Tiada reaksi.


"Kalau dia tak bereaksi sebab dia kena sedatif, it's okay. Tapi kalau memang dia tak boleh gerak bahagian ini, I think there's no chance for him."


Saya menangis lagi. Entah kenapa. Itu bukan kucing saya pun.


Dr. Prem mencukur bulu di tangan kanan dan memasukkan air ke dalam badannya.


"Awak lihat di sini, semua muscle dia sudah tiada. His colon is okay but dia punya muscle semua dah tak ada. Kalau dia sedar dan masih tak boleh gerakkan kaki, itu tandanya dia sudah lumpuh sebab sudah hilang muscle."


"Tak apa, dr try rawat dia," tegas saya.


"Ya, we can try but if he survive, siapa akan jaga dia. Dia akan hilang sistem kawalan najis dan lumpuh, kos hidupnya sangat tinggi."


"Jadi dia akan mati?" soal saya dalam sendu.


"Usually kalau kucing kena gigit anjing, enzim dalam liur anjing yang masuk dalam saraf akan menyebabkan kucing mati. Two days or three days ..."

"Tak apalah, doktor. Just do your best for himlah ..."


"Okay, I'll."



Dr. Prem dibantu oleh Dr. Adah, saya menghubungi emak bertanya pendapat tentang si comel. Emak berterus-terang tidak sanggup menjaga kucing lumpuh. Semasa saya kecil, emak pernah menjaga kucing lumpuh dan buta. Sangat sukar terutama untuk menguruskan najisnya yang tidak dapat dikawal. Saya pitam seketika sesudah melihat Chubby yang juga di situ setelah enam hari kerana masalah jantung.


Saya menemui Dr. Prem :


"Just do your best for him, Doc. You know the best for him, right. Kalau dia sukar ... just make him sleep?"


"Yes, that's the best thing," jawab Dr. Prem yang sangat komited.


"Saya cuma harap dapat ringankan sakit dia," kata saya perlahan.


"That's right. I will do the best for him ..."



Saya pulang dengan perasaan yang pelbagai. Berkecamuk. Saya mahu menjaganya, tetapi tidak mampu dari segi ruang, masa kerana dia sangat perlukan perhatian jika benar usianya panjang. Saya berserah. Malam, sms daripada Dr. Prem tiba. Si comel sudah disuntik ...


Selasa 21.12.11, saya tiba di Hospital Gasing untuk mengambil si comel dan Chubby.


"Do you want to take back the cat or just let us handle?" tanya Dr. Adah.


"Kalau di sini, dia akan ditanam?" tanya saya.


"Nope, kami bakar."

"Oh, tak apalah. Saya bawa balik dia dan tanam."


Seorang pekerja membawa saya ke belakang. Si comel sudah di dalam peti beku. Hati saya runtun. Rasa sangat pilu. Saya gagal membantu dia. Saya terkenang detik kali pertama melihat dia, wajahnya yang comel, ngiauannya yang mengandung rasa sakit ...


Jujur, saya tidak akan melupakan si comel tanpa nama. Saya sayang akan dirinya. Saya mohon maaf kerana tidak dapat membantu dirinya yang sakit. Semoga dia sudah aman di sisi-Nya


....

Tidak ada komentar:

Posting Komentar